Ada lebih 100 jenis kanser di dunia. 10 jenis kanser yang paling biasa di Malaysia ialah kanser payudara, kolorektum, paru-paru termasuk trakea dan bronkus, limfoma, nasofarinks, leukimia, uteri serviks, hati, ovari dan perut. Menurut laporan statistik Institut Kanser Negara 2007-2011, kanser payudara ialah kanser tertinggi di Malaysia pada 17.7%, diikuti oleh kolorektum pada 13.2%. Kanser payudara paling banyak menyerang wanita, manakala lelaki lebih cenderung menghidap kanser kolorektum.

Menurut laporan statistik Institut Kanser Negara 2007-2011, kanser payudara ialah kanser tertinggi di Malaysia pada 17.7%, diikuti oleh kolorektum pada 13.2%. Kanser payudara paling banyak menyerang wanita, manakala lelaki lebih cenderung menghidap kanser kolorektum.

punca kanser
Sumber: Hijabnheels

Menurut laporan tersebut juga, wanita mempunyai risiko lebih tinggi menghidap kanser berbanding lelaki. 1 daripada 9 wanita berisiko menghidap kanser berbanding 1 daripada 10 lelaki. Bangsa Melayu juga berisiko menghidap kanser berbanding kaum lain di Malaysia. Namun begitu, wanita Cina lebih ramai menghidap kanser payudara berbanding kaum lain. Risiko menghidap kanser di kalangan lelaki dan wanita mulai meningkat selepas usia 30an dan lelaki lebih banyak menghidap kanser berbanding wanita pada usia 60 tahun dan ke atas.

Apakah kanser?

Kanser atau barah adalah sejenis penyakit yang berkaitan dengan ketidakseimbangan replikasi dan tindak balas sel di dalam badan. Sel biasanya bertambah mengikut aturan bagi membolehkan tumbesaran badan dan pemulihan selepas berlakunya kecederaan. Namun, masalah mulai timbul apabila sel ini bertambah secara tidak normal seperti sel penghasilan darah dalam masalah leukimia. Keadaan ini menyebabkan ketumbuhan yang tidak normal yang juga dikenali sebagai tumor.

Tetapi, tumor tidak semestinya barah. Tumor yang bukan barah tidak merebak ke bahagian badan atau organ yang lain, sedangkan barah boleh merebak ke anggota lain sekiranya tidak dirawat.

Punca

Ada banyak perkara yang boleh menyumbang kepada penyakit kanser. Punca biasa berlakunya kanser adalah;

  • Merokok dan tembakau

Asap tembakau terhasil daripada beribu-ribu bahan kimia termasuk kira-kira 70 jenis bahan yang diketahui boleh menyebabkan kanser. Merokok bukan sahaja bahaya kepada penghisap rokok, malah ia turut memberi masalah kesihatan kepada mereka yang tidak merokok tetapi hidup di kalangan perokok.

punca kanser
Sumber: Intisari
  • Diet dan aktiviti fizikal

Tidak menjaga pemakanan seperti kerap makan makanan yang tidak menyihatkan, minum terlalu banyak alkohol di samping kurang aktif boleh mendedahkan anda kepada risiko menghidap kanser.

  • Sinaran matahari dan radiasi yang lain

Cahaya matahari memang bagus tetapi kalau terlalu terdedah kepada cahaya matahari sekitar jam 10am sehingga 4pm, anda sebenarnya sedang membuka ruang untuk masalah kesihatan yang lebih serius. Sinar UV yang berlebihan boleh menyebabkan kanser kulit. Kanser juga boleh disebabkan oleh radiasi lain seperti X-ray dan gamma serta radon.

  • Virus dan jangkitan lain

Virus dan jangkitan boleh mengubah tubuh dari beberapa segi. Ia boleh memberi kesan kepada gen di dalam sel yang mengawal pertumbuhan. Sesetengah jangkitan juga boleh menyebabkan radang bagi tempoh yang lama, manakala sesetengahnya pula mengganggu sistem imun badan. Semua ini boleh membawa kepada masalah yang lebih besar seperti kanser.

