Kenapa lelaki juga berjerawat? Jom ketahui apakah punca jerawat lelaki menurut penyelidikan sains yang telah dijalankan.

Pengenalan

Jerawat atau acne terbentuk hasil daripada folikel rambut dan kelenjar sebum yang tersumbat atau yang mengalami keradangan. Jerawat mungkin bersifat radang yang merengsakan ataupun bukan radang yang menyakitkan, bergantung kepada koloni pembiakan bakteria di kawasan pori yang tersumbat (P. acnes).

Dengan aktiviti hormon yang meningkat terutamanya di kawasan kulit, ditambah dengan penghasilan sebum dan folikel yang tersumbat, hal ini akan menyebabkan berlakunya fenomena comedone tertutup dan comedone tertutup, masing-masing lebih dikenali sebagai whitehead dan blackhead. 

Hormon Punca Jerawat

Hormon androgen, banyak dijumpai dalam lelaki yang turut dikesan dalam kuantiti sedikit dalam wanita, merupakan hormon yang mengawal pertumbuhan jerawat, khususnya ketika musim akil baligh bagi kedua-dua lelaki dan perempuan.

Bagi perempuan yang menghidap sindrom polisistik ovari (PCOS), penghasilan hormon androgen akan meningkat daripada cyst ovari yang turut menyebabkan masalah jerawat.

Sementara itu, hormon yang sering dikaitkan dengan sifat kelelakian, testosterone, turut menjadi punca jerawat lelaki.

Hormon ini juga dijumpai pada kulit muka yang dicernakan oleh enzim kulit, menyebabkan liang pori tersumbat dan masalah jerawat.

Punca Jerawat Lelaki

Menurut hasil tinjauan penyelidikan oleh para saintis UKM pada tahun 2012, golongan remaja merupakan golongan yang paling ramai menghadapi masalah jerawat iaitu merangkumi 67.5%.

Di samping itu, keadaan ini sangat biasa dijumpai dalam kalangan lelaki (71.1%) berbanding perempuan.

Sementara itu, hasil kajian sekumpulan penyelidik di Seoul, Korea Selatan pada tahun 2013 melihat perbezaan kualiti kulit yang ketara antara lelaki dengan perempuan. Dari segi anatomi, liang pori lelaki adalah lebih besar berbanding kulit perempuan yang lebih licin dan halus yang disebabkan oleh hormon kewanitaan.

1. Tekanan Hidup

Remaja pada zaman sekarang lebih-lebih lagi lelaki, banyak didedahkan dengan pelbagai tekanan hidup seperti peperiksaan, pengaruh rakan sebaya, berjinak dengan alam percintaan dan aktiviti sukan yang melibatkan persaingan sengit.

Apabila seseorang itu menghadapi tekanan, semakin banyak hormon kortisol terhasil sebagai respon kepada keadaan tertekan tersebut. Seterusnya, kortisol akan memberikan isyarat enzim untuk menyekat liang pori yang sedia maklum menjadi punca jerawat.

2. Diet Pemakanan

Imej via Bidadari

Satu fakta yang sudah terang lagi bersuluh bahawa lelaki lebih kuat makan berbanding perempuan. Hal ini disebabkan lelaki menggunakan lebih banyak tenaga untuk aktiviti fizikal yang sesuai dengan sosok tubuh lelaki. Oleh itu, makanan merupakan sumber tenaga yang penting bagi lelaki dalam melakukan sesuatu tugas.

Kebiasaannya, makanan yang diambil adalah seperti nasi, lauk pauk sumber protein (e.g ayam, daging, telur) dan minuman bergula.

Namun, senarai makanan tersebut merupakan makanan yang tinggi kandungan indeks glisemik. Kajian lepas banyak melaporkan hubungan yang kuat dan signifikan antara diet makanan tinggi nilai indeks glisemik dengan pertumbuhan jerawat.

