Jom kenali pulau di Malaysia yang menarik untuk pergi.

Bila kita sebut sahaja percutian di pulau atau di kawasan pantai, kita pasti terfikir pantai yang putih bersih serta air laut yang tenang kebiruan. Dan kebiasaannya, pulau-pulau di luar negara yang akan terbayang diminda kita.

Tapi, sebenarnya negara kita juga mempunyai banyak pulau yang masih terpelihara daripada pencemaran. Antara pulau di Malaysia yang anda boleh lawati adalah:

1) Pulau Langkawi, Kedah

langkawi

Imej via keretasewalangkawi

Pulau Langkawi adalah sebuah Kawasan Bebas Cukai. Kebanyakan orang yang bercuti di sini, pasti tidak akan melepaskan peluang keemasan untuk memborong sakan.

Antaranya, koleksi pinggan mangkuk, coklat import dan minyak wangi. Pulau ini terkenal dengan ikon tugunya iaitu Burung Helang. Malah, nama pulau ini juga diambil sempena nama sejenis burung helang iaitu Helang Merah Kawi.

Terdapat tempat-tempat menarik yang anda boleh lawati di sini antaranya, Makam Mahsuri, Kereta Kabel Langkawi, Laman Padi dan pelbagai tempat lagi. Untuk menikmati suasana pantai dan air laut yang cantik, anda boleh pergi ke Pantai Cenang dan Pantai Tengah.

2) Pulau Pangkor, Perak

pulau pangkor

Imej via shutterstock

Pulau Pangkor tidaklah sebesar Pulau Langkawi. Kawasannya kecil sahaja, malah anda boleh pusing keseluruhan pulau hanya dengan menaiki motor kapcai. Bentuk muka buminya berbukit-bukau.

Datarannya masih dipenuhi kehijauan hutan. Penduduk di sini juga hidup dalam suasana kampung yang segar. Walaupun keluasannya tidak besar, namun terdapat banyak tempat menarik yang anda boleh lawati di Pulau Pangkor.

Pulau Pangkor padat dengan sejarah kerana pada suatu ketika dahulu ia pernah dijadikan sebagai kawasan kubu pertahanan pihak Belanda daripada serangan musuh. Disebabkan itu, terdapat banyak lokasi-lokasi bersejarah yang menarik untuk kunjungi di pulau ini seperti kota Belanda, Batu Bersurat dan kawasan Perkuburan Belanda.

Selain melakukan aktiviti seperti snorkeling dan memancing, anda juga boleh menyewa bot untuk melawati pulau-pulau lain yang terletak berdekatan seperti Pulau Giam, Pulau Mentangor dan Pulau Pangkor Laut.

3) Pulau Tioman, Pahang

pulau tioman

Imej via livingnomads

Pulau Tioman memiliki status sebagai salah satu daripada pulau yang paling indah di dunia. Wah! Menarikkan? Tak perlu anda bersusah-payah menaiki kapal terbang untuk menikmati pulau-pulau di luar negara. Pulau Tioman pun sudah cukup untuk memberikan anda pengalaman keindahan pulau yang memukau.

Pulau ini terkenal dalam kalangan mereka yang suka menyelam. Selain daripada aktiviti menyelam skuba, banyak lagi aktiviti yang lain boleh anda rancang untuk lakukan seperti meneroka hutan di mana tersedianya trek-trek untuk dilalui, dengan laluan yang terpendek adalah berkepanjangan 2 km dan yang terpanjang adalah 8 km. Anda juga boleh melawati air terjun-air terjun yang terdapat di sini dan mendaki gunung.

Tempat yang menjadi tumpuan ramai untuk dikunjungi ialah Kampung Salang. Antara resort yang popular di Kampung Salang adalah Salang Pusaka Resort, Salang Sayang Resort & Salang Indah Tioman. Kebanyakkan resort diusahakan oleh penduduk Kampung Salang sendiri.

 

4) Pulau Sipadan, Sabah

Sipadan

Imej via asiaadventure

Pulau Sipadan merupakan satu-satunya pulau samudera di Malaysia daripada batu kapur dengan ketinggian 600meter dari dasar laut. Pulau ini dikatakan sebagai salah satu destinasi menyelam skuba yang terbaik di dunia. Malah pernah mendapat liputan di dalam media antarabangsa seperti Discovery Channel dan National Geographic.

Selain itu, ekosistem lautan sekitar Pulau Sipadan ini sangat kaya dengan pelbagai spesies batu karang dan ikan yang dianggarkan lebih daripada 3000 jenis. Jangan terkejut, anda mungkin akan berjumpa dengan ikan jerung secara ‘live’ di Pulau Sipadan kerana ia adalah hidupan laut yang biasa dijumpai di sini.

Jika anda menyelam ke dasar laut Pulau Sipadan, mata anda akan didedahkan kepada kawasan ‘perkuburan’ penyu iaitu dasar laut yang dipenuhi dengan cengkerang penyu yang telah mati.

 

5) Pulau Mabul, Sabah

Mabul

Imej via 1dasia

Pulau Mabul antara pulau yang terkenal di Sabah kerana kedudukannya yang terletak berdekatan dengan Pulau Sipadan yang merupakan salah satu kawasan menyelam yang terbaik di dunia.

Terdapat banyak penginapan yang tersedia di sini, sesuai dengan bajet anda. Antara perkara yang menarik di pulau ini adalah ia sangat kaya dengan hidupan marin yang penuh dengan warna-warni. Pelbagai jenis ikan dan sotong yang eksotik dapat dilihat melintas di depan mata jika anda menyelam skuba di sekitar lautan pulau ini.

Anda juga boleh melawat Perkampungan Kaum Bajau Laut yang terdapat di sekitar pulau ini.

