Dengkur berlaku disebabkan saluran pernafasan sempit dan tersumbat sewaktu tidur. Kemudian, udara menolak dengan kuat ke arah laluan udara menyebabkan bunyi yang dikenali sebagai dengkuran. Alahan, asma, kesejukan, sesak hidung dan jangkitan resdung boleh menyebabkan dengkuran.

 

petua hilangkan dengkur

Sumber: Alpinehc

1. Jus epal, lobak merah, lemon & halia

Anda boleh mengatasi masalah berdengkur dengan mengamalkan jus ini. Bahan-bahan:

  • 2 biji epal
  • 2 biji lobak merah
  • ¼ lemon
  • Halia sebesar ibu jari

Cara membuat, campurkan semua bahan-bahan di atas menggunakan mesin pengisar. Lebih elok sekiranya gunakan bahan-bahan organik. Lagi cepat pengurangan berdengkur.

2. Jus kunyit hidup, madu & air suam

Selain itu, anda juga boleh mengamalkan jus kunyit hidup ini. Ambil 2 ruas kunyit hidup, anggaran 2 inci. Kupas kulitnya, bersihkan dan hiris nipis. Masukkan dalam segelas air suam. Tambahkan dengan 2 sudu kecil madu. Kacau sebati. Amalkan minum air kunyit tersebut setiap malam sebelum tidur.

3. Badam

Badam juga boleh mengurangkan dengkur. Ambil tujuh biji badam. Basuh, keringkan dan tumbuk sampai lumat. Campurkan badam tersebut dengan segelas susu panas. Amalkan setiap kali sebelum masuk tidur.

4. Kurangkan berat badan

Bagi mereka yang berbadan besar, sebaiknya turunkan berat badan kerana lemak yang terkumpul di sekitar kerongkong adalah antara punca anda berdengkur. Cara ini bukan sahaja dapat membantu mengatasi masalah dengkuran tetapi anda akan dapat tidur nyenyak serta personaliti anda akan turut nampak lebih menarik dan memikat.

5. Mandi air panas sebelum tidur

Masalah dengkur berlaku apabila ada gangguan pada saluran pernafasan pada bahagian saluran hidung atau tekak.Jika anda mandi air panas sebelum tidur, ia akan membantu untuk mengeluarkan sebarang bendalir yang mengganggu saluran tersebut. Sambil mandi, jangan lupa juga untuk berkumur dan membilas hidung.

petua hilangkan dengkur

Sumber: Huffpost

6. Gunakan pelekat jalur hidung anti dengkur

Jika anda memerlukan bantuan peralatan bagi mendapatkan pernafasan yang lebih lancar ketika tidur, mungkin anda boleh menggunakan pelekat jalur hidung. Ia membantu untuk membuka bukaan nasal hidung. Anda boleh membelinya di mana-mana farmasi atau kedai serbaneka. Ia sangat membantu dalam mengatasi masalah berdengkur, terutamanya jika ia disebabkan oleh sekatan pada hidung, dan bukannya pada tekak.

7. Gunakan semburan hidung

Selain daripada pelekat hidung yang diletakkan di bahagian atas hidung, anda juga boleh membeli semburan nasal hidung bagi melegakan sekatan pernafasan akibat mukus dalam hidung anda. Ia juga boleh dibeli di farmasi dan apabila disembur, anda akan berasa lega dan lebih mudah untuk bernafas.

8. Tidur mengiring, elakkan tidur terlentang

Jika anda mengalami masalah dengkur setiap malam, cuba tukar cara anda tidur. Berbaring secara menelentang akan menyebabkan bahagian atas lidah anda menutup saluran tekak anda, sekaligus menutup saluran pernafasan. Cuba tidur secara mengiring dengan mendapatkan bantuan bantal peluk atau anda juga boleh memilih untuk memeluk pasangan anda.

9. Buat pemeriksaan tonsil

Tonsil yang terlalu besar jiga boleh menjadi punca berdengkur. Jika anda mempunyai situasi dengkur yang teruk, jumpalah pakar dan buat pemeriksaan untuk memeriksa jika anda ada masalah tonsil bengkak atau terlalu besar. Pembedahan boleh dilakukan bagi membuang tonsil tersebut agar anda tiada gangguan tidur lagi.

