Sebagaimana kita menjaga penampilan dan kecantikan luaran, begitu jugalah kita wajib menjaga kawasan sulit. Tak guna jika wajah ‘flawless’ dan gebu jika ada masalah faraj (vagina) berbau. Tak guna pakai baju cantik-cantik, tapi jauh di sudut hati tak ada keyakinan diri sebab masalah tersebut.

Sedar tak sedar, ramai wanita di luar sana yang menghadapi masalah faraj  berbau. Perkara ni tak boleh diambil mudah kerana takut kelak akan memberi masalah kesihatan yang serius.

Menurut Dr Sashini Seeni dalam laman web Doctor On Call, setiap wanita perlu mengenal pasti faraj yang normal untuk menentukan faraj berbau yang luar biasa. Ini kerana setiap wanita mempunyai bau faraj yang berbeza-beza. Malahan, adalah sesuatu yang normal jika faraj mempunyai bau yang tersendiri.

Apabila ada masalah faraj berbau, kita akan cenderung berasa malu dengan diri sendiri. Di situlah masalah kurang keyakinan untuk bersosial akan timbul. Bayangkan, jika anda bakal berumah tangga. Sudah tentu anda tak nak suami mengetahui masalah yang memalukan ni, betul tak?

Oleh itu, masalah faraj berbau perlu dicari puncanya dan cuba atasi dengan awal. Jika dibiarkan, selain mengganggu kesihatan, ia juga akan memberikan tekanan buat kita.

Bagi para wanita yang ada masalah faraj berbau. Artikel ni khas untuk anda. Jangan risau, tiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Jangan biarkan masalah ni terus mengganggu kualiti hidup anda.

Punca Faraj Berbau Dan Cara Atasi

faraj berbau
Imej via Bidadari

Sebelum mengambil langkah untuk atasi masalah ni, kita kena tahu puncanya terlebih dahulu.

Kurang Jaga Kebersihan

Ni merupakan antara punca utama masalah ni. Selepas buang air kecil atau besar, anda tak mencucinya dengan bersih. Malahan, terus saja menyarung seluar dalam tanpa mengeringkan atau mengelap alat sulit terlebih dulu.

Ini menyebabkan bakteria mudah membiak kerana kawasan faraj dan seluar dalam yang lembap. Malahan, ada pula yang tak mencukur bulu kemaluan. Habislah menjadi semak-samun tempat segala bakteria berkubang.

Cara Atasi:

Menjaga kebersihan diri amat penting. Pastikan mencuci bahagian alat sulit selepas ke tandas dengan bersih. Lapkan dengan tisu untuk hilangkan lebihan air dan seterusnya dapat mengelakkan pakaian dalam menjadi basah.

Malahan, jangan lupa cukur bulu kemaluan atau trim saja bagi wanita dan lelaki. Selain nampak kemas, alat sulit pun akan sentiasa bersih dan sihat.

Terkena Jangkitan

Bila tak jaga kebersihan yang paling asas, mudahlah faraj terkena infeksi. Selain faraj berbau, kawasan Miss V terasa pedih dan gatal-gatal, maknanya anda perlu dapatkan rawatan.

Kemungkinan anda terkena jangkitan Bacterial Vaginosis (BV) yang disebabkan oleh bakteria Gardnerella Vaginalis. Sebenarnya di sekitar faraj ada bakteria baik untuk menjaga kesihatan faraj. Namun, bakteria jahat ni akan menyebabkan keputihan cair yang berbau hanyir.

Selain itu, seseorang wanita juga boleh terkena jangkitan daripada suaminya. Jika suaminya kurang menjaga kebersihan alat sulit, jangkitan boleh berlaku selepas melakukan hubungan seksual.

Cara Atasi:

Segera dapatkan rawatan doktor jika kawasan faraj sudah mula gatal-gatal dan pedih. Jangan biarkan masalah melarat. Paling penting jangan sesekali cuba petua tradisional yang anda pun tak pasti keberkesannnya. Jangan malu untuk berjumpa doktor.

Bau Peluh

Jika kita aktif bergerak, sudah tentu tubuh akan mengeluarkan peluh. Kelenjar peluh apokrin bukan saja terdapat di bahagian ketiak, tapi juga di faraj. Ketika kelenjar tersebut menghasilkan banyak minyak, ia akan mengaktifkan bakteria di kulit. Sebab itulah peluh berbau kurang enak.

Apabila memakai seluar dalam yang terlalu ketat dan tak menyerap peluh dengan baik, masalah faraj berbau jadi lebih teruk. Peluh yang terperangkap akan hasilkan bau yang tak menyenangkan.

