Sawan atau sawan tarik adalah perkara yang paling ditakuti oleh ibu bapa terutamanya yang mempunyai anak kecil serta bayi. Ia merupakan mimpi ngeri setiap ibu bapa.

Ini kerana sawan akan memberikan komplikasi yang buruk kepada kesihatan seseorang individu malah ada daripada kesannya akan kekal sehingga ke akhir hayat. Apakah punca sawan? Bagaimana untuk mengelakkan sawan daripada terjadi?

Apakah yang dimaksudkan dengan sawan?

Sawan adalah keadaan di mana berlakunya gangguan kronik sistem saraf (neurologi) dalam otak disebabkan oleh berlakunya renjatan elektrik pada bahagian otak lalu menyebabkan pelepasan cas elektrik yang berlebihan dalam sekumpulan sel otak.

Bahagian otak yang berlainan boleh mencetuskan pelepasan cas elektrik berkenaan. Apabila anda terkena sawan, anda akan mendapat simptom-simptom di bawah.

punca sawan
Sumber: Everydayhealth

Apakah simptom sawan?

Berikut adalah simptom dan tanda sawan yang perlu anda perhatikan:

  • Badan terasa panas.
  • Badan dan kaki terasa tegang.
  • Kaki dan tangan akan tersentak-sentak secara tiba-tiba tanpa rangsangan dan tanpa sebab yang dapat dikenalpasti.
  • Biji mata akan terpusing ke atas menyebabkan mata hitam hilang dan cuma mata putih yang kelihatan.
  • Terjatuh secara tiba-tiba.
  • Mulut berbuih.
  • Terbuang air kecil tanpa sengaja dan tidak dapat dikawal.
  • Tertidur dan tidak sedarkan diri seketika. Apabila terjaga, anda akan terasa bingung seketika namun akan kembali normal.
  • Rasa tidak selesa perut
  • Denyutan jantung menjadi cepat secara tiba-tiba tanpa sebab.
  • Sukar untuk bernafas
  • Rasa seperti diawang-awangan dan seolah-olah dalam mimpi.
  • Rasa gelisah, panik, bersemangat, takut, sedih, atau gembira tanpa sebab.
  • Rasa seolah-olah pernah pergi ke satu tempat atau melihat sesuatu benda yang pernah berlaku atau lebih dikenali sebagai deja vu.
  • Benda-benda yang biasa tiba-tiba menjadi ganjil, pelik, dan tidak dikenali atau juga dikenali sebagai jamais vu
  • Masa terasa berlalu dengan sangat cepat atau lambat.
  • Persekitaran seolah-olah menjadi lebih besar daripada biasa, terlalu kecil, berpulas-pulas, berpusing-pusing, dan aneh.
  • Persekitaran bilik dan barangan di sekeliling akan bertukar rupabentuk menjadi menakutkan.
  • Dapat melihat benda pelik, mendengar bunyi yang asing atau menghidu bau yang tidak wujud.
  • Deria terasa ganjil.
  • Berhalusinasi.

Apakah punca sawan?

Adalah sangat penting untuk anda mengetahui apakah punca sawan agar anda dapat mengelakkan ianya daripada berlaku. Di antara punca sawan ialah:

  • Demam yang terlalu kuat. Apabila anda demam kuat, suhu badan anda akan menjadi terlalu tinggi lalu menyebabkan berlaku gangguan pada otak anda lalu menyebabkan anda mendapat sawan. Oleh itu, adalah sangat penting untuk mengawal suhu semasa demam. Jangan biarkan suhu badan anda menjadi terlalu tinggi.
  • Kerosakan otak sejak lahir. Jika seseorang individu mengalami kerosakan otak sejak lahir, risiko untuk mendapat sawan berulang seumur hidup adalah sangat tinggi.
  • Kerosakan otak. Kerosakan otak boleh berlaku pada bila-bila masa disebabkan oleh trauma atau kecederaan pada bahagian kepala akibat kemalangan jalanraya atau hentakan pada bahagian kepala, jangkitan otak yang teruk seperti meningitis atau ensefalitis, tumor atau kanser, pembedahan otak, serangan strok yang menyebabkan pendarahan, penyakit Alzheimer atau nyanyuk, penyakit arteriosklerosis atau pengerasan salur darah arteri yang mengurangkan bekalan oksigen dalam otak, dan sebagainya.
  • Keletihan. Keletihan yang melampau juga boleh dikaitkan dengan serangan sawan. Dipercayai apabila seseorang mengalami keletihan yang teramat sangat, risiko diserang sawan akan menjadi tinggi.
  • Tidak cukup tidur. Tidak cukup tidur sememangnya tidak baik untuk kesihatan malah boleh menyebabkan anda diserang sawan.
  • Kekurangan elektrolit dalam badan.
  • Kurang gula dalam badan.
  • Kurang garam dalam badan.
  • Penyakit keturunan.
  • Ada juga sawan yang berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang punca yang dapat dikenal-pasti. Keadaan ini dikenali sebagai sawan termenung di mana secara tiba-tiba anak anda akan tegak tanpa bergerak, merenung ke depan, dan tidak memberikan reaksi apabila dipanggil. Keadaan ini seolah-olah anak anda sedang mengelamun selama beberapa saat kurang daripada tempoh seminit. Jika keadaan ini berlaku berulang-kali dalam masa sehari, segera bawa anak anda ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

Apakah yang perlu anda lakukan jika anak terkena sawan?

Jika anda anda mengalami sawan, perkara yang perlu anda lakukan ialah:

  • Kekal bertenang, jangan menggelabah atau panik.
  • Ubah posisi anak anda kepada kedudukan mengiring.
  • Alihkan barang merbahaya dan mudah pecah agar jauh dari anak anda kerana semasa sawan, anak anda akan menggelupur lalu merosakkan barang yang ada berdekatan dengannya atau cedera diakibatkan oleh barang tajam atau merbahaya.
  • Pastikan mulut anak anda kosong.
  • Jangan tinggalkan anak anda bersendirian tanpa pengawasan.
  • Sekiranya serangan sawan berpanjangan melebihi 5 minit, bawa anak anda ke klinik dengan segera.
  • Sementara bersiap, lap seluruh badan dengan air suam atau air sejuk untuk menurunkan suhu badan. Semakin tinggi suhu tubuh badan, semakin tinggi risiko untuk terkena sawan dan sawan berulang.
punca sawan
Sumber: Momjunction
  • Elakkan pakaian yang tebal. Pakai pakaian yang nipis.
  • Makan ubat demam seperti Paracetamol untuk menghilangkan demam.
  • Pasang kipas atau alat penghawa dingin. Pastikan bilik tidak panas.
  • Pastikan sistem pengudaraan bilik adalah dalam keadaan yang baik.
  • Pasang alat penapis udara untuk meningkatkan kualiti udara dalam bilik.

Itulah dia punca sawan yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian kami hari ini, anda juga mungkin berminat untuk membaca tulisan kami tentang punca gout dan punca jerawat

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.