Simptom

Simptom-simptom kanser adalah bergantung kepada jenis kanser yang dihidapi. Namun, secara umumnya, pesakit kanser akan mengalami simptom yang berikut;

  • Penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan
  • Demam pada masa tertentu. Ia juga boleh menjadi simptom awal bagi leukimia dan limfoma.
  • Berasa terlalu letih dan keletihan tidak hilang walaupun sudah berehat.
  • Sakit pada bahagian tertentu mengikut jenis kanser. Sebagai contoh, sakit kepala adalah simptom bagi tumor otak, manakala sakit belakang merupakan simptom bagi kanser kolon, ovari atau rektum.
  • Perubahan pada kulit seperti warna kulit semakin gelap, semakin menguning atau semakin merah. Kulit juga boleh gatal dan tumbuh bulu yang banyak.

Rawatan

Kanser dikenalpasti dengan pemeriksaan fizikal secara menyeluruh termasuk sejarah perubatan pesakit. Kanser seperti kanser payudara dan kanser prostat boleh dikesan dengan pemeriksaan harian secara sendiri atau kaedah pemeriksaan lain yang ditawarkan hospital seperti X-ray, CT dan MRI. Ini boleh mengelakkan simptom semakin serius. Oleh itu, kebanyakan kanser hanya boleh dikesan selepas tumor tumbuh dan dirasai atau adanya simptom-simptom tertentu. Pada masa tertentu, kanser dikesan semasa sedang merawat masalah kesihatan yang lain.

punca kanser
Sumber: Medicalnewstoday

Apabila doktor mengesan adanya kanser dalam tubuh, mereka akan menjalankan ujian-ujian yang lain pula. Doktor juga perlu mengenalpasti sama ada kanser sudah merebak ke bahagian badan yang lain.

Rawatan kanser adalah bergantung kepada jenis kanser yang dihidapi dengan mengambil kira sama ada ia telah merebak ke bahagian badan yang lain dan usia pesakit.  Antara rawatan untuk penyakit ialah pembedahan, radioterapi, kemoterapi, imunoterapi, dan terapi hormon.

Kemoterapi adalah rawatan yang biasa kita dengar apabila merujuk kepada kanser. Ia digunakan untuk menyembuhkan, mengawal atau mengurangkan gejalan penyakit kanser. Tempoh rawatan ini adalah bergantung kepada jenis barah. Menerusi kemoterapi, ubat dimasukkan ke salur darah untuk sampai ke sel barah dalam tubuh. Ubat ini akan berada di dalam sistem peredaran darah dan memusnahkan sel-sel tertentu.

Sebagaimana dalam kebanyakan rawatan yang lain, rawatan kanser boleh mendatangkan kesan sampingan berikut;

  • Masalah usus

Masalah usus yang biasa dihadapi ialah sembelit dan cirit-birit. Pesakit yang menghadapi masalah ini digalakkan untuk minum air dengan lebih banyak. Mereka yang sembelit dinasihatkan untuk makanan makanan berserat tinggi. Manakala yang mengalami cirit-birit pula dinasihatkan untuk makan pada jumlah yang sedikit tetapi kerap dan bersuhu suam. Pesakit juga perlu mengelakkan makanan tertentu seperti makanan pedas, makanan berlemak dan bergoreng, dan makanan berserat yang kasar. Sebagai ganti, pesakit boleh makan nasi dan sup, keju dan roti bakar.

  • Masalah mulut

Ulser dan jangkitan ialah masalah yang boleh berlaku kepada pesakit yang sedang dalam rawatan. Selain memberus gigi dua kali sehari dengan berus gigi lembut, berkumur, pesakit juga dinasihatkan untuk minum banyak air, makan makanan yang lembut, makanbuah-buahan masam dan gula berangin. Ini adalahuntuk mengelakkan mulut menjadi kering dan mengelakkan jangkitan dalam mulut.

