Ibu mana yang tak susah hati apabila anak kesayangan dilanda selsema. Risau kalau selsema makin melarat sampai anak demam.

Pastinya ibu-ibu juga sedia maklum bahawa bayi dibawah umur 2 tahun tidak sesuai diberikan ubat selsema. Jangan susah hati ibu, jom kami kongsikan petua hilangkan selsema bayi tanpa ubat yang dijamin selamat dan berkesan.

petua hilangkan selsema bayi
Sumber: Readers Digest

1. Mandi wap

Salah satu petua berkesan untuk mengatasi masalah selsema pada bayi kesayangan anda ialah dengan cara mandi wap. Ianya bukan sahaja berkesan malah langsung tidak menyakitkan. Apa yang anda perlukan ialah:

  • Sebesen air panas
  • Bawang putih
  • Selimut
  • Tuala kecil

Cara-caranya ialah:

  • Masukkan air panas ke dalam besen, wapnya akan naik ke atas.
  • Ketuk beberapa ulas bawang putih, masukkan ke dalam besen berisi air panas tadi. Wap yang keluar dari besen akan berbau bawang putih.
  • Bungkus bayi anda dalam selimut, seperti membedung. Tujuannya bagi memudahkan anda memegang bayi anda semasa proses melakukan pengewapan.
  • Telangkupkan bayi anda, dekatkan kepalanya kepada wap yang keluar dari besen berisi air panas. Berhati-hati, jangan letakkan bayi anda secara tepat di atas besen, tetapi di bahagian tepi.
  • Tepuk belakang bayi perlahan-lahan.
  • Hingus akan mula mencair dan meleleh keluar dari hidung bayi. Lap dengan tuala kecil yang disediakan.
  • Lakukan proses mengewap sehingga hingus tiada lagi atau pun berhenti apabil bayi anda mula kelihatan selesa tanpa hingus.
petua hilangkan selsema bayi
Sumber: Shehanzstudio

2. Kunyit hidup

Satu lagi petua hilangkan bayi tanpa ubat yang dijamin selamat dan berkesan ialah dengan menggunakan kunyit hidup. Cara ini juga tidak akan menyakitkan bayi anda. Apa yang anda perlukan ialah sedikit kunyit hidup. Itu sahaja. Caranya:

  • Ambil sedikit kunyit hidup
  • Asahkan pada lesung batu atau sagat sehingga hancur
  • Sapukan pada atas batang hidung bayi anda dan di bahagian dahi

Ikhtiar dengan menggunakan kunyit hidup ini merupakan petua tradisional yang telah diamalan sejak nenek moyang kita pada zaman dahulu lagi. Bolehlah anda cuba.

petua hilangkan selsema bayi
Sumber: Nayville

3. Daun sireh

Satu lagi petua orang lama yang ingin kami kongsikan bersama anda ialah menghilangkan selsema bayi dengan daun sireh. Caranya sangat mudah. Apa yang anda perlukan cuma sehelai daun sireh. Terdapat dua cara yang boleh anda lakukan iaitu:

  • Cara pertama ialah ambil daun sireh, picit sehingga keluar lendir dan sapukan lendir dari daun sireh tadi ke atas batang hidung bayi anda, termasuk kawasan dahi.
  • Cara kedua ialah ambil dua helai daun sireh, layurkan di atas api sehingga layu. Tunggu sehingga suhu daun menjadi suam, kemudian tekapkan daun sireh tadi ke dada dan belakang bayi anda. Pastikan suhu daun sireh adalah suam untuk mengelakkan berlakunya lecuran pada bayi anda. Boleh juga sapukan Vicks Vaporub sebelum menekap daun sireh tadi.
petua hilangkan selsema bayi
Sumber: Majalah PaMa

4. Garam

Petua hilangkan selsema bayi yang seterusnya sememangnya sangat mudah, dan bahannya pasti ada di setiap rumah. Anda hanya perlukan garam, ya garam. Tak kisah sama ada garam halus atau garam kasar, kedua-duanya boleh digunakan untuk petua ini. Caranya ialah:

  • Ambil secubit garam
  • Larutkan dalam air
  • Sapukan air garam tadi ke atas batang hidung dan dahi bayi anda, insya Allah hingus bayi anda akan kering
petua hilangkan selsema bayi
Sumber: Good News From Indonesia

5. Bawang merah

Petua seterusnya yang ingin kami kongsikan juga menggunakan bahan yang ada di dapur setiap rumah, iaitu bawang merah. Untuk petua hilangkan selsema bayi menggunakan bawang merah ini, terdapat dua cara yang boleh anda lakukan iaitu:

  • Cara pertama: Anda potong bawang merah, masukkan ke dalam bekas tanpa penutup dan letakkan bekas berisi bawang tadi di sebelah bayi anda
  • Cara kedua yang kedua memerlukan bawang merah dan dua pasang stokin. Caranya, pakaikan bayi anda stokin. Kemudian masukkan hirisan bawang merah di tapak kaki bayi yang berstokin tadi, dan pakaikan lapisan stokin yang kedua bagi memastikan bawang merah kekal berada di tapak kaki bayi anda. Stokin yang pertama berfungsi untuk melindungi kulit di bahagian tapak kaki bayi anda daripada terkena direct contact dengan hirisan bawang yang diletakkan. Ini kerana kulit bayi adalah sangat halus dan agak sensitif. Tanpa beralaskan stokin, dikhuatiri bawang merah akan menyebabkan kerengsaan pada kulit bayi anda.
petua hilangkan selsema bayi
Sumber: Sociolla

6. Minyak zaitun dan bawang putih

Petua hilangkan selsema bayi tanpa ubat yang dijamin berkesan dan selamat yang seterusnya ialah dengan menggunakan minyak zaitun dan bawang putih. Caranya mudah sahaja iaitu:

  • Ambil seulas bawang putih. Bersama kulitnya, bakar di atas api dapur sehingga kehitaman
  • Apabila bawang putih tadi sejuk, buang kulitnya dan lenyek dengan garfu sehingga hancur
  • Ambil sesudu minyak zaitun, campurkan dengan bawang putih yang telah dibakar dan dihancurkan tadi. Kacau sehingga sebati
  • Gunakan minyak tadi untuk disapukan ke dada, belakang, betis, tapak kaki, dan di atas batang hidung bayi anda untuk kelegaan daripada selsema
petua hilangkan selsema bayi
Sumber: Fountain Avenue Kitchen

7. Suhu bilik yang tidak terlalu sejuk

Petua hilangkan selsema bayi yang terakhir ingin kami kongsikan kepada anda ialah dengan cara memastikan suhu bilik yang dihuni bayi anda tidak terlalu sejuk. Ini kerana suhu yang terlalu sejuk, terutamanya jika anda memasang alat penghawa dingin akan menyebabkan selsema bayi anda menjadi semakin teruk dan hidung bayi akan tersumbat.

Itulah dia 7 petua hilangkan selsema bayi yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat! Jika anda sukakan perkongsian kami hari ini, anda juga pastinya sukakan artikel kami berkenaan petua hilangkan selsema dan petua hilangkan cirit birit.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.