Diabetes atau penyakit kencing manis adalah di antara penyakit kronik yang paling ditakuti oleh rakyat Malaysia. Ia adalah keadaan di mana paras glukos dalam darah adalah terlalu tinggi dan boleh menyebabkan pelbagai komplikasi seperti kegagalan fungsi organ dalaman.

Jika diabetes tidak dikawal, ia akan mendatangkan pelbagai komplikasi buruk kepada badan dan menjadi punca berlakunya penyakit yang lebih serius seperti tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Malah untuk kes diabetes, mengubati penyakit ini bukanlah sesuatu yang mudah. Oleh itu, adalah sangat penting untuk anda mengetahui apakah punca diabetes supaya boleh dielakkan dari awal sebelum ianya terjadi.

punca diabetes
Sumber: Insidephylanthropy

1. Faktor genetik

Tahukah anda bahawa diabetes adalah satu penyakit keturunan yang boleh diturunkan dari satu generasi kepada generasi yang seterusnya melalui genetik. Oleh itu, jika ada ahli keluarga anda yang lain mempunyai masalah diabetes, maka tak hairanlah kalau anda juga mempunyai masalah yang sama.

Kemungkinan besar anak anda nanti juga akan akan mewarisi penyakit diabetes melalui genetik daripada anda. Namun usahlah anda bersedih, ini adalah ketentuan illahi. Apa yang anda boleh buat ialah elakkan punca diabetes yang lain supaya anda terhindar daripada penyakit yang merbahaya ini.

2. Faktor umur

Semakin meningkat umur anda, semakin tinggi risiko anda untuk mendapat diabetes. Apabila anda mencecah umur 45 tahu, risiko anda menjadi semakin meningkat secara mendadak.

Malah apabila anda berumur 65 tahun, anda termasuk dalam golongan berisiko tinggi untuk terkena diabetes. Oleh itu, amalkan gaya hidup yang sihat bermula dari sekarang.

3. Tahap kesihatan

Punca diabetes yang seterusnya ialah tahap kesihatan yang rendah. Kajian mendapati bahawa mereka yang mempunyai sejarah kesihatan yang buruk dan sering jatuh sakit mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit diabetes apabila sudah berusia.

Kemungkinan besar ianya berkaitan dengan kadar imuniti yang rendah di mana badan anda mudah mendapat penyakit.

4. Gaya hidup tidak sihat

Penyakit diabetes dangat berkait-rapat dengan gaya hidup yang tidak sihat. Kajian mendapati bahawa pesakit diabetes kebiasaannya merupakan mereka yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat seperti:

  • Merokok
  • Minum alkohol
  • Kurang bersenam
  • Selalu berjaga malam
  • Tekanan perasaan
  • Stress yang tidak dikawal

Oleh itu, amalkan gaya hidup sihat bagi mengurangkan risiko anda mendaoat penyakit diabetes. Elakkan alkohol dan rokok yang sudah diketahui umum sangat memudaratkan kesihatan.

punca diabetes
Sumber: Medicalnewstoday

5. Berat badan berlebihan

Punca diabetes yang seterusnya ialah berat badan berlebihan. Mereka yang mempunyai masalah obesiti biasanya sangat berisiko tinggi untuk mendapat penyakit diabetes. Ada juga pesakit diabetes yang berbadan kecil dan mempunyai berat badan ideal dengan BMI yang normal. Namun mereka yang mempunyai berat badan berlebihan mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding mereka yang berbadan kecil.

6. Pola pemakanan tidak sihat

Pemakan sangat mempengaruhi kesihatan tubuh badan kita. Pemakanan yang sihat akan menghasilkan tubuh badan yang sihat dan begitulah sebaliknya.

Amalan pola pemakanan yang tidak sihat dengan diet yang tidak seimbang akan menyebabkan anda berisiko tinggi untuk mendapat penyakit diabetes. Di antara jenis makanan tidak sihat yang perlu anda kurangkan ialah:

  • Makanan berkolesterol tinggi.
  • Makanan berproses yang tinggi kandungan lemak tepu seperti hotdog, nugget, pizza, burger, dan sebagainya.
  • Makanan tinggi garam.
  • Makanan tinggi gula. Bukan sahaja makanan yang mengandungi gula putih sahaj yang perlu dikurangkan. Anda juga perlu mengawal makanan bergula yang lain seperti kismis, madu, dan buah-buahan yang mempunyai indeks glisemik yang tinggi dan gulanya dilepaskan dengan cepat kedalam darah anda.
  • Makanan yang berlemak tinggi.
  • Terlalu banyak karbohidrat dalam diet seharian sepeti roti, pasta, nasi, mee, dan sebagainya.

7. Stress dan tekanan yang tidak dikawal

Punca diabetes yang seterusnya ialah stress dan tekanan yang tidak terkawal. Tidak dinafikan bahawa hidup pada zaman ini tidak dapat lari daripada stress dan tekanan perasaan.

Terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan dan terlalu banyak objektif yang perlu dicapai. Namun jika anda tidak berusaha untuk mengawal stress yang dihadapi, anda akan mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat diabetes. Ini kerana apabila anda tertekan atau stress, hormon kortisol dalam badan anda akan meningkat lalu menyebabkan insulin dalam badan anda tidak dapat digunakan secara efektif.

8. Tidak cukup tidur

Tidak cukup tidur juga akan menyebabkan risiko anda untuk mendapat diabetes menjadi semakin tinggi. Ini kerana kekurangan tidur akan menyebabkan anda tidak mendapat rehat yang secukupnya dan tubuh badan tidak sempat untuk berehat dan recharge untuk memulakan hari baru.

9. Mereka yang mempunyai saiz yang besar di bahagian tengah badan iaitu perut dan pinggang

Punca diabetes yang seterusnya ialah saiz perut dan pinggang yang lebih besar berbanding bahagian tubuh badan yang lain. Gula berlebihan dalam badan kita akan disimpan dalam hati, yang kemudiannya akan bertukar menjadi lemak.

Lemak-lemak ini pula biasanya tersimpan di bahagian tengah badan iaitu pinggang dan perut. Mereka yang mempunyai lemak berlebihan pada kawan tersebut mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat diabetes.

punca diabetes
Sumber: Spectator

10. Kerintangan inlusin

Rintangan Insulin adalah keadaan yang berlaku apabila dalam badan kita terdapat struktur membran sel yang telah dirosakkan lalu menyebabkan resepto insulin menjadi kurang sensitif terhadap insulin.

Apabila ini berlaku, insulin tidak boleh merangsang pembukaan laluan glukosa dan sebagai akibatnya, glukosa yang tidak dapat masuk ke dalam sel untuk digunakan akan dilantun balik ke dalam saluran darah. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya kepekatan gula dalam darah khirnya menyebabkan anda mendapat diabetes.

Itulah dia 10 punca diabetes yang ingin kami kongsikan pada hari ini.
Semoga bermanfaat. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang tanda kencing manis menu diet dan panduan piramid makanan.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.