REZEKI DI TANGAN TUHAN, kita seringkali mendengar ayat itu. Rezeki ini juga ada kaitan dengan usaha. Bak kata pepatah melayu, usaha itu tangga kejayaan. Tapi bayangkan bila mana usaha sudah cukup kuat namun rezeki masih juga sempit. Adakah ini bermakna Allah SWT sedang himpitkan rezeki? Jika ya, kenapa? Apakah pula punca rezeki kurang ini?

Bagi anda yang tertanya-tanya akan soal ini, di sini akan disenaraikan 13 sebab rezeki kurang atau sempit untuk sama-sama kita renungkan. Walaubagaimanapun, suka untuk diingatkan yang Allah SWT itu tidak pernah kejam! Malah Allah SWT merupakan sebaik-baik pencipta yang ingin kita selamat di sana kelak.

punca rezeki kurang
image via : Metro

Kerana itu Allah SWT datangkan ujian dalam pelbagai cara untuk kita terus sentiasa mengingatiNya. Ya, jika ada masalah rayulah pada Dia. Begitu juga dengan masalah yang berkaitan dengan rezeki sempit ini.

Antara Sebab Mengapa Rezeki Menjadi Sempit (Rezeki Susah Nak Masuk)

  1. Jauh hubungan dengan Allah SWT
  2. Tidak mengerjakan solat 5 waktu
  3. Kurang berdoa
  4. Sering melakukan maksiat
  5. Tidak takut dengan dosa dan neraka Allah SWT
  6. Punca rezeki haram dan tidak berkat
  7. Kedekut untuk mengeluarkan sedekah dan zakat
  8. Tidak pernah bersyukur dengan nikmat Allah SWT
  9. Selalu bertengkar dalam rumahtangga
  10. Anggap anak sebagai beban
  11. Selalu mengeluh
  12. Kedekut untuk memberi nafkah dan belanja pada isteri
  13. Sering memukul isteri dan anak
punca kurang rezeki
image via : Baitul Jannah

10 Amalan Untuk Murah Rezeki Yang Patut Dipraktikkan

#1 – Memperbanyakkan Beristighfar

Nabi Nuh berkata kepada kaumnya, Firman Allah SWT maksudnya : 

“Mohonlah ampun kepada Rabb kalian, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat (melimpah ruah membawa kebaikan), dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai (yang penuh dengan kebaikan dan manfaat).”
(Surah Nuh ayat 10 – 12)

Sabda Nabi S.A.W,

“Barangsiapa memperbanyak istighfar maka Allah akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.
(Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a)

#2 – Menjaga Ibadah Kepada Allah Agar Tidak Ditinggalkan

Bagaimana mahu mendapatkan rezeki dari Allah SWT seandainya segala perintah tidak dituruti. Allah meminta kita untuk solat kepadanya sehari lima waktu juga susah, bagaimana nak dipermudahkan urusan untuk mendapat rezeki dariNya.

Firman Allah SWT dalam hadis qudsi yang maksudnya :

“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembahku nescaya aku membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu”.
(Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah, dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a)

#3 – Hindari Dosa Dan Maksiat

Dosa dan maksiat juga boleh menjadi salah satu punca kenapa rezeki tersekat. Dosa dan maksiat boleh membawa ke arah neraka, bertaubatlah! Jangan terus mengejar seronok dunia hingga nikmat syurga menjauh.

Nabi SAW bersabda maksudnya :

“Tidak bertambah umur seseorang kecuali jika dia melakukan kebaikan, dan tidak akan ditolak qadar Allah (iaitu qadar al-Mu’allaq) kecuali melalui doa, dan sesungguhnya seseorang itu ditahan rezekinya disebabkan dosa-dosa yang sentiasa dilakukannya”
( Hadis Riwayat Ibn Majah, Ahmad Hadis Hasan)

#4 Berbuat Baik Dan Sentiasa Mendoakan Ibu Bapa

Selalu doakan ibubapa yang telah bersusah payah untuk kita. Berdoalah untuk mereka dan tidak mustahil berkat doa yang baik itu akan menyebabkan pintu rezeki kita ikut terbuka.