 

6) Pulau Layang-Layang, Sabah

Layang-layang

Imej via journeymalaysia

Pulau Layang-Layang terletak sejauh 300 km dari Kota Kinabalu. Jika dibezakan dengan pulau-pulau yang lain di Sabah, kos untuk ke Pulau Layang-Layang ini agak tinggi. Namun percayalah pengorbanan anda untuk ke sini sangatlah berbaloi.

Pulau yang berkepanjangan 1.2 km ini memiliki panorama dasar laut yang menakjubkan. Kedudukannya yang jauh dari sebarang ancaman pencemaran menjadikan keindahannya seribu kali lebih memukau.

Namun begitu, terdapat hanya satu pusat penginapan sahaja di sini iaitu Layang Layang Island Resort. Resort ini ditutup setiap tahun dari bulan September hingga Februari ketika kehadiran angin monsun. Oleh itu, jika anda bercadang untuk bercuti di sini, pastikan rancang jadual anda sebaiknya.

 

7) Pulau Kukup, Johor

kukup

Imej via utusan

Antara tarikan utama di Pulau Kukup adalah perkampungan terapung yang terdapat di sini. Ia merupakan kawasan perkampungan tradisional nelayan dan majoriti penduduknya adalah bangsa Cina.

Selain kawasan perkampungan, Pulau Kukup hampir keseluruhannya terdiri daripada kawasan paya bakau. Boleh dikatakan sebagai kawasan paya bakau yang terbesar di Malaysia. Sepertimana di kawasan paya bakau yang lain, pulau ini agak kaya dengan hasil tangkapan seperti udang, ketam, dan bermacam lagi spesies ikan yang lain.

Salah satu aktiviti yang boleh dilakukan di sini adalah menaiki jambatan gantung berkepanjangan 600meter yang digelar Arboretum. Selain itu, aktiviti lain yang anda boleh lakukan adalah menaiki bot untuk menyelusuri sungai-sungai sambil melihat kehadiran burung yang banyak berterbangan di awan.

8) Pulau Rawa, Johor

rawa

Imej via cari

Pulau Rawa memiliki pantai berpasir putih yang bersih dan dasar laut yang mempesonakan. Jangan lepaskan peluang anda untuk bersnorkeling di pantai jernih kebiruan ini untuk menikmati panorama indah hidupan marin serta batu karang yang terdapat di dasar laut pulau ini.

Daratan pulau ini pula dikelilingi oleh hutan tebal yang menghijau. Oleh sebab itu, cara yang terbaik untuk anda menikmati keindahan pulau ini adalah dengan berkanu di sekitarnya pada hari laut tenang.

 

9) Pulau Perhentian, Terengganu

pulau perhentian

Imej via kalerful

Pulau Perhentian merupakan salah satu tempat percutian yang popular di Malaysia. Ia terdiri daripada 2 pulau iaitu Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar.

Pulau Perhentian Besar menyediakan pelbagai resort dengan pakej yang menarik. Manakala, Pulau Perhentian Kecil pula, pulau ini agak berbeza dengan Pulau Perhentian Besar kerana kebanyakan pelancong lebih tertarik untuk melawat pulau Kecil disebabkan oleh kewujudan tempat-tempat penginapan yang menawarkan harga bajet.

Walaupun agak meriah, alam semula jadi di sini masih terpelihara dan kekal terjaga. Walau bagaimanapun, pulau-pulau ini ditutup ketika musim tengkujuh iaitu antara bulan Oktober ke Februari.

10) Pulau Redang, Terengganu

Redang

Imej via nicevacation

Berbanding pulau Perhentian, Pulau Redang lebih maju dan membangun dalam sektor pelancongan. Malah di pulau ini terdapat tapak pemuliharaan penyu yang penting di Terengganu. Jika anda bernasib baik, anda akan dapat melihat penyu bertelur di pesisir pantai di sini.

Antara aktiviti yang anda boleh lakukan di Pulau Redang adalah jungle trekking, menyelam skuba, berenang dan snorkeling.

Untuk pengetahuan anda juga, di sekitar perairan pulau indah ini juga terdapat 2 buah tempat karamnya kapal lama ketika Perang Dunia Kedua iaitu kapal H.M.S Prince of Wales dan H.M.S Repulse.

11)  Pulau Kapas, Terengganu

kapas

Imej via amitravel

Keluasan Pulau Kapas tidaklah besar mana. Cuma berkepanjangan 2 km dan kelebaran 1 km sahaja. Tetapi ia tetap terkenal dan menjadi pilihan para penyelam. Malah, ia juga merupakan antara tapak menyelam yang terindah di dunia.

Pantai Pulau Kapas memiliki pasir pantai yang cantik bersih memutih. Malah ia juga memiliki Hutan Tropika yang masih belum tercemar, sesuai untuk anda melakukan aktiviti jungle trekking sambil menikmati keindahan flora dan fauna.

Salah satu aktiviti yang terkenal untuk dilakukan di sekitar pulau ini adalah mencandat sotong. Anda boleh menyewa bot yang terdapat di jeti Marang untuk mendapatkan hasil laut yang segar. Kebiasaannya, aktiviti ini rancak dilakukan dalam bulan Jun ke Julai setiap tahun.

Artikel Menarik Lain

Bagaimana dengan artikel berkenaan 11 Pulau Di Malaysia yang dikongsikan? Anda dapat manfaat? Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel lain untuk anda baca iaitu:

 

Penulis: Aniuna

Avatar

Seorang yang ingin memanfaatkan teknologi digital untuk berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat.

    Tinggalkan Komen!


    Langgan Info Kami

    Berkaitan


    .