Pastinya anda biasa terkena kaki kebas atau semut-semut. Biasanya kaki anda akan berasa kebas atau semut-semut akibat duduk dalam posisi yang sama untuk tempoh yang lama.

Namun tahukah anda bahawa yang sebenarnya kaki kebas juga berpunca daripada masalah kesihatan yang serius. Jom kami kongsikan punca kaki kebas yang anda wajib tahu.

Apakah yang dimaksudkan dengan kaki kebas atau semut-semut?Kebas atau semut-semut adalah keadaan di mana anda berasa seperti tajam-tajam dan adakalanya turut berasa pedih dan panas pada mana-mana anggota tubuh badan. Anda juga tidak dapat merasa anggota yang disentuh apabila kebas atau semut-semut.

Kebas biasanya berlaku di bahagian:

  • Tapak tangan
  • Kaki
  • Jari-jemari tangan
  • Jari-jemari kaki
  • Tapak kaki
punca kaki kebas
Sumber: Glucolix

Apakah punca kaki kebas? Terdapat banyak punca mengapa kebas berlaku. Di antara punca yang paling kerap ialah:

Duduk dalam posisi yang sama untuk jangka masa yang lama

Duduk dalam posisi yang sama untuk jangka masa yang lama tanpa mengubah kedudukan atau bergerak boleh menyebabkan kaki anda kebas. Sebagai contoh jika anda bersila untuk tempoh yang lama, kaki anda akan mula berasa kebas dan semut-semut.

Tidur sambil menghempap kaki dengan bantal

Jika anda tidur dalam posisi ini dan tidak bergerak sehingga pagi, kaki anda akan terasa kebas semasa bangun tidur kerana anda telah menghempap kaki tersebut dengan lama.

Duduk sambil bersilang kaki

Ini juga adalah punca kaki kebas yang biasa dilakukan. Apabila anda duduk sambil bersilang kaki, anda akan menghalang aliran darah daripada sampai ke kaki anda lalu berlakunya kebas.

Neuropati Diabetis

Punca kaki kebas yang seterusnya ialah Neuropati Diabetes iaitu sejenis gangguan saraf yang berlaku disebabkan oleh kerosakan saraf akibat penyakit diabetes. Neuropati jenis ini boleh menjejaskan mana-mana bahagian tubuh badan anda termasuk bahagian kaki dan tapak kaki. Tahukah anda bahawa sebanyak 60 sehingga 70 peratus pesakit diabetis mengalami beberapa bentuk neuropati.

Kebas atau semut-semut di kaki adalah di antara gejala pertama bagi Neuropati Diabetis. Jika punca kaki kebas yang anda alami adalah disebabkan oleh Neuropati Diabetis, kebas pada kaki anda akan bertambah teruk pada waktu malam. Adakah kebas kaki disebabkan oleh penyakit ini merbahaya? Ya. Ia sangat merbahaya.

Selain kebas, lama-kelamaan lepuhan dan luka boleh terbentuk di tapak kaki anda apabila berlakunya kecederaan yang tidak disedari disebabkan oleh kebas. Jangkitan boleh berlaku kepada luka tadi dan disebabkan oleh peredaran darah yang lemah di kalangan pesakit Diabteis, ia boleh menyebabkan amputasi atau pemotongan kaki.

punca kaki kebas
Sumber: Hellosehat

Tarsal Tunnel Syndrome atau Sindrom terowong Tarsal

Ia adalah satu keadaan di mana berlakunya mampatan pada saraf tibialis posterior yang terletak di sepanjang bahagian dalam tumit. Kebas pada kaki adalah salah satu daripada simptom penyakit ini selain sakit keterlaluan secara tiba-tiba, rasa seperti kejutan elektrik dan rasa terbakar.

Penyakit Arteri Periferal atau PAD

Ia adalah sejenis penyakit di mana plak terbentuk dalam saluran arteri. Lama kelamaan, plak ini akan mengeras lalu menyempitkan arteri dan mengganggu aliran bekalan darah dan oksigen ke seluruh bahagian tubuh badan. PAD boleh menjejaskan kaki lalu menyebabkan anda berasa kebas pada kedua-dua belah kaki dan tapak kaki.

Tekanan Pada Saraf

Punca kaki kebas yang seterusnya ialah disebabkan oleh terlalu banyak tekanan pada saraf. Tekanan pada saraf boleh berlaku disebabkan oleh:

  • Otot tegang
  • Memakai kasut yang terlalu ketat
  • Kecederaan pada tapak kaki atau pergelangan kaki
  • Cakera tulang belakang tergelincir
  • Herniated atau masalah tulang belakang yang memerangkap saraf dan memberi tekanan kepada tulang belakang
punca kaki kebas
Sumber: Remaja

Fibromyalgia

Ia juga boleh menjadi punca kaki kebas yang anda alami. Ia dipercayai berlaku disebabkan oleh otak menguatkan isyarat rasa sakit. Ia biasanya berlaku disebabkan oleh pembedahan, trauma fizikal, trauma psikologi atau tekanan emosi, dan jangkitan. Fibromyalgia adalah sejenis gangguan yang menyebabkan anda mengalami:

  • Kesakitan otot di seluruh badan
  • Keletihan yang melampau
  • Gangguan pola tidur
  • Masalah ingatan
  • Masalah mood atau mood swing

Multiple Sclerosis (MS)

Ini pula adalah sejenis gangguan autoimun yang memberi kesan terhadap sistem saraf dan akan menyebabkan anda kebas kaki. Penyakit ini berlaku disebabkan oleh kerosakan pada sarung myelin. Di antara simptom penyakit ini adalah kejang otot, kehilangan keseimbangan badan, pening, letih yang melampau, dan kerap kebas kaki.

Strok

Punca kaki kebas yang seterusnya ialah penyakit strok. Strok adalah sejenis masalah kesihatan yang berlaku apabila aliran bekalan darah ke otak terganggu. Kegagalan untuk menerima bekalan oksigen yang mencukupi akan menyebabkan berlakunya kerosakan pada sel-sel saraf otak pada bahagian tersebut lalu mengakibatkan bahagian badan yang dikuasai oleh bahagian terlibat tidak dapat berfungsi seperti yang sepatutnya. Di antara simptom strok ialah:

  • Kebas atau lemah secara tiba-tiba pada muka, lengan, ataupun kaki dan biasanya hanya pada sebelah bahagian badan sahaja
  • Tiba-tiba sukar menelan
  • Hilang kesedaran
  • Pengsan atau keliru secara tiba-tiba
  • Kurang daya ingatan
  • Sukar bercakap atau memahami percakapan
  • Hilang penglihatan sebelah atau kedua-dua belah mata
  • Hilang keseimbangan atau koordinasi ketika berjalan
  • Kelopak mata tertutup dan otot-otot mata menjadi lemah
punca kaki kebas
Sumber: Sehatfresh

Itulah dia punca kaki kebas yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Ianya boleh menjadi punca yang merbahaya jadi jika anda kerap kebas kaki, dicadangkan supaya anda berjumpa doktor dengan segera.

Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan perkongsian kami hari ini, anda juga mungkin berminat untuk membaca tulisan kami tentang punca pedih ulu hati punca kurap, dan punca stress

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.