Masalah kulit kepala gatal kelemumur dan rambut gugur sangat memberi kesan kepada keyakinan diri dan penampilan kita. Jom ketahui apa punca rambut gugur dan kelemumur.

Pengenalan

Masalah rambut gugur dan kelemumur sering dihadapi wanita berbanding lelaki yang memiliki rambut lebih pendek dan penjagaan yang lebih mudah.

Rambut gugur ialah kehilangan rambut secara tiba-tiba atau berperingkat yang disebabkan oleh beberapa faktor.

Menurut Akademi Dermatologi Amerika Syarikat, kebanyakan daripada kita menggugurkan 50-100 helai rambut sehari daripada sejumlah 120 ribu-150 ribu helai rambut yang berada di kulit kepala kita.

Pada kadar tersebut, penampakan kulit kepala atau keadaan sedikit botak tidak begitu kelihatan. Namun, jika lebih banyak rambut gugur, ditambah dengan kehadiran kelemumur, hal ini boleh mengundang rasa tidak yakin diri dan rimas.

Kelemumur pula ialah kepingan seperti sisik yang terdapat pada kulit kepala yang terdiri daripada sel parakeratotik. Masalah kelemumur terjadi apabila berlaku keradangan pada kulit kepala yang merupakan kluster atau himpunan kepingan bernama corneocytes.

Kedua-dua masalah kulit kepala ini boleh berlaku ke atas semua lapisan umur dan jantina di seluruh dunia.

Kelemumur dan Rambut

Kehadiran kelemumur boleh diperhatikan secara halus hinggalah terlalu banyak yang menampakkan gumpalan putih pada rambut.

Kelemumur yang berada pada kulit kepala menjadi sukar diatasi apabila tersembunyi dan terikat pada helaian rambut. Kawasan yang botak atau kulit licin tidak memperlihatkan kehadiran kelemumur.

Masalah rambut gugur akan menjadi bertambah serius dengan kehadiran kelemumur. Dalam satu tinjauan, mereka yang mengalami masalah kelemumur menggugurkan 100-300 helai rambut sehari berbanding 50-100 helai rambut mereka yang normal.

Punca Rambut Gugur dan Kelemumur

Biarpun terdapat beberapa rawatan kepada punca rambut gugur dan kelemumur ini, antaranya ubatan dan rawatan kosmetik, berikut disenaraikan punca rambut gugur dan kelemumur, sebagaimana yang pernah diulas oleh sekumpulan penyelidik di India pada tahun 2016:

1. Stres Tekanan Hidup

Tekanan emosi akan menyebabkan perubahan hormon yang mengganggu keseimbangan sistem fisiologi tubuh. Menurut kajian Firdous et al. (2016), hampir 71% pelajar wanita di kampus Kolej Wanita Patna, India mengaitkan tekanan dengan masalah rambut gugur.

Malah, satu keadaan perubatan yang dikenali sebagai “telogen effluvium” iaitu kehilangan rambut secara mendadak adalah disebabkan stress atau perkara yang memberi kesan trauma.

2. Ubatan

Imej via Bidadari

Rambut gugur turut berpunca daripada pengambilan ubat-ubat tertentu dan penyakit seperti pesakit thyroid.

Ubatan yang diambil boleh memberi kesan sampingan dengan mengganggu perkembangan sel folikel rambut. Menurut Doktor Perubatan Stephanie Gardner, antara jenis ubatan yang menyebabkan rambut gugur ialah:

  • pil perancang
  • ubat acne
  • antibiotik
  • antidepressant
  • antikolesterol
  • ubatan antikanser
  • ubatan rawatan tekanan darah tinggi
  • steroid
  • NSAIDs
  • ubat menurunkan berat badan

3. Penyakit

Sementara itu, terdapat beberapa penyakit yang menjadi punca rambut gugur dan kelemumur. Antaranya, penyakit thyroid yang menyebabkan kandungan hormon thyroid tidak seimbang dalam tubuh.

