Bagi yang selalu mengalami senggugut, datang bulan sememangnya satu mimpi ngeri. Kata orang, senggugut adalah sakit kedua paking teruk di dunia selepas sakit bersalin.

Anda menderita senggugut setiap bulan? Jom kami kongsikan 20 petua hilangkan senggugut yang boleh anda amalkan.

petua hilankan senggugut

Sumber: petuatube

1. Bertungku

Senggugut berlaku kerana pengecutan otot rahim yang keterlaluan dan juga disebabkan ada darah beku yang terkumpul didalam rahim. Dengan bertungku, anda membantu otot rahim untuk mengecut dengan lebih konsisten dan dalam masa yang sama memecahkan darah beku yang ada dalam rahim.

Apabila otot rahim mengecut dengan baik dan tiada lagi darah beku, darah haid akan keluar dengan aliran yang lebih baik lalu mengurangkan kesakitan senggugut yang anda alami.

2. Bertangas

Selain bertungku, bertangas juga membantu mengurangkan sakit senggugut. Anda boleh amalkan bertangas beberapa hari sebelum anda datang bulan.  Bertangas membantu melancarkan pengecutan otot rahim semasa datang bulan dan memecahkan darah beku yang terkumpul didalam rahim.

3. Minyak panas

Menyapu minyak panas ke perut semasa senggugut juga sangat membantu untuk menghilangkan kesakitan yang anda alami. Seperti bertungku dan bertangas, minyak panas memanaskan perut dan membantu otot rahim mengecut dengan lebih baik.

4. Minyak aromaterapi

Jika anda tidak sukakan bau minyak panas, anda boleh juga sapukan minyak aromaterapi ke perut untuk menghilangkan senggugut.

5. Berurut

Terdapat 2 jenis urutan yang boleh membantu menghilangkan senggugut. Jenis urutan yang pertama ialah urutan semasa anda sedang haid. Urutan ini boleh dilakukan oleh anda sendiri dengan cara menyapu minyak panas dan mengurut sendiri untuk menghilangkan kesakitan.

Urutan yang kedua dilakukan oleh bidan atau tukang urut semasa anda bersih, dan tujuannya ialah untuk menghilangkan senggugut dengan cara membetulkan kedudukan rahim dan meluruskan urat-urat yang bersimpul.

6. Teh herba

Secawan teh herba panas sememangnya menenangkan dan membantu mengurangkan kesakitan senggugut dengan cara melancarkan perjalanan darah dan merehatkan otot rahim. Kandungan fenolat dalam teh membantu menghilangkan kesakitan.

petua hilangkan senggugut

Sumber: Tehrantimes

7. Jaga pemakanan

Sesetengah makanan yang tinggi lemak tepu seperti daging boleh menyebabkan otot rahim mengecut dengan lebih kuat lalu menyebabkan kesakitan. Pengambilan garam secara berlebihan dalam diet seharian pula akan menyebabkan tiub falopio menjadi bengkak dan berlakunya keradangan.

8. Dark Chocolate

Coklat gelap atau dark chocolate yang pahit tanpa susu adalah ubat senggugut yang sangat berkesan. Coklat gelap merembeskan hormon yang menyebabkan badan anda terlupa tentang kesakitan yang sedang dialami. Namun, makan dengan berpada. Nanti naik pula berat badan anda.

9. Minuman herba

Minuman herba daripada campuran halia, pinang tua, rumput jarum emas, rumput cengkih padang dan daun pudina mampu menghilangkan senggugut yang anda alami. Caranya, masak kesemua herba tadi sehingga mendidih dan minum sedikit demi sedikit setiap kali anda berasa sakit.

10. Air asam jawa

Amalan meminum air asam jawa setiap pagi semasa datang haid juga dikatakan membantu menghilangkan senggugut yang kronik. Caranya bancuh satu sudu asam jawa bersama satu gelas air suam, dan minum setiap pagi.

11. Jus daun betik

Jus daun betik rasanya agak pahit tapi sangat mujarab untuk menghilangkan senggugut. Caranya, ambil beberapa helai daun betik dan kisarkan. Tapis, lalu diminum airnya setiap malam sebelum tidur sepanjang anda datang bulan.

12. Kulit kayu manis

Air rebusan kulit kayu manis juga membantu menghilangkan senggugut. Caranya, rebus sebatang kulit kayu manis bersama sedikit madu. Biarkan sehingga mendidih. Minum dalam keadaan suam. Amalkan setiap pagi bermula seminggu sebelum tarikh anda dijangka didatangi haid.

13. Kulit limau nipis

Air rebusan kulit limau nipis adalah petua hilangkan senggugut yang seterusnya. Ambil sedikit kulit limua nipis, rebus sehingga mendidih dan minum airnya setiap pagi sepanjang anda mengalami seggugut.

14. Air kunyit

Air kunyit sememangnya telah menjadi amalan tradisional untuk menjaga kesihatan rahim sejak zaman nenek moyang kita lagi. Caranya ambil seinci kunyit hidup, sagatkan. Campurkan segelas air lalu diminum. Jika anda tak selera untuk minum begitu sahaja, boleh juga masukkan sedikit madu supaya manis.

15. Air kencur

Kencur atau cekur adalah satu lagi herba yang sangat berkhasiat untuk menjaga kesihatan rahim wanita. Salah satu daripada khasiat air kencur ialah melancarkan perjalanan haid dan mengurangkan senggugut. Caranya, sagat kencur dan campurkan dengan secawan air. Minum setiap pagi. Bukan sahaja senggugut anda akan hilang, malah wajah anda akan semakin berseri.

16. Vitamin

Vitamin B1, B6 dan asid omega yang ada dalam minyak ikan mampu menghilangkan senggugut. Sementara mineral kalsium dan magnesium pula membantu mengelakkan otot rahim mengecut dengan keterlaluan. Sekiranya anda selalu senggugut, anda boleh amalkan supplement yang mengandungi Vitamin B, minyak ikan, kalsium dan magnesium sebagai makanan tambahan setiap hari.

Pengambilan vitamin-vitamin tersebut secara konsisten membantu menghilangakan senggugut yang anda alami setiap bulan.

17. Ais

Jangan minum minuman berais sepanjang anda datang bulan.

18. Minuman berkarbonat

Selain ais, minuman berkarbonat juga boleh menyebabkan senggugut anda menjadi semakin teruk. Oleh itu, jangan minum makanan berkarbonat seminggu sebelum tarikh anda dijangka datang haid. Elakkan juga semasa anda sedang haid.

19. Minuman berkafein

Kafein dalam kopi akan menyebabkan otot rahim mengecut dengan lebih kuat, lalu menyebabkan kesakitan senggugut yang amat sangat.

20. Mandi air panas

Sepanjang anda datang bulan, pastikan anda mandi dengan air panas. Elakkan mandi air sejuk kerana kesejukan akan menyebabkan peredaran darah dalam rahim anda terganggu dan menyebabkan pengecutan otot rahim yang keterlaluan.

petua hilangkan senggugut

Sumber: Pulse

Itulah dia 20 petua hilangkan senggugut yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga pasti akan sukakan perkongsian kami tentang petua hilangkan fibroid kanser rahim, dan meruang.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.