Secara saintifiknya, apabila makanan sebegini memasuki sistem pencernaan kita, insulin akan dirembeskan untuk mencerna makanan tersebut menjadi tenaga. Tetapi, insulin bukan sahaja akan menguraikan makanan tinggi karbo ini, tetapi juga bertindak sebagai bahan yang menyebabkan keradangan pada kelenjar kulit sehingga menjadi punca jerawat yang teruk.

3. Body Mass Index (BMI)

Satu hasil kajian yang menarik telah dilaporkan oleh para penyelidik di Fakulti Sains Kesihatan UKM pada tahun 2012. Mereka mendapati bahawa lelaki dengan BMI yang lebih tinggi mempunyai hubungan statistik yang signifikan dengan masalah jerawat.

Hal ini tidak dilihat bagi peserta perempuan dalam kajian mereka yang menunjukkan bahawa masalah jerawat tidak dipengaruhi oleh BMI mereka.

Isu BMI tinggi menjadi punca jerawat lelaki boleh dikaitkan dengan penghasilan lebih banyak insulin, selari dengan diet pemakanan tinggi karbo tinggi indeks glisemik.

4. Genetik Keturunan

Kajian tersebut yang melaporkan pengaruh BMI terhadap masalah jerawat, turut membincangkan faktor keturunan sejarah keluarga atau genetik yang diwarisi sebagai antara punca jerawat lelaki.

Hal ini disokong oleh kajian di serata dunia, antaranya kajian di United Kingdom yang mendapati faktor genetik merangkumi 81% punca masalah jerawat, manakala terdapat 69.3% kes masalah jerawat di Jordan juga dikesan mempunyai sejarah keluarga yang mengalami masalah jerawat.

5. Tabiat Merokok

Golongan remaja lelaki sering dikaitkan dengan gejala merokok akibat faktor-faktor seperti rasa ingin mencuba, pengaruh rakan sebaya dan cara menghilangkan stress.

Selain daripada ancaman kesihatan seperti kanser paru-paru, masalah pernafasan dan masalah kesuburan, tabiat merokok merupakan antara punca jerawat lelaki.

Perkara ini disokong dalam kajian oleh sekumpulan penyelidik dari Romania pada tahun 2016. Dalam tinjauan ke atas 148 pelajar sekolah menengah selama 4 bulan, didapati terhadap perhubungan statistik yang signifikan yang mengambil kira faktor merokok dengan masalah jerawat iaitu sebanyak 62.9%.

Kesimpulan

Ringkasnya, punca jerawat lelaki ialah tekanan hidup, gaya pemakanan, BMI, sejarah keturunan keluarga dan tabiat merokok. Bagi meningkatkan keyakinan diri dengan penampilan yang lebih baik apabila masalah jerawat berkurang, golongan lelaki perlulah sentiasa peka menjaga aspek perapian diri.

Bukan sekadar untuk luaran sahaja, amalan gaya hidup sihat akan menjadikan kesihatan tubuh badan yang berpanjangan.

Jemput juga abca artikel jenis jerawat dan senaman muka untuk awet muda

Rujukan

  1. Al Hussein, S. M., Al Hussein, H., Vari, C. E., Todoran, N., Al Hussein, H., Ciurba, A., & Dogaru, M. T. (2016). Diet, Smoking and Family History as Potential Risk Factors in Acne Vulgaris–a Community-Based Study. Acta Medica Marisiensis62(2), 173-181. (link)
  2. Ferdowsian, H. R., & Levin, S. (2010). Does diet really affect acne. Skin Therapy Lett15(3), 1-2. (link)
  3. Ismail, N. H., Manaf, Z. A., & Azizan, N. Z. (2012). High glycemic load diet, milk and ice cream consumptionare related to acne vulgaris in Malaysian young adults: a case control study. BMC dermatology12(1), 13. (link)
  4. Kim, B. Y., Choi, J. W., Park, K. C., & Youn, S. W. (2013). Sebum, acne, skin elasticity, and gender difference–which is the major influencing factor for facial pores?. Skin Research and Technology19(1), e45-e53. (link)
  5. Schilling, R. (2013). Pimples And Acne Can Be Caused By Food. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.