Pada kadar normal, hormon thyroid mengawal pertumbuhan dan pembahagian sel rambut. Maka, sebarang perubahan thyroid akan mengganggu proses tersebut yang menyebabkan masalah rambut gugur. Kulit kepala akan kurang dilindungi lalu mengakibatkan masalah kelemumur pula.

4. Penggunaan Syampu Tidak Sesuai

Mereka yang menghadapi masalah kelemumur akan mencari produk syampu yang boleh menyelesaikan masalah ini. Namun, kandungan bahan kimia yang terlalu ‘kuat’ boleh menjadi punca rambut gugur.

Bahan kimia ini membuatkan rambut sukar tumbuh dengan sihat dan kuat.

5. Diet Pemakanan

Amalan pemakanan yang seimbang diperlukan bagi memberi nutrisi yang secukupnya kepada rambut yang sihat.

Diet protein yang terlalu rendah menyebabkan masalah rambut gugur. Rambut terdiri daripada komponen protein, jadi, penghasilan rambut sememangnya memerlukan sumber protein daripada makanan seperti:

  • daging
  • telur
  • ayam
  • kekacang
  • tauhu
  • sayuran

6. Kekurangan Vitamin dan Mineral

Punca rambut gugur dan kelemumur boleh disebabkan oleh kekurangan mikronutrien seperti vitamin dan mineral oleh tubuh.

Zat besi diperlukan bagi mengangkut oksigen ke seluruh sel tubuh, khususnya kepada sel folikel rambut untuk tumbuh dengan baik. Vitamin D pula diperlukan untuk merangsang folikel rambut untuk terus berkembang.

7. Serangan Kulat

Seawal tahun 1846, punca rambut gugur dan kelemumur telah dikenal pasti disebabkan oleh kulat jenis lipofilik yis, Malassezia.

Kepingan kelemumur yang dijumpai di atas kulit kepala turut menarik pertumbuhan mikroorganisma lain seperti Staphylococci dan Propionibacterium yang menjejaskan lagi kualiti kulit kepala dan rambut.

8. Penjagaan Diri

Masalah kulit kepala berminyak berpunca daripada pengeluaran sebum oleh kulit kepala. Sekiranya kita kurang menjaga kebersihan kulit kepala ini dengan produk mandian yang bersesuaian, kulit kepala akan semakin berminyak.

Kulat penyebab kelemumur ialah jenis lipofilik iaitu yang sukakan keadaan berminyak. Hal ini akan menggalakkan lagi pertumbuhan yis tersebut dan menambah bilangan kelemumur.

Selain itu, keadaan kulit berminyak menyebabkan rambut tubuh dengan tidak sihat dan mudah gugur.

Kesimpulan

Ringkasnya, antara punca rambut gugur dan kelemumur ialah stres, ubatan, penyakit, diet pemakanan, bahan kimia, diet pemakanan, kekurangan nutrisi, serangan kulat dan penjagaan diri.

Rambut merupakan mahkota bagi setiap insan yang perlu dijaga rapi. Selain untuk keyakinan diri dan penampilan, rambut yang sihat juga menandakan tubuh badan anda yang sihat.

Jemput juga baca artikel cara hilangkan kutu rambut dan petua rambut gugur

Rujukan

  1. Bergfeld, W. F., & Mulinari-Brenner, F. A. B. I. A. N. E. (2001). Shedding: how to manage a common cause of hair loss. Cleveland Clinic journal of medicine68(3), 256-261. (link)
  2. Firdous, S., Priya, S., & Hasrat, S. 2016. Cause of Hair Fall in Girls of Patna Women’s College campus and. Stress71, 60. (link)
  3. Ranganathan, S., & Mukhopadhyay, T. (2010). Dandruff: The most commercially exploited skin disease. Indian journal of dermatology55(2), 130. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.