10. Pasang pelembab udara (humidifier) di dalam bilik

Kalau anda naktahu, masalah dengkur juga boleh disebabkan oleh keadaan bilik yang kering dan panas. Apabila anda tidur dalam suhu bilik sebegini, hidung anda perlu bekerja lebih kuat ketika tidur untuk mendapatkan udara segar, sehinggakan anda berdengkur.

Dengan memasang pelembap udara (air humidifier), bilik anda akan berada dalam keadaan optimum yang membantu tidur yang lebih berkualiti.

petua hilangkan dengkur

Sumber: Alibaba

11. Buat senaman otot-otot kerongkong dan rahang

Pernafasan akan menjadi lebih mudah jika anda memastikan otot-otot leher, kerongkong dan rahang sentiasa dalam keadaan baik. Amalkan menarik nafas panjang bagi melapangkan laluan pernafasan anda dan ini mengurangkan risiko ia tersumbat semasa anda sedang tidur.

12. Mengurangkan bahan-bahan alahan yang terdapat dalam bilik tidur

Alahan boleh menjadi penyebab kepada dengkuran dan menimbulkan kesukaran untuk bernafas. Pastikan cadar dan selimut anda bersih daripada habuk dan hama. Sentiasa pasang alat penapis udara sepanjang siang dan malam bagi mendapatkan udara yang bersih dan segar.

13. Tidur menggunakan bantal peluk

Postur tidur yang selesa dan betul akan membuatkan tulang belakang anda berada pada kedudukan yang betul. Cara ini juga akan mengurangkan halangan pada saluran ke paru-paru dan nasal. Tidur mengiring dengan meletakkan bantal peluk membantu anda mengekalkan posisi tidur yang sihat.

 14. Amalkan teknik menarik nafas dalam-dalam

Bernafas dengan betul dapat membantu anda mendapatkan rehat yang cukup dengan sendiri anda dapat mengamalkan corak bernafas yang sihat pada setiap malam.

Oleh kerana anda tidak dapat mengawal pernafasan semasa tidur, latihan pernafasan yang anda sering lakukan membantu anda bernafas dengan betul semasa tidur. Meditasi dan pranayama merupakan latihan pernafasan yang bukan sahaja dapat membantu anda berhenti berdengkur tetapi anda akan berasa relaks dan lebih fokus.

15. Tidur dengan bantal yang tinggi

Lagi satu cara hilangkan dengkur adalah dengan tidur dalam keadaan kepala berada di atas bantal yang sedikit tinggi. Ia membantu pernafasan yang lebih lancar apabila dagu dan hidung anda sedikit terangkat. Tetapi, bantal tersebut tidak perlu terlalu tinggi sehingga anda sakit tengkuk! Cukup sekadar 4 ke 5 inci lebih tinggi dari paras biasa kepala anda ketika berbaring.

petua hilangkan dengkur

Sumber: Islamituindah

16. Jangan ambil makanan berat sebelum tidur

Tabiat gemar makan berat lewat malam sebelum tidur juga adalah salah satu punca masalah dengkur. Malah, ada kajian yang menyatakan bahawa makanan seperti minuman susuan akan menyebabkan masalah dengkur yang semakin teruk. Jadi, perhatikan apa yang anda makan sebelum tidur dan elakkan dari makan lewat malam. Ia mungkin dapat membantu mengurangkan masalah tidur anda.

17. Buat latihan mulut

Jika anda ingin mengurangkan dengkuran ketika tidur, cuba buat latihan mulut ini.

  • Tekan hujung lidah ke lelangit dan gerakkannya ke belakang. Ulang selama 3 minit setiap hari.
  • Gerakkan otot mulut di bahagian tekak anda dan gerakkan anak tekak selama 30 saat.
  • Sebut vowel ‘A’ secara kuat selama beberapa minit setiap hari

Latihan otot mulut dan lidah sebegini dikatakan dapat membuka bukaan tekak dan sekaligus membantu pernafasan yang lebih lancar ketika tidur.

18. Banyakkan minum air di siang hari

Satu lagi cara untuk menghilangkan dengkur adalah dengan memperbanyakkan minum air di siang hari. Ia akan mengekalkan tahap hidrasi badan anda. Jika anda kekurangan air, tekak anda akan kering dan menghasilkan mukus lalu menyebabkan masalah dengkur. Jadi, banyakkan minum air di siang hari untuk mengelakkan ia terjadi.

Itulah dia petua hilangkan dengkuran yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat!Jemput baca artikel petua hilangkan buasir dan petua rambut gugur

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.