Tuhan telah menciptakan tubuh badan manusia dengan fungsi-fungsi tertentu. Oleh itu, kita bertanggungjawab untuk menjaga amanah kesihatan dengan sebaik-baiknya. Hanya kita sahaja yang tahu jika ada sebarang perubahan pada anggota tubuh badan kita.

Bagi kaum wanita, bahagian yang paling sensitif ialah payudara. Tak hairanlah terdapat macam-macam produk kesihatan dan kecantikan khas untuk payudara di pasaran. Jika rasa sakit, bengkak dan sebagainya, pastinya kita tidak akan senang duduk.

Jangan risau! Bukan semua kelainan pada bahagian payudara disebabkan oleh ketumbuhan atau lebih menakutkan, kanser. Pastikan anda terus membaca artikel ini untuk mendapatkan maklumat sebenar sebab payudara menjadi bengkak dan sakit.

1. Haid

Punca Payudara Bengkak
Imej via Bidadari

Kebanyakan wanita akan berasa tak selesa dan sakit di bahagian payudara sebelum datangnya ‘tetamu bulanan.’ Kadangkala kita berasa sekitar payudara menjadi sensitif terhadap sentuhan walaupun terkena air ketika sedang mandi.

Kenapa masalah ini berlaku? Ini adalah salah satu tanda Premenstrual Syndrome (PMS). Kesakitan di bahagian payudara sebelum kedatangan haid biasanya disebabkan oleh perubahan hormon.

2. Posisi Tidur

Kedengaran remeh, bukan? Sebenarnya cara tidur yang salah akan memberi kesan terhadap kualiti tidur. Salah satunya cara tidur secara meniarap. Memang tidur lena dibuatnya apabila menyembamkan muka di bantal yang empuk. Dengan kedua-dua tangan disisipkan di bawah bantal.

Namun lebih banyak buruk daripada baik apabila tidur dengan cara ni. Kita akan menekan otot di sekitar payudara terlalu lama. Ini akan mengakibatkan dada menjadi sakit. Oleh itu, tidur mengiring lebih baik, malah digalakkan dalam Islam.

3. Digigit Atau Disengat Haiwan

Apabila kita baring di sofa ketika menonton televisyen misalnya, mungkin tanpa sedar ada serangga yang merayap. Kadangkala gigitan semut dan pepijat akan meninggalkan kesan kemerahan, gatal dan bengkak. Serangga ni tak pilih tempat ye!

Jangan menggaru bahagian payudara yang digigit tu, takut bengkak menjadi lebih teruk. Kulit di sekitar payudara sangat lembut dan sensitif. Sapukan krim gigitan serangga yang boleh dibeli di farmasi.

4. Hamil

Semasa awal kehamilan, biasanya para wanita akan mengalami bengkak dan nyeri di bahagian payudara. Malahan, saiz payudara juga akan membengkak termasuk juga di bahagian puting.

Sepanjang tempoh kehamilan, payudara menjadi terlalu sensitif hingga langsung tak boleh disentuh. Kesakitan ni akan berkurangan selepas trimester pertama. Hal ini disebabkan badan kita menghasilkan lebih banyak hormon estrogen dan progesteron.

Keadaan ni sama macam sebelum kedatangan haid. Selain itu, payudara semakin membengkak sebab kelenjar susu dan darah sedang aktif. Kelenjar susu sedang bersiap sedia dalam proses penyusuan bayi.

5. Jangkitan Kuman

Sebagai seorang wanita, kita jangan hanya fokus kecantikan dan penampilan luaran saja. Sedangkan kebersihan diri langsung diabaikan. Ada tak wanita yang pakai bra yang sama hampir seminggu? Pastinya ada.

Peluh yang terperangkap dan pengudaraan yang tak tersekat sudah pastinya menjemput bakteria untuk bersarang. Bakteria yang terkumpul dalam fabrik bra boleh mengakibatkan kegatalan, bengkak dan melecet. Salah siapa? Salahkan diri sendiri.

