Agak-agaknya, apa punca rambut kering? Jom baca artikel ini untuk ketahui dengan lebih lanjut.

Pengenalan

Terdapat kira-kira 100 ribu folikel rambut yang terletak di dalam tisu kulit kepala. Di dasar setiap folikel, sel rambut berganda dan tumbuh ke atas menegak dan berkembang bergantung kepada faktor-faktor seperti:

  • umur
  • diet makanan
  • hormon
  • penjagaan diri

Setiap helai rambut tumbuh dengan perlahan dan terkawal, lebih kurang 1 cm pada setiap bulan dan berterusan selama 3-5 tahun (fasa anagen).

Pertumbuhan rambut terhenti  dan diikuti peringkat peralihan yang dipanggil fasa catagen.

Peringkat terakhir iaitu fasa telogen berlangsung selama 2-4 bulan untuk rambut mula gugur sebelum diganti oleh rambut yang baru dan memulakan semua kitaran ini pada fasa anagen.

Pertumbuhan rambut yang terganggu disertai dengan serapan nutrien yang tidak mencukupi boleh menyebabkan kualiti rambut yang tidak baik seperti rambut kering, rapuh dan bercabang. Seterusnya, akan menyebabkan masalah rambut gugur.

Rambut kering juga menyebabkan penampilan seseorang menjadi tidak begitu meyakinkan kerana secara aestatiknya, rambut kelihatan tidak bermaya.

Oleh itu, jom ketahui punca rambut kering dengan terus membaca artikel ini berdasarkan kajian-kajian sains yang pernah dijalankan.

Punca Rambut Kering

Selain masalah kegatalan kulit kepala akibat kelemumur, masalah rambut gugur dan rambut beruban, rambut yang kering turut memberi kesan emosi yang tidak bagus untuk keyakinan diri dan mendatangkan rimas. Antara punca rambut kering ialah:

1. Kekurangan Vitamin E

Sebatian tokotrienol dan tokoferol merupakan antara sebatian dalam keluarga vitamin E yang bertindak sebagai antioksidan yang baik dalam tubuh.

Kekurangan vitamin E dalam tubuh dilaporkan telah menyebabkan masalah-masalah seperti anemia, penyakit saraf dan kekeringan kulit.

Tidak terkecuali, kekurangan vitamin E turut menjadi punca rambut kering. Oleh itu, antara sumber makanan yang boleh membekalkan vitamin E adalah seperti berikut:

  • badam
  • kuaci
  • abalone
  • minyak kelapa sawit
  • kacang tanah
  • avokado
  • buah kiwi
  • mangga

2. Kekurangan Zink

Zink sangat diperlukan sebagai mangkin dalam proses selular yang berlaku dalam tubuh kita, khususnya di folikel rambut.

Kajian penyelidik dari Texas, Amerika Syarikat pada tahun 2017 melaporkan bahawa terdapat kes rambut kering dan rapuh yang tidak diketahui puncanya.

Namun, setelah diberikan terapi zink secara oral, keadaan pesakit tersebut beransur pulih dan disimpulkan bahawa kekurangan zink telah menyebabkan masalah rambut kering dan rapuh tersebut.

Di sini, disenaraikan makanan yang tinggi kandungan zink untuk dijadikan amalan sebagai langkah pencegahan rambut kering dan rapuh:

  • daging
  • udang
  • kerang
  • kekacang
  • chia seed
  • labu
  • bayam
  • kale
  • cendawan

3. Kekurangan selenium

Penulisan artikel yang sama dalam kes zink tadi turut melaporkan kesan kekurangan selenium yang memberi kesan ke atas kualiti rambut dan kulit.

Kajian lepas membentangkan hasil kajian mereka ke atas spesimen tikus yang tidak mendapat selenium yang mencukupi. Hasilnya, pertumbuhan rambut atau bulu tikus tersebut menjadi tidak sekata dan mudah gugur.

