Sembelit sememangnya sangat menyiksakan. Tak kisah sama ada ia berlaku kepada orang dewasa atau kanak-kanak, ianya merupakan satu keadaan yang sangat menyakitkan. Lagi siksa sekiranya sembelit berlaku kepada ibu berpantang yang baru bersalin.

punca sembelit
Sumber: Fitnessformen

Adakah sembelit merbahaya kepada anda? Yang sebenarnya, sembelit bukanlah sesuatu yang boleh membahayakan kesihatan anda kecuali sekiranya perkara-perkara berikut berlaku kepada anda:

  • Najis berdarah. Darah yang terdapat dalam najis anda bersama sembelit adalah di antara tanda anda mempunyai penyakit kanser usus, polip, diverticulum iaitu terdapat poket di usus besar, anal fissure iaitu luka di dubur, atau buasir.
  • Penurunan berat badan secara mendadak. Anda harus perhatikan simptom ini memandangkan ia adalah di antara tanda-tanda awal kanser usus.
  • Kenaikan berat badan secara mendadak. Selain penurunan berat badan yang mendadak, kenaikan berat badan secara mengejut dengan tiba-tiba juga adalah suatu perkara yang tidak normal. Oleh itu, sekiranya anda mengalami masalah sembelit dan berat badan yang naik secara tiba-tiba, jangan dibiarkan. Segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan.
  • Ada biji atau kulit yang keluar dari pangkal dubur semasa membuang air besar. Jika keadaan ini berlaku, bermakna anda mempunyai masalah buasir. Namun harus anda ingat bahawa tidak semua biji atau kulit itu adalah buasir. Kanser pangkal dubur juga boleh bersifat sedemikian. Oleh itu, jika ada biji atau kulit yang terkeluar dari dubur anda, usah diambil ringan.

Apakah punca sembelit? Adalah sangat penting untuk kita mengetahui punca sembelit supaya boleh mengelakkannya daripada berlaku.

1. Ketidakstabilan hormon

Hormon yang menggila dalam tubuh badan boleh menjadi salah satu daripada punca sembelit berlaku. Sebagai contoh, ibu yang baru bersalin akan mengalami perubahan hormon secara mendadak lalu menyebabkan ramai ibu dalam pantang yang mengalami masalah sembelit. Berita baik untuk anda, sekiranya sembelit yang anda alami adalah berpunca daripada ketidakstabilan hormon, sembelit anda akan hilang dengan sendiri apabila hormon anda kembali stabil.

2. Kurang minum air kosong

Ketahuilah bahawa kurang minum air kosong merupakan punca sembelit yang paling kerap berlaku di Malaysia. Apabila anda kurang minum air daripada yang sepatutnya, secara automatik badan anda akan menjadi kering.

Kesannya, usus akan menyerap air secara berlebihan daripada najis anda menyebabkan najis anda menjadi keras lalu sembelit. Oleh itu, pastikan anda minum air secukupnya setiap hari bagi mengelakkan berlakunya sembelit yang menyakitkan.

punca sembelit
Sumber: Health

3. Kurang pengambilan serat dalam diet seharian

Serat atau fiber adalah sangat penting dan perlu diambil dengan secukupnya setiap hari. Salah satu kesan kekurangan serat dalam diet seharian adalah masalah sembelit. Dari mana anda boleh mendapatkan serat? Serat boleh didapati daripada sumber berikut:

  • Buah-buahan
  • Sayur-sayuran
  • Bijirin penuh

4. Menahan daripada membuang air besar dalam tempoh yang lama

Satu lagi punca sembelit ialah akibat daripada perbuatan menahan daripada membuang air besa dalam tempoh yang lama. Perkara ini biasanya berlaku kepada golongan kanak-kanak.

Ada masanya mereka terlupa untuk membuang air besar lalu menyebabkan najis menjadi keras lalu sembelit. Oleh itu, perhatikan anak anda. Pastikan mereka membuang air besar sekurang-kurangnya sekali sehari bagi mencegah sembelit.

5. Terlebih minum teh o

Mungkin fakta yang ini kedengaran seperti kelakar. Macam tak masuk akal. Kedengaran seperti kata orang tua zaman dahulu yang tidak mahu anak cucu minum teh o kerana ianya mahal.

Namun tahukah anda bahawa dalam teh sememangnya terdapat bahan yang boleh menyebabkan najis anda menjadi terlalu keras lalu menjadi punca berlakunya sembelit. Oleh itu, jika anda kerap sembelit, elakkan daripada minum teh.

6. Terlalu banyak duduk dan kurang bergerak

Punca sembelit yang ini pastinya membuatkan anda terkejut. Terlalu banyak duduk dan kurang bergerak juga boleh menyebabkan anda mengalami masalah sembelit. Ini kerana apabila anda aktif bergerak, pergerakan usus juga akan meningkat lalu mengurangkan risiko anda menghadapai sembelit.

Oleh itu, jika anda selalu sembelit dan kurang bergerak, berubah sekarang. Rajinkan diri untuk berjalan, dan bukannya duduk menghadap handphone atau televisyen selama berjam-jam setiap hari.

punca sembelit
Sumber: Npr

7. Angin berlebihan dalam badan

Punca sembelit yang seterusnya ialah angin berlebihan yang ada dalam tubuh badan. Angin yang terlalu banyak dalam badan akan menyebabkan berlakunya masalah penghadaman, abdominal cramp, kembung perut, dan sembelit.

Oleh itu, jika anda mempunyai masalah sembelit dan dalam masa yang sama terasa seperti banyak angin dalam badan, anda boleh berikhtiar dengan mencari tukang urut.

8. Tekanan perasaan

Tekanan perasaan juga boleh menjadi punca sembelit. Oleh itu, kawal stress anda agar ia tidak menjadi terlalu serius sehingga menjejaskan kesihatan dan kehidupan anda.

9. Trauma selepas melahirkan anak

Bagi ibu yang baru melahirkan, trauma selepas melahirkan anak juga boleh menjadi punca sembelit. Trauma yang berlaku kepada tubuh badan anda akan menyebabkan berlakunya sembelit. Bagi sembelit yang berlaku disebabkan oleh trauma, keadaan akan pulih selepas tiada lagi trauma.

10. Kekurangan zat besi dalam badan

Punca sembelit yang terakhir ialah kekurangan zat besi dalam badan. Kekurangan tersebut akan menyebabkan najis anda mengeras dan berketul, dan anda kurang bertenaga untuk meneran. Masalah ini selalunya berlaku kepada ibu yang sedang mengandung memandangkan bayi dalam kandungan menyerap semua zat dan khasiat dari badan ibu.

Berikut adalah makanan tinggi zat besi yang boleh anda ambil untuk mengatasi masalah ini:

  • Daging
  • Hati
  • Ikan
  • Tiram
  • Kekacang
  • Bayam
  • Nasi
  • Sayuran hijau
  • Tomato
  • Kentang
punca sembelit
Sumber: Hellosehat

Itulah dia info tentang punca sembelit yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang petua hilangkan sembelit bayi dan petua hilangkan sembelit dengan daun lidah buaya.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.