6. Saiz Bra Yang Tak Betul

Rasanya ramai wanita yang tak tahu saiz bra mereka yang sebenar. Nampak cantik, murah dan berjenama terus saja capai. Jika tak pasti, dapatkan pandangan jurujual di situ. Apa yang akan berlaku jika saiz bra yang dipilih tak kena dengan payudara?

Tentunya lemak payudara akan terkeluar dari mangkuknya, tali bra menjadi tegang dan besi penyangkuk ketat. Kesannya dah tentu payudara menjadi sakit. Malahan, ia memberi kesan kepada leher, bahu dan belakang badan.

7. Senaman Ekstrem

Aktiviti senaman memang bagus untuk membakar lemak dan menjadikan badan langsing. Ada juga senaman yang khas untuk bahagian payudara. Tujuannya untuk menganjal dan mencantikkan bentuk payudara.

Namun yang menjadi masalah, apabila kita bersenam secara berlebihan tanpa ilmu. Cara senaman yang esktrem akan mencederakan anggota tubuh termasuk juga payudara. Lebih-lebih lagi buat wanita yang memiliki payudara yang besar.

Oleh itu, pastikan anda mempunyai pengetahuan atau dapatkan nasihat instruktor gim sebelum melakukannya.

8. Naik Turun Berat Badan

Apabila berat badan naik atau turun, kawasan sekitar payudara juga mendapat kesannya. Ini kerana payudara terdiri daripada tisu lemak dan tisu payudara. Oleh itu, jika berat badan naik, payudara akan mengembang.

Manakala jika berat turun pula, payudara juga turut mengecut. Ada wanita yang akan merasakan regangan kulit semasa proses ni. Pada awalnya, sekitar payudara nampak kemerahan, namun nanti ia akan hilang.

9. Bengkak Susu

Bengkak susu terjadi apabila susu tak keluar secara lancar dan hanya sedikit-sedikit saja. Ini menyebabkan payudara menjadi keras dan membengkak. Sakitnya juga bukan kepalang. Namun, ni perkara normal.

Disebabkan susu ibu berlebihan tapi ia tak dapat dikeluarkan, maka payudara menjadi bengkak. Biasanya bengkak susu ni berlaku di kawasan dada hingga ke ketiak. Keadaan yang teruk boleh menyebabkan si ibu mengalami demam.

Masalah ni boleh diatasi dengan cara mengurut perlahan payudara dan memerah dengan tangan supaya puting menjadi lembut. Selain itu, tuam payudara dengan air suam untuk lancarkan pengeluaran susu.

10. Ketulan Benigna

Biasanya wanita menjadi sangat risau apabila ada ketulan di bahagian payudara. Jangan risau. Kebanyakan daripada ketulan ni mudah dirawat, malah ada yang tak perlu pembedahan.

Ini kerana kebanyakan ketulan ni tiada risiko menjadi kanser. Ketumbuhan pada payudara yang bersifat benigna membesar dengan kadar yang sangat perlahan. Biasanya bagi wanita yang berumur bawah 40-an.

Antara tanda ketulan benigna ialah ketulan hilang selepas haid, ketulan lembut, lebih satu ketulan dan terdapat ketulan di payudara sebelah lagi.

11. Ketulan Kanser

Inilah yang paling digeruni oleh kaum wanita dan juga lelaki. Untuk memastikan sama ada ketulan tu berbahaya atau tak, terus dapatkan pemeriksaan doktor.

Antara tanda yang boleh dilihat ialah ketulan terasa keras di payudara atau bawah ketiak, hanya 1 ketulan, kulit payudara mengecut, keluar cecair dari puting payudara dan tiada ketulan di payudara sebelah.

Jika terdapat tanda-tanda di atas, segeralah berjumpa doktor. Anda juga boleh memeriksa sendiri di rumah.

Akhir kata, ada banyak sebab payudara menjadi bengkak dan sakit. Oleh itu, pastikan anda tak mengabaikan mahkota anda itu. Diharapkan informasi yang diberikan dapat memberi gambaran tentang masalah payudara yang sering berlaku ni.

Rujukan

  1. Cosmopolitan
  2. Utusan
  3. Hmetro.

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

    Tinggalkan Komen!


    Langgan Info Kami

    Berkaitan


    .