  • Rambut gugur

Masalah rambut gugur berlaku bergantung kepada individu dan jenis ubat-ubatan yang diambil oleh pesakit tersebut. Selain rambut di kepala, bulu pada bahagian yang lain juga boleh gugur. Inilah yang menyebabkan pesakit memakai rambut palsu, topi atau skaf. Pesakit mesti menjaga kebersihan rambut dan kepala selain mengelakkan cahaya matahari kena terus kepada kepala yang tidak berambut.

punca kanser
Sumber: Diabetesstrong
  • Kesuburan

Pesakit wanita biasanya akan mengalami kitar haid yang tidak teratur manakala pesakit lelaki akan mengalami kekurangan penghasilan sperma. Pesakit yang mengalami kesan sampingan seperti letih dan loya juga menyebabkan halangan melakukan hubungan seksual.

Dalam tempoh rawatan, pesakit amat memerlukan sokongan terutama dari mereka yang tersayang.

  • Kaunseling

Kanser boleh menyebabkan perubahan tingkahlaku. Lebih-lebih lagi dengan semua rawatan yang mendatangkan kesan sampingan. Perasaan pesakit boleh terganggu. Pada masa inilah khidmat kaunseling amat diperlukan bagi memulihkan semula kekuatan dalam diri pesakit. Kaunseling kanser ini dikendalikan oleh profesional terlatih yang akan mendengar luahan pesakit, mengurangkan rasa takut dan kekeliruan.

  • Diet

Perubahan kepada tubuh, gangguan emosi dan kesan sampingan seperti loya menyebabkan pesakit kehilangan selera makan. Oleh itu, pesakit amat memerlukan makanan yang sihat dengan tambahan 20% khasiat berbanding kebiasaannya. Pemakanan yang sihat adalah penting agar pesakit berasa lebih sihat dan mampu menahan kesan sampingan rawatan.

  • Perkhidmatan kerja sosial

Pekerja sosial memberi pertolongan kepada pesakit dalam menguruskan urusan harian. Ini termasuk memberi penerangan mengenai prosedur dan jadual rawatan, mendapatkan pembantu untuk menguruskan urusan rumah pesakit, mengatur pengangkutan untuk rawatan, mengambil ubat dan bekalan perubatan serta banyak lagi yang dapat meringankan beban pesakit.

  • Rehabilitasi

Kanser juga boleh menyebabkan kehilangan fungsi badan atau kecacatan sementara. Oleh itu, bantuan akan diberikan bagi memulihkan fizikal dan psikososial pesakit.

punca kanser
Sumber: Tribunnews
  • Kumpulan sokongan

Kumpulan sokongan adalah perjumpaan dan interaksi di antara orang yang mempunyai kepentingan dalam penyakit kanser. Mereka adalah profesional perubatan, pesakit kanser dalam rawatan dan ahli keluarga pesakit. Dalam perjumpaan ini, mereka dapat berkongsi cerita dan luahan perasaan akan perubahan yang berlaku. Ini juga ruang untuk mereka berkongsi cara menghadapi cabaran.

Setiap penyakit ada ubatnya. Begitu juga dengan kanser. Menghidap kanser adalah episod hidup yang menakutkan sesiapa sahaja. Namun, pada masa kini ada banyak jenis rawatan yang boleh didapati termasuk sokongan bagi melalui pengalaman sukar ini. Bagi mereka yang masih sihat, ini adalah masa yang terbaik untuk mengubah pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat. Anda juga digalakkan untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan bagi memastikan tubuh sentiasa sihat. Sekiranya ada kenalan atau ahli keluarga yang menghidap kanser, ini adalah masanya untuk memberi sokongan kepada mereka.

Rujukan

Penulis: Samsiah Ahmad

Merupakan salah seorang penulis di Bidadari.My. Berminat dengan ilmu kerohanian dan lukisan.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.