Para ibu semestinya suka menghias halaman rumah. Salah satu daripada hiasan yang menjadi pilihan utama para ibu di Malaysia ialah bunga-bungaan dan pokok yang redup dan rendang. Kehadiran pokok bunga yang berwarna-warni dan pokok yang menghijau rendang bukan sahaja membantu mencantikkan suasana malah membantu memberikan efek ketenangan dan menyejukkan halaman rumah anda. Salah satu pokok yang menjadi pilihan ialah pokok ketapang.

Pokok ketapang menjadi kegemaran ramai kerana rupanya yang cantik dan sangat mudah untuk dijaga. Selain itu pokok ketapang juga mempunyai 1001 manfaat yang tak ramai orang tahu. Bukan sahaja daun ketapang boleh digunakan malah buah dan akarnya juga sangat berguna.

Ramai yang menanam pokok hiasan cantik ini tapa mengetahui apakah kebaikan dan manfaatnya. Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan info tentang manfaat pokok ketapang serta tips hiasan rumah dengan pokok yang cantik dan rendang ini.

pokok ketapang

Sumber: Flickr

Pokok ketapang berasal dari Asia Tenggara dan biasanya ditemui hidup secara liar di tepi pantai dan kawasan tanah berpasir. Namun yang menariknya, walau pun pokok ini menyukai kawasan tanah berpasir,  ia juga mampu untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan tanah yang lain menyebabkan ia boleh ditanam di mana-mana sekali pun tak kira apa jenis tanah.

Pokok ketapang membiak melalui biji benih, keratan batang dan juga ranting. Sangat mudah untuk membiakkan pokok ketapang. Itulah sebabnya ia merupakan di antara pokok yang paling popular untuk menghiasi lanskap di Malaysia. Pokok ketapang biasanya ditanam oleh Majlis Perbandaran di sepanjang jalan dan juga di taman-taman.

Jika anda ingin menghiasi halaman dengan pokok ketapang, pastikan anda menanam ia jauh sedikit dari rumah kerana ia merupakan sejenis pokok yang tinggi, besar dan rendang. Jika ditanam terlalu dekat dengan rumah, dahannya akan terkena rumah anda dan perlu dipotong dengan kerap.

Apakah khasiat pokok ketapang?

Seperti yang kami nyatakan di atas, pokok ketapang mempunyain 1001 khasiat dan seluruh pokokya boleh digunakan dari daun sehingga ke akar. Di antara khasiat pokok ketapang yang pasti membuatkan anda terkejut adalah seperti berikut:

Kayunya yang keras digunakan dalam pembuatan perabot, bahan binaan dan bahan bakar. Ramai yang tidak mengetahui sebenarnya buah ketapang ini boleh dimakan samada kulit luar atau bijinya. Bijinya perlu dipanggang terlebih dahulu sebelum dimakan. Minyak yang terhasil daripada biji buah ketapang ini boleh dijadikan minyak masak.

  1. Menghasilkan dakwat. Sejak dulu lagi daun, kulit pokok, buah dan akar pokok ketapang digunakan dalam proses mewarna dan menghasilkan dakwat hitam. Ia boleh digunakan untuk mewarnakan fabric atau kulit haiwan. Malah ia juga menghasilkan dakwat hitam yang digunakan untuk menulis pada zaman dahulu.
  2. Melawaskan. Buah ketapang boleh dimakan sekiranya anda mempunyai masalah sembelit atau tidak lawas. Ia membantu melawaskan sistem pencernaan dan dalam masa yang sama melembutkan najis. Caranya ialah dengan merebus tiga biji buah ketapang masak sehingga mendidih dan minum air rebusan tadi.
  3. Merawat demam panas. Air rebusan buah ketapang juga dipercayai mampu merawat demam panas. Buahnya mampu menghilangkan panas dalam badan dan menurunkan suhu badan.
  4. Menghilangkan asma. Jika anda atau orang tersayang mempunyai masalah asma, pastinya anda tercari-cari apakah cara tradisional dan semulajadi untuk mengatasi penyakit tersebut. Salah satu daripada ikhtiar yang boleh anda lakukan ialah dengan menggunakan buah dan daun ketapang. Caranya ialah seperti berikut:
  • Ambil lima biji buah ketapang masak. Rebus sehingga mendidih dan minum air rebusan tadi setiap pagi dan malam semasa anda mendapat serangan asma.
  • Anda juga boleh menggunakan daun ketapang. Caranya ialah ambil beberapa helai daun ketapang, tumbuk hingga lumat. Sapukan pes tadi ke dada dan biarkan sehingga kering. Insya Allah asma anda akan berkurangan.
  1. Menghilangkan cirit birit. Jika anda mengalami cirit birit, anda boleh ambil daun ketapang dan rebus. Air rebusannya boleh diminum untuk menghilangkan cirit birit yang anda alami.
  2. Sakit sendi. Jika anda mengalami masalah sakit sendi, apa yang perlu anda lakukan ialah layurkan daun ketapang di atas api sehingga layu dan tampalkan pada sendi yang sakit. Anda boleh ikat daun tadi dengan kain agar ia kekal di situ. Tukar selepas 4 jam. Amalkan sehingga sakit sendi anda hilang.
  3. mengecutkan bisul. Kulit dan akar pokok ketapang sangat berkesan untuk mengecutkan bisul. Caranya ialah dengan merebus akar dan kulit ketapang lalu air rebusan tadi disapu pada bisul dengan kerap. Apabila airnya kering, sapu lagi. Nak lagi mudah? Anda basahkan kain atau kapas dengan air rebusan tadi dan tekapkan pada bisul. Insya Allah bisul anda akan kecut dengan cepat.
  4. Mengurangkan sakit pada puting payudara. Bagi ibu yang menyusukan anak, pada awal tempoh penyusuan anda akan berasa sakit dan pedih pada putting payudara. Apabila anak semakin membesar, adakalanya puting payudara akan luka akibat digigit oleh anak. Untuk menghilangkan sakit pada putting payudara, anda boleh layurkan daun ketapang sehingga layu dan tampalkan pada payudara anda. Pastikan puting payudara anda tertutup dengan daun tersebut. Insya Allah sakit dan pedih yang anda alami akan hilang.

Itulah dia info tentang pokok ketapang  yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat. Semoga  kita semua dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan keberkatan dan kasih sayang. Jika anda sukakan artikel ini,anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang pokok dukung anak, idea pokok hiasan dalam rumah, dan manfaat bunga telang.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.