Cara Atasi:

Gunakan seluar dalam yang longgar dan mampu menyerap peluh dengan baik iaitu  diperbuat daripada kain kapas. Malahan, tukarlah seluar dalam dengan kerap sekurang-kurangnya 2 kali sehari.

Pemakanan Harian

Tanpa kita sedar, ada makanan yang menyumbang masalah ni. Apa yang kita makan rupanya boleh juga mempengaruhi cairan normal di faraj. Antara makanan penyebab masalah ni ialah bawang putih dan merah, kubis, brokoli dan rempah ratus.

Cara Atasi:

Kurangkan pengambilan makanan yang mempunyai bau yang menyengat. Anda masih boleh makan, tapi jarakkan pengambilan. Makanan seperti yogurt dan nanas bagus untuk mengatasi masalah faraj berbau.

Elakkan makanan yang tinggi kadar gula. Ini kerana ia akan meningkatkan penghasilan kulat dan bakteria.

Douching Dan Pembersih Faraj

Proses ‘douching’ bermaksud menyembur sejenis bahan pembersih ke dalam lubang faraj. Cairan tersebut diperbuat daripada bahan kimia yang biasanya mengandungi air, cuka, baking soda, pewangi dan antiseptik.

Manakala pembersih faraj pula menggunakan cairan sabun untuk membersihkan kawasan luar faraj. Sebenarnya, kedua-dua cara ni tak perlu dibuat. Tuhan telah menciptakan faraj yang memiliki cara sendiri untuk membasmi bakteria jahat.

Penggunaan produk seperti ni akan mengganggu nilai (ph) normal faraj. Seterusnya bakteria baik akan mati dan mengakibatkan jangkitan kuman.

Cara Atasi:

Tak perlu guna pencuci khas yang berbau bunga-bungaan atau buah-buahan. Ini kerana produk tersebut pasti mempunyai bahan kimia yang tinggi. Gunakan saja air bersih untuk membersihkan faraj.

Pad Wanita Dan Tampon

Apabila sedang dalam haid, biasanya wanita akan memakai pad atau tampon. Darah haid yang diserap dalam kedua-dua benda ni mudah menjadi sarang bakteria jika tak diganti dengan kerap.

Selain bau darah yang banyak sebab tak tukar pad atau tampon, pembiakan kuman akan menghasilkan bau yang tak menyenangkan. Malahan, peluh yang terperangkap dan tiada pengudaraan juga menyumbang masalah faraj berbau.

Cara Atasi:

Tukarlah pad atau tampon dengan kerap. Walau sesibuk macam manapun, pastikan anda jangan memakainya untuk berjam-jam lamanya. Walaupun pengaliran darah haid anda kurang, pastikan tukarnya dengan kerap. Tukar setiap 3 hingga 4 jam.

Pengambilan Ubat-Ubatan

Punca lain masalah faraj berbau ialah pengambilan ubatan tertentu yang mempunyai kesan sampingan. Misalnya antibiotik yang akan mengganggu keseimbangan bakteria di faraj.

Selain itu, pengambilan ubat antihistamin yang berfungsi untuk merawat alahan juga dikatakan boleh memberi kesan kepada faraj. Antihistamin akan menyebabkan pengeluaran cairan semula jadi di faraj menjadi kurang. Akibatnya faraj menjadi kering dan mudah terkena jangkitan kuman.

Cara Atasi:

Dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu jika perlu mengambil ubat-ubatan tersebut. Jika masalah masih berterusan, minta pendapat ubatan alternatif daripada pakar perubatan.

Masalah Keputihan

Dalam keadaan normal, setiap wanita mempunyai cairan atau lelehan keputihan yang keluar dari faraj. Namun ada yang tak kena jika ia berbau kuat, terlebih banyak, warna yang tak normal dan terasa gatal.

Terdapat banyak sebab keputihan tak normal yang mengakibatkan bau dan gatal. Antaranya jangkitan kulat, kanser pangkal rahim, pil perancang keluarga, keradangan pelvik, trikomoniasis, diabetes dan sebagainya.

Cara Atasi:

Pertama sekali, anda perlu dapatkan rawatan dan pemeriksaan di klinik atau hospital untuk mendiagnos masalah utama. Selain itu, amalkan gaya hidup sihat dengan banyakkan minum air putih, bersenam dan sebagainya.

Akhir kata, semoga artikel ni memberi pendedahan kepada pembaca tersayang  tentang punca daan cara untuk mengatasi faraj berbau. Hanya kita yang boleh menjaga anggota badan sendiri dengan sebaik-baiknya.

Rujukan

  1. Doctoroncall.com.my
  2. Freemalaysiatoday.com
  3. My.theasianparent.com

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

    Tinggalkan Komen!


    Langgan Info Kami

    Berkaitan


    .