Cicak yang banyak di rumah akan menyebabkan najisnya bersepah di atas lantai, di atas meja, malah ada yang akan melekat pada dinding.

Cicak yang nakal juga akan masuk ke bawah tudung saji untuk menjilat makanan. Kalau ada banyak cicak di rumah anda, jangan risau. Jom kami kongsikan petua halau cicak yang dijamin berkesan.

cara halau cicak

Sumber: Pestwiki

1. Serai wangi

Cicak sangat anti dengan bau serai wangi. Kalau anda ada pokok serai wangi di belakang rumah, boleh ambil batangnya bersama sedikit daun dan letakkan di kawasan cicak selalu kelihatan. Kalau takde pokok serai wangi, tak mengapa. Anda boleh beli semburan serai wangi yang banyak dijual di kedai. Cuma spray saja di kawasan cicak selalu berkumpul. Insya Allah cicak akan lari keluar dari rumah anda.

2. Kulit telur

Selain bau serai wangi, cicak juga sangat bencikan bau telur. Selepas ini, kalau anda memasak menggunakan telur, simpan kulitnya. Masukkan kulit telur ke dalam bekas dan letak di kawasan cicak selalu kelihatan. Sesekali, periksa kulit telur tersebut bagi memastikan tiada semut membuat sarang di dalamnya.

3. Bawang merah

Mungkin anda tak tahu, cicak juga sangat bencikan bau bawang merah. Anda potong bawang merah dan letakkan di kawasan yang disukai cicