Badan berbau memang memberikan rasa tidak senang kepada diri sendiri dan orang sekeliling. Ayuh ketahui punca badan berbau.

Pengenalan

Badan manusia menghasilkan sebatian organik yang mudah meruap dalam bentuk gas berbau yang unik.

Peluh merupakan hasil perkumuhan yang dikeluarkan oleh badan dengan sifatnya yang tidak berbau. Kebiasaannya, peluh sering dikaitkan dengan bau badan yang busuk.

Namun, kehadiran bakteria merupakan antara punca yang akan menghasilkan bau yang tertentu, bergantung kepada jenis bakteria di permukaan tersebut.

Penghasilan bau badan ini berbeza-beza mengikut aspek-aspek seperti:

  • tabiat makan
  • minuman
  • aktiviti seksual
  • kesihatan
  • keseimbangan hormon

Menariknya, menurut kajian, bau badan ini mampu memberikan maklumat berkenaan kesihatan, tingkah laku, keadaan emosi dan serangan penyakit.

Bau badan dihasilkan dari pelbagai bahagian tubuh dan wujud dalam macam-macam bentuk seperti:

  • hembusan nafas
  • ketiak
  • air kencing
  • najis
  • kentut
  • bau kaki

Oleh itu, artikel ini akan terus membincangkan mengenai punca bau badan berdasarkan kajian yang pernah dijalankan.

Punca Bau Badan

Bau badan manusia boleh dikelaskan kepada tiga jenis iaitu (1) perspirasi (bau kulit), (2) bau yang terhasil daripada mulut dan kaviti oral dan (3) bau yang terhasil daripada hasil perkumuhan manusia.

Berikut ialah penerangan lebih lanjut mengenai punca dan komponen yang terkandung dalam bau badan kita. Ulasan ini dipetik daripada kertas kajian sekumpulan penyelidik di Korea Selatan yang diterbitkan di jurnal TrAC Trends in Analytical Chemistry.

1. Bau Badan (Skin Odor)

Imje via Bidadari

Kebanyakan kajian mengenai bau badan manusia tertumpu kepada bau yang dikeluarkan pada ketiak dan kaki.

Analisis makmal menunjukkan bahawa bau pada kulit ini mengandungi rantaian pendek sebatian asid lemak yang lemah. Dikatakan, sebatian utama yang memberi bau badan ini ialah (E)-3-metil-2-heksenoik asid.

Bau badan juga merupakan hasil gabungan antara beberapa kelas kimia seperti:

  • hidrokarbon
  • alkohol
  • asid
  • ketone
  • aldehid

Tambah menarik, terdapat pecahan lagi sebatian kimia yang terkandung dalam bau badan mengikut usia.

Bagi individu berusia 40 tahun ke atas, komponen utama yang memberikan bau badan ialah 2-nonenal.

2. Bau Mulut (Oral Cavity)

Dianggarkan, 90% daripada bau mulut datang daripada kaviti oral manakala selebihnya 10% datang daripada sistem pencernaan dan pernafasan manusia.

Komposisi gas berbau yang dihasilkan oleh mulut ini telah dianalisis dan menunjukkan bahawa terdapat banyak gabungan gas dan sebatian. Antaranya:

  • Gas: nitrogen, oksigen, karbon dioksida, gas nadir
  • Sebatian organik mudah meruap: isoprena, etana, pentana dan aseton
  • Sebatian organik tidak meruap: isoprostana, peroksinitrit, sitokin
  • Wap air

Punca bau mulut ini dengan penghasilan gas dan sebatian tersebut mungkin memasuki tubuh melalui serapan dari persekitaran atau dihasilkan oleh sistem tubuh.

Analisis bau nafas dapat memberikan banyak maklumat. Contohnya, analisis kandungan alkohol bagi kes pemandu mabuk.

Selain itu, jika terdapat pengesanan kehadiran sebatian halogen organik, hal ini boleh dikaitkan dengan pendedahan kepada ubatan atau bahan pencemar persekitaran.

3. Bau Hasil Perkumuhan

Manusia menyingkirkan bahan kumuh yang tidak diperlukan badan atau bahan yang boleh memberi ancaman ketoksikan, antaranya melalui air kencing dan najis.

Tambahan pula, analisis makmal ke atas hasil kumuh ini dapat memberikan maklumat kesihatan yang lebih mendalam. Contohnya, status kesihatan berdasarkan ujian air kencing dan analisis najis.

Air kencing khususnya, dapat digunakan untuk mengetahui tahap penyakit seperti:

  • kencing manis
  • penyakit maple-syrup-urine
  • sindrom fish-odor
  • isovaleric acidemia (kegagalan tubuh menguraikan protein untuk kegunaan badan)
  • phenylketonuria, PKU (metabolisma asid amino yang rendah dalam kalangan bayi yang jika tidak dirawat, boleh menyebabkan sawan, masalah mental, masalah pembelajaran dan kelakuan)

Berdasarkan kajian, sejumlah sebatian organik mudah meruap dalam air kencing dan najis dilaporkan berperanan memberikan bau perkumuhan tersebut, sebagai contoh, asid, ammonia, sulfur dan nitrogen.

Pengesanan Penyakit Melalui Bau Badan

Antara hikmah badan kita mengeluarkan bau-bauan yang tertentu adalah sebagai petanda awal bagi risiko penyakit yang mungkin dihidapi.

Berdasarkan kajian perubatan berikut, sebatian tertentu yang dikesan dalam gas bau badan boleh menjadi rujukan untuk diagnosis penyakit, antaranya:

  • asetone dan ketone: kencing manis
  • kontur alkana termetil dalam nafas: penolakan tubuh kepada transplan jantung
  • leukotriene: asma
  • 2-propanol, 2,3-dihydro-1-phenyl-4 (1H)-quinazolinone,
    1-phenyl-ethanone dan heptanal: kanser payu dara
  • acetone, metilketone, anilin, o-toluidine dan n-propanol: kanser karsinoma paru-paru
  • hidrogen peroksida, nitrosothiol, nitrik oksida: penyakit pernafasan kronik (COPD)
  • 8-isoprostane, leukotriene B4, iterleukin-8: cystic fibrosis
  • hidrogen disulfid, limonene, ethanethiol, dimethylsulfide, dimethylamine dan
    trimethylamine: penyakit hati

Kesimpulan

Secara umumnya, punca bau badan adalah disebabkan hasil interaksi antara bakteria dengan peluh, sebatian organik dan gas yang dikeluarkan oleh tubuh badan serta hasil perkumuhan badan.

Selain penjagaan kebersihan diri untuk menyingkirkan bakteria penyebab bau badan, amalan gaya hidup yang sihat turut menyumbang kepada kurangnya bau badan.

Namun, harus diingatkan bahawa sekiranya anda mendapati bahawa bau badan seakan lain, ditambah dengan simptom kesihatan dan tubuh yang tidak bermaya, seeloknya berjumpa dengan pakar perubatan bagi mendapatkan khidmat nasihat yang bersesuaian.

Ingat, mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Jemput juga baca artikel cara menghilangkan bau peluh badan dan cara hilangkan bau badan wanita

Rujukan

  1. Olsson, M. J., Lundström, J. N., Kimball, B. A., Gordon, A. R., Karshikoff, B., Hosseini, N., … & Axelsson, J. (2014). The scent of disease: human body odor contains an early chemosensory cue of sickness. Psychological science25(3), 817-823. (link)
  2. Pandey, S. K., & Kim, K. H. (2011). Human body-odor components and their determination. TrAC Trends in Analytical Chemistry30(5), 784-796. (link)
  3. Wongchoosuk, C., Lutz, M., & Kerdcharoen, T. (2009). Detection and classification of human body odor using an electronic nose. Sensors9(9), 7234-7249. (link)

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.