Masalah keguguran rambut bukan sahaja menghantui golongan wanita, malah lelaki juga tidak terlepas dari masalah ini.

Keguguran rambut nampak macam perkara kecil, tapi memberikan impak yang sangat besar kepada kita. Rambut yang semakin nipis dan berkurangan mampu menjejaskan tahap keyakinan diri. Betul tak?

Sumber Gambar: Ediagnosa

Kali ini kami nak kongsikan petua rambut gugur cara moden dan tradisional yang murah, mudah, dan dijamin berkesan yang anda boleh cuba di rumah.

Bawang besar + madu + pati minyak lavender

Bawang besar mengandungi sulfur yang berfungsi untuk membaiki peredaran darah dikulit kepala dan merangsang akar rambut bagi menggalakkan pertumbuhan anak rambut yang banyak. Madu pula berfungsi untuk menyuburkan rambut dan memberikan rambut yang licin dan berkilat. Pati minyak lavender berfungsi untuk mengurangkan bau tengik bawang yang akan melekat dirambut. Jika anda tidak menyukai bau lavender, boleh gunakan pati minyak lain yang mempunyai bau kegemaran anda.

Cara-caranya:

  • Ambil suku biji bawang besar, cincang sehingga halus dan berair. Lalu masukkan ke dalam mangkuk.
  • Masukkan 1 sudu madu kedalam mangkuk berisi bawang tadi.
  • Masukkan 3 titis minyak pati lavender.
  • Kacau hingga sebati.
  • Sapukan ke kulit kepala dan rambut sehingga rata.
  • Biarkan dikepala selama 30 minit. Basuh dengan bersih.

Lakukan setiap malam untuk mendapatkan rambut yang lebat tanpa masalah keguguran rambut.

Daun bunga raya

Ambil sepuluh helai daun bunga raya. Tak kisahlah bunga warna apa sekali pun, yang penting ianya bunga raya. Masukkan daun tadi ke dalam besen bersama air, ramaskan daun tadi sehingga air menjadi kehijauan. Basuh kepala dengan air ramasan tadi, biarkan seketika sebelum dibilas dengan air sehingga bersih.

Santan kelapa

Beli sepeket kecil santan kelapa segar. Sapukan ke rambut & kulit kepala sehingga rata. Balut kepala dengan tuala. Biarkan selama 30 minit. Lakukan 3 kali seminggu untuk mengatasi masalah keguguran rambut yang anda hadapi.

Sumber Gambar: Manado

Minyak argan

Minyak argan sememangnya berkesan untuk mengatasi masalah rambut gugur. Gunakan 2 kali sehari. Sapukan dari akar rambut sehingga ke hujung. Jika anda ada kelapangan, urutkan kulit kepala dengan minyak argan.

Minyak kelapa

Minyak kelapa yang dimaksudkan bukanlah minyak kelapa sawit yang kita gunakan untuk menggoreng, tetapi minyak kelapa tanak daripada santan kelapa. Caranya tanak santan kelapa sehingga menjadi minyak. Tapiskan minyak dan gunakan sebagai minyak rambut. Orang dulu-dulu menggunakan minyak kelapa ini sebagai kegunaan harian. Tengoklah rambut orang zaman dulu, cantik panjang mengurai.

Minyak zaitun

Minyak zaitun memnbantu mengurangkan masalah rambut gugur dan dalam masa yang sama menggalakkan pertumbuhan anak rambut baru. Ambil beberapa titis minyak zaitun, sapukan ke kulit kepala dan urut seketika. Dengan penggunaan yang konsisten, masalah keguguran rambut anda akan berkurangan.

Minyak rambut zam-zam

Kecil-kecil dulu siapa biasa tengok nenek guna minyak rambut zam-zam? Baunya boleh tahan kuat. Tapi kesannya sangat mujarab. Akar rambut akan menjadi kuat dan mengurangkan masalah rambut gugur. Selain itu rambut akan menjadi hitam berkilat dan lebat. Caranya, gunakan minyak rambut zam-zam setiap kali selepas mandi. Mana nak cari minyak rambut legend ni? Ianya masih ada dijual di kedai cina, kedai india, pasar malam, dan kedai-kedai kampung. Cuba cari di sana.

Sumber Gambar: Sarasayangkau

Yogurt

Beli yogurt asli, sapukan ke seluruh kepala dan rambut. Balut dengan tuala, dan biarkan selama 30 minit. Kemudian basuh sehingga bersih.

Masker tanah liat

Tanah liat bukan sahaja membantu mencantikkan kulit muka malah ianya membantu mengatasi masalah keguguran rambut. Beli clay mask kegemaran anda, sapukan ke rambut. Biarkan 30 minit dan basuh sehingga betul-betul bersih.

Daun inai

Ramai menyangka bahawa daun inai digunakan dirambut untuk mewarnakan uban semata-mata. Tahukah anda, yang sebenarnya daun inai juga berfungsi untuk mengatasi masalah keguguran rambut dan dalam masa yang sama menyuburkan kulit kepala supaya rambut tidak menipis.

Caranya, tumbuk daun inai sehingga halus. Sapukan ke kulit kepala dan rambut. Pakai shower cap. Biarkan selama satu hingga 3 jam, basuh sehingga bersih. Lakukan sekali seminggu, anda akan melihat kesannya.

Aloe vera

Selain untuk kecantikan kulit, aloe vera juga sangat berkesan untuk mengatasi masalah keguguran rambut. Caranya, ambil jel aloe vera dari pokok dan ratakan ke kulit kepala. Biarkan selama 30 minit dan basuh sehingga bersih. Kalau anda tiada pokok aloe vera, boleh juga gunakan jel aloe vera yang dibeli dari farmasi. Namun jel dari pokok jauh lebih semulajadi dan bebas dari bahan kimia dan bahan pengawet.

Sumber Gambar: Kamuswanitaindonesia

Itulah dia petua tradisional dan moden untuk masalah keguguran rambut yang boleh anda cuba di rumah. Jika anda mempunyai bajet, boleh juga dapatkan rawatan kesuburan rambut di saloon atau klinik kecantikan. Kosnya mungkin agak tinggi, tapi kalau anda mampu, apa salahnya. Betul tak?

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.