Nak tahu petua orang tua tentang kecantikan?

Wanita pada masa dulu amat menitikberatkan soal kecantikan. Lihat saja filem-filem klasik lakonan Tan Sri P.Ramlee, kebanyakan pelakon wanitanya mempunyai kulit yang mulus dan langsing bak kerengga.

Ketika itu, mereka tak terdedah dengan produk-produk kecantikan seperti sekarang. Tanpa perlu ke Sephora, Sasa, Guardian atau Watson, mereka mampu menjaga kecantikan wajah dan tubuh dengan cara mereka sendiri.

Jadi, dalam artikel ni, penulis ingin berkongsi petua yang diamalkan oleh orang-orang tua kita dulu. Mengikut sedikit kajian yang dilakukan, kebanyakan bahan yang digunakan merupakan dari alam semula jadi.

Yang paling penting semuanya boleh dikutip dari sekeliling atau dari dapur rumah saja. Petua-petua yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas ni perlu disimpan sebagai rujukan generasi akan datang.

Anda mesti tak sabar-sabar nak tahu tentang petua orang tua tentang kecantikan tersebut kan? Mana tahu boleh nampak macam gadis 18 tahun kan. Jom baca!

"

Petua Orang Tua Tentang Kecantikan Kena Cuba

Kulit bebas jerawat

Ketika zaman remaja dulu, penulis rajin mencuba tips ni. Yelah masa tu tak mampu nak beli produk wajah yang mahal-mahal. Hasilnya memang terbaik. Kulit menjadi cerah, lembut dan susah nak tumbuh jerawat.

Caranya ialah tuang 2 cawan air ke dalam beras dan dibasuh dengan cara meramasnya. Basuhan pertama ni dibiarkan sementara. Kemudian, anda akan dapati terdapat mendapan kanji di bahagian bawah. Buang air jernih di atasnya. Sapukan kanji di kulit wajah setiap hari pada waktu pagi.

Kulit segar dan lembap

Jika anda ada masalah kulit kusam dan kering, boleh cuba petua mudah ni. Ambil mangkuk atau besen yang mempunyai permukaan lebar. Letakkan di luar rumah pada waktu malam. Paling penting letakkan ia di bahagian yang tinggi.

Esoknya, anda akan dapati titisan embun di dalam mangkuk tersebut. Sapukan air tersebut pada wajah setiap hari. Jangan pula tadah mangkuk ketika musim hujan tau!

Bibir merah bak delima

Bibir yang kering dan mengelupas, gelap dan lebam mencacatkan kecantikan wajah. Ada orang yang menderita masalah kulit kering atau ekzema di sekitar mulut, alergik dengan lipstik dan sebagainya.

Masalah ni boleh diatasi dengan menyapu sedikit madu asli pada bibir sebelum tidur. Malah, anda juga boleh menyapu gel petroleum seperti Vaseline pada bibir. Ia dapat melembapkan bibir yang kering dan seterusnya memudarkan warna gelap pada bibir.

Kuruskan badan

Jintan manis sering digunakan sebagai bahan masakan untuk membuat sate, rendang dan sebagainya. Namun, tahukah anda rempah ni sangat bagus sebagai minuman untuk kuruskan badan? Ia mampu membakar kalori dengan cepat dengan meningkatkan metabolisme.

Caranya ialah amik 2 sudu besar jintan manis dan cuci bersih-bersih. Kemudian, rebuskan dengan 2 gelas air sehingga mendidih. Boleh diminum selepas air rebusan menjadi suam. Boleh juga dicampurkan dengan lemon untuk memberi rasa yang lebih segar.

Cerahkan kulit muka

Masyarakat India sering menggunakan kunyit dalam rawatan kecantikan mereka. Salah satu kebaikan kunyit ialah untuk mencerahkan kulit wajah dan menyamarkan noda hitam. Anda boleh mencuba petua mudah ni tanpa tertipu dengan produk timbang kilo.

Ambil setengah cawan beras dan dicuci bersih-bersih. Rendam beras tersebut dengan 2 hiris kunyit hidup. Biarkan seketika hingga beras kembang. Kemudian, kisar halus kedua-dua bahan ni. Untuk kesan yang terbaik, gunakan 2 kali seminggu sebagai skrub.

Surutkan bengkak jerawat

Apabila tumbuh jerawat besar yang menyakitkan, ia umpama mimpi ngeri buat wanita. Jika anda bakal menjadi raja sehari tak lama lagi, cuba petua ni agar jerawat cepat kecut.