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud :

“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.”
(Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

#5 – Banyakkan Bersedekah

Amalan bersedekah sudah diterangkan oleh Rasulullah SAW sebagai salah satu cara untuk memperbanyakkan harta. Banyakkan bersedekah, jangan takut dan kedekut kerana amalan bersedekah ini akan menyucikan dan memperbanyakkan lagi harta kita.

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha mengetahui.”
(Al Baqarah: 261)

punca rezeki kurang
image via : Sharing Happiness

#6 – Berbuat Baik Pada Orang Lain Dan Bantu Mereka Yang Lemah

Jika ada dikalangan saudara, kenalan mahupun sesiapa saja yang baru dikenali, berbuat baiklah pada mereka. Jika jumpa orang yang lemah dan sedang memerlukan bantuan, bantulah mengikut kadar kemampuan masing-masing.

“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.”
(Hadis Riwayat Bukhari)

#7 – Mudahkan Urusan Orang Lain Dan Penuhkan Hajat Mereka

Kita permudahkan urusan orang lain maka Allah SWT akan mempermudahkan urusan kita.

“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Hadis Riwayat Muslim)

#8 – Muliakan Tetamu

Tetamu yang datang akan membawa bersama rezeki maka layanilah tetamu dengan baik dan sopan santun. Muliakan tetamu kerana ia datang dengan rezeki ke rumah kita.

Nabi SAW berwasiat kepada Saidina Ali,

“Wahai Ali ! Anjurkanlah berbuat baik kepada mereka yang sedang ceria wajahnya. Dan hormatilah tetamu sebab rezeki tetamu yang singgah kerumah sesaorang pun ikut singgah di situ.

#9 – Kerjakan Solat Dhuha

Solat dhuha juga boleh bantu untuk membukakan pintu rezeki. Mereka yang rajin solat dhuha tidak akan berasa rugi kerana ia memang dapat bantu bukakan pintu rezeki dengan luas.

“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Duha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.”
(Hadis Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

#10 – Syukur Selalu

Syukur selalu. Sebutlah alhamdulillah dan bersyukurlah juga pada waktu sujud semasa tunaikan solat. Sujud sambil ucapkan syukur adalah satu amalan yang baik.

Firman Allah SWT,

“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Surah Ibrahim ayat 7)

Doa Murah Rezeki Sepertimana Yang Dibaca Oleh Rasulullah SAW Kepada Anas Bin Malik

اَللَّهُمَّ أَكْثِرْ مَالَهُ وَوَلَدَهُ ووالسع له في داره وَبَارِكْ لَهُ فيما اعطيته واحسن اعماله والغفرله

Maksudnya: Ya Allah, perbanyakkanlah hartanya dan anak-anak-anaknya dan luaskanlah rumahnya dan berkatilah apa yg telah engkau kurniakan kepadanya dan perbaikilah amalannya dan ampunkan untuknya.

Ubah Sikap Dan Amalkan Yang Baik Supaya Rezeki Tidak Sempit Lagi

Jika sebelum ini tidak pernah amalkan apa yang telah diberitahu tadi, jangan risau kerana kita masih punya peluang. Dengan Allah SWT selagi hayat masih di badan, berubahlah! Jika dulu tidak solat kini boleh mula kenal tikar sejadah untuk sembahyang.

Jika dulu rajin naik tangan ke muka isteri kini taubat dan layanilah isteri dengan baik. Ini semua tidak mustahil yang pasti jangan lupa untuk berubah sikap dan jangan lupa untuk terus berusaha dengan tubuh badan yang telah Allah SWT ciptakan ini. InshaAllah, rezeki yang dulu sempit akan mula menampakkan diri, aamiin.

Sumber:

Nona

Quranicgen

Keluarga

Penulis: Siti Awadah

Siti Awadah

Penulis bebas yang berkerjaya dari rumah. Fokus menulis dgn skill SEO dalam gaya santai untuk pelbagai topik seperti kesihatan, keibubapaan, perhubungan, kecantikkan, makanan, travel, Islamik dan sebagainya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.