Terdapat juga kes kekurangan selenium yang dilaporkan menyebabkan kekeringan kulit dan rambut. Kes ini dirawat dengan pemberian suplemen selenium pada kadar yang mencukupi.

Selenium diperlukan tubuh dalam amaun yang sedikit bagi membantu proses penghasilan enzim antioksidan. Seterusnya, enzim ini penting untuk membaiki kerosakan sel atau bertindak sebagai sebagai antioksidan.

Antara sumber makanan yang membekalkan selenium ialah:

  • susu
  • bijirin
  • telur
  • ayam
  • ikan
  • kerang
  • tofu

4. Kekurangan Sulfur

Diet yang mengandungi kurang kandungan sulfur didapati telah menyebabkan beberapa gejala masalah kesihatan kepada tubuh.

Sekumpulan pakar dermatologi dari Minnesota, Amerika Syarikat pada tahun 1990 menamakan sindrom kekurangan sulfur ini sebagai ‘trichothiodystrophy.’

Keadaan ini antara lainnya telah menyebabkan displasia rambut atau masalah kerapuhan dan kekeringan rambut.

Oleh itu, sebagai cadangan makanan yang kaya dengan kandungan sulfur adalah seperti berikut:

  • susu dan produk tenusu
  • telur
  • buah yang dikeringkan seperti aprikot, sultana, pic dan buah tin
  • asparagus
  • brokoli
  • bawang
  • lobak putih
  • kobis

5. Kekurangan protein

Imej via Bidadari

Komponen utama yang menjadikan unit rambut yang sihat ialah protein yang mencukupi, Hampir keseluruhan rambut diperbuat daripada protein yang dipanggil keratin.

Maka, tidak hairanlah sekiranya masalah kerapuhan dan punca rambut kering adalah disebabkan kekurangan protein dalam tubuh.

Menurut kajian sekumpulan penyelidik dari Boston, Amerika Syarikat pada tahun 2010 yang diterbitkan di jurnal Clinics in Dermatology, masalah rambut kering dan rapuh menjadi semakin meruncing dalam kalangan penderita penyakit Kwashiorkor.

Penyakit kekurangan protein ini menyebabkan pertumbuhan organ yang tidak normal, tambah menyedihkan banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang sedang membesar di negara miskin dunia.

Selain protein dari sumber daging haiwan seperti ayam, ikan dan lembu, antara alternatif sumber protein yang boleh diperolehi adalah daripada:

  • telur
  • bayam
  • alfalfa
  • bok choy (kobis Cina)
  • asparagus
  • pegaga
  • tauge

Kesimpulan

Rumusnya, berdasarkan kajian saintifik yang telah dilakukan, punca rambut kering adalah disebabkan diet pemakanan yang tidak seimbang akibat daripada kekurangan vitamin E, zink, selenium, sulfur dan protein.

Nutrisi tersebut boleh diperolehi dengan mudah dalam makanan dan sayur-sayuran serta buah-buahan tempatan.

Masalah rambut kering bukan sahaja boleh menyebabkan penampilan diri yang tidak terurus, tetapi merimaskan mereka yang asyik mengalami masalah keguguran rambut akibat rambut yang mudah rapuh apabila kering.

Bersama-samalah kita mencegahnya. Jemput juga baca artikel tentang cara lembutkan rambut dan penyebab rambut beruban

Rujukan

  1. Goldberg, L. J., & Lenzy, Y. (2010). Nutrition and hair. Clinics in dermatology28(4), 412-419. (link)
  2. Guo, E. L., & Katta, R. (2017). Diet and hair loss: effects of nutrient deficiency and supplement use. Dermatology practical & conceptual7(1), 1. (link)
  3. Itin, P. H., & Pittelkow, M. R. (1990). Trichothiodystrophy: review of sulfur-deficient brittle hair syndromes and association with the ectodermal dysplasias. Journal of the American Academy of Dermatology22(5), 705-717. (link)
  4. Wolfram, L. J. (2003). Human hair: a unique physicochemical composite. Journal of the American Academy of Dermatology48(6), S106-S114. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.