Caranya ialah ambil beberapa helai daun jambu batu. Cuci bersih-bersih dan kisar dengan setengah biji tomato. Sapukan saja pada keseluruhan wajah sebagai mask. Tunggu hingga kering dan cuci muka seperti biasa. Buat setiap hari hingga jerawat hilang.

Wajah nampak awet muda

Siapa yang tak nak nampak muda kan? Nak nampak awet muda mestilah mempunyai kulit wajah yang tegang, lembap dan tiada kedutan. Tanpa perlu cucuk vitamin C dan botox, anda hanya perlu amalkan pemakanan yang sihat.

Caranya ialah kisar setengah batang lobak dan sebiji tomato. Jadikan minuman sarapan anda untuk menggantikan kopi dan teh. Anda boleh menikmatinya dengan menambah susu segar. Ingat, jangan tambah gula!

Kulit wajah tegang

Semakin bertambah usia, garisan halus mulai kelihatan di sekitar mata, tepi mulut dan dahi. Malah, orang yang mempunyai kulit wajah yang terlalu kering lebih mudah nampak tua dari umur mereka.

Cara mudah untuk atasi masalah ni ialah ambil sedikit nasi dan kisar dengan sedikit air. Pastikan air tersebut pekat dan jangan cair. Tambahkan sebiji putih telur dan gaul rata. Sapukan di wajah sebagai mask. Buat seminggu sekali.

Rambut lebat bersinar

Rambut yang tak dijaga dengan baik mudah mendapat masalah kelemumur, gugur dan kering. Tanpa perlu membazir wang ke salun rambut, anda sendiri boleh mencubanya di rumah.

Caranya ialah ambil setengah cawan santan kelapa yang pekat dan dicampurkan dengan setengah cawan yogurt. Sapukan pada rambut dan kulit kepala hingga rata. Cuba petua ni seminggu 3 kali, anda akan terkejut dengan hasilnya. Jangan lupa pula cuci rambut lepas tu ye! 

Menghilangkan kesan parut

Jika terdapat parut jerawat, ruam atau luka, mesti anda rasa tak selesa. Kini, pelbagai jenis produk untuk hilangkan parut ada dijual di pasaran. Namun, bukan semuanya berkesan walaupun harganya boleh tahan mahal.

Ambil daun aloe vera atau lidah buaya dan cuci bersih untuk hilangkan kesan tanah atau serangga. Kemudian, keluarkan isinya yang berbentuk gel. Hancurkan gel tersebut dan dicampurkan dengan minyak bayi (baby oil). Sapukan pada bahagian parut.

Wajah cerah kemerahan

Untuk dapatkan pipi merah, ramai yang sanggup bersolek dan memakai blusher. Sebenarnya, anda boleh dapatkan wajah yang kemerahan tanpa perlu memakai solekan.

Petua mudahnya ialah ambil setengah cawan beras pulut. Rendam selama semalaman dan esoknya bolehlah dikisar halus. Sapukan di wajah 2 kali seminggu. Wajah bukan saja kelihatan merah, malah kulit juga akan menjadi lebih halus dan lembap.

Memutihkan gigi

Jika anda ialah penggemar kopi atau teh, kuat merokok dan sebagainya, pasti anda anda masalah yang satu ni. Kos untuk memutihkan gigi agak mahal di klinik gigi dan kesannya bergantung pada rutin harian kita.

Caranya ialah ambil sesudu minyak kelapa dan kumur selama beberapa 10 hingga 15 minit. Buang air tersebut dan bilas mulut hingga bersih. Buat sehingga gigi menjadi putih semula.

Kesimpulan

Apa pandangan anda semua tentang petua-petua orang tua tentang kecantikan yang dikongsikan ni? Mudah bukan, semuanya ada di seliling kita saja. Walaupun tiada bukti untuk menyokong keberkesan petua-petua orang tua ni, namun tak salah untuk mencuba. Kata orang biar lambat asal selamat.

Ada petua yang penulis sendiri pernah mencubanya dan hasilnya memang menakjubkan. Apa kata pembaca Bidadai.my pula mencuba kali ni dan kongsikan pengalaman anda itu dengan kami. Jangan lupa mencuba! Jemput juga baca artikel tentang tips kecutan jerawat, tips penjagaan muka dan cara penjagaan muka

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.