Ibu bapa mana yang tak risau kalau secara tiba-tiba bayi anda tak mahu menyusu. Selama ni elok je bayi anda menyusu. Sukatan yang sama, tiap kali menyusu pasti habis. Bila bayi taknak menyusu hati mula dilanda resah. Otak mula memikirkan benda yang bukan-bukan. Untuk pengetahuan anda, yang sebenarnya ada banyak perkara yang boleh menjadi punca bayi tidak mahu minum susu formula.

Bayi tidak sihat

Bayi yang tidak sihat biasanya akan kurang menyusu. Kita orang dewasa pun ada kalanya bila sakit boleh hilang selera makan juga, betul kan? Kalau secara tiba-tiba bayi anda tidak mahu minum susu formula, perhatikan fizikal bayi anda. Adakah suhu badannya panas bila disentuh? Adakah perutnya keras dan sedikit buncit? Perhatikan juga najis bayi anda. Adakah normal atau sedikit lain daripada biasa. Jangan lupa juga untuk mendengar bunyi pernafasan bayi anda.

Selain itu anda juga boleh perhatikan tingkah laku bayi anda. Adakah bayi anda aktif seperti biasa atau kelihatan sedikit lemah. Cuba agah dan ajak bayi anda bermain untuk melihat jika dia memberikan respons yang normal atau sebaliknya. Jika anda perasan ada kelainan pada bayi anda, sila bawa ke klinik untuk pemeriksaan dengan segera.

Posisi menyusu yang tidak selesa

Satu lagi punca bayi taknak minum susu formula yang kita tak perasan ialah disebabkan oleh posisi menyusu yang tidak selesa. Mungkin anda meletakkan bayi anda dalam posisi yang tidak digemarinya setiap kali menyusu. Oleh itu, cuba ubah posisi bayi anda jika dia enggan untuk minum susu. Sebagai contoh, jika anda selalu memberikan bayi anda susu sambil membaringkan bayi anda di atas tilam, apa kata anda tukar dengan meletakkan bayi anda di atas riba.

Atau pun jika selama ni anda memberikan bayi anda susu sambil dia terbaring dalam keadaan rata di atas tilam, anda boleh cuba meletakkan bantal di bawah kepada bayi anda supaya kepalanya terangkat dan brada dalam posisi lebih tinggi daripada tubuh badan. Percayalah! menukar posisi menyusu adalah di antara cara yang berkesan untuk mengatasi masalah bayi taknak minum susu formula.

Menukar susu formula yang baru

punca bayi tidak mahu minum susu formula
Sumber: Philips

Perasan tak, ada kalanya bayi anda tidak mahu menyusu apabila anda menukar susu formulanya kepada jenama atau perasa yang baru. Ini kerana bayi anda mungkin terkejut dengan rasa baru susu yang diminum. Selama ini bayi anda dah biasa dengan susu yang diminum, tiba-tiba anda berikan susu yang baru dengan rasa yang baru. Jika bayi anda tidak mahu minum susu formula yang anda baru tukar, apa yang anda perlu lakukan ialah beri masa kepada bayi anda untuk menyesuaikan diri dengan susu yang baru.

Pada awalnya bayi anda mungkin tidak mahu menyusu kerana masih tidak dapat mengenali rasa susu yang baru. Mungkin juga bayi anda tidak menyukai rasa susu yang baru. Namun jika anda terus memberikan bayi anda susu baru, lama-kelamaan dia akan biasa dengan susu yang baru dan menyukainya seperti susu yang lama. Apa yang penting, anda perlu bersabar.

Bayi anda tidak lapar

Apabila bayi anda semakin besar, perutnya juga semakin matang dan tidak perlu menyusu dengan kerap seperti sewaktu dia baru dilahirkan. Perut yang matang membolehkan bayi anda menyusu dengan lebih banyak dalam satu masa dan tidak akan mudah lapar lagi. Oleh itu, semakin bayi anda membesar semakin jarang dia menyusu. Jika anda berikan susu semasa bayi anda sedang kenyang, semestinya dia akan menolak susu tersebut.

Selain itu, semakin bayi anda membesar perkembangan motornya juga berlaku dengan rancak. Di antaranya ialah bayi anda akan mula pandai untuk memasukkan jari ke dalam mulut.

Apabila anda melihat bayi memasukkan jari ke dalam mulut, mungkin anda memikirkan yang bayi anda lapar lalu membancuh susu untuknya. Sedangkan bayi anda memasukkan jari ke dalam mulut kerana sedang melakukan eksplorasi dan mengenali diri sendiri, bukannya disebabkan oleh lapar.

Ada kalanya anda memberikan susu kepada bayi kerana bayi anda menangis dan tidak mahu duduk dibawah bila diletakkan. Anda menyangka bayi anda mengamuk kerana lapar dan mahu minum susu. Sedangkan yang sebenarnya bayi anda masih kenyang. Cuma dia rindukan sentuhan anda dan mahu dipeluk serta dibelai. Ia juga boleh menjadi punca kenapa bayi anda tidak mahu minum susu formula. Oleh itu jika bayi anda tidak mahu menyusu namun masih menangis, itu mungkin petanda yang dia mahukan perhatian dari anda.

Bayi pernah tersedak susu

Punca bayi tidak mahu minum susu formula yang terakhir ialah disebabkan oleh bayi anda pernah tersedak susu. Bayi anda menjadi fobia dan takut untuk menyusu kerana takut mengalami tersedak susu yang menyakitkan sekali lagi. Kedengaran seperti kelakar tapi ia adalah punca yang kita selalu tak perasan. Oleh itu jika bayi anda baru sahaja mengalami tersedak susu, berikan susu dengan perlahan-lahan dan dalam jumlah yang sedikit dahulu. Jika bayi anda menyusu dengan normal, baru anda berikan susu seperti biasa.

punca bayi tidak mahu minum susu formula
Sumber: Lactationcare

Itulah dia info tentang punca bayi tidak mahu minum susu formula yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda menyukai artikel ini, anda juga mungkin berminat untuk membaca perkongsian kami tentang panduan susu ibu susu untuk ibu hamil dan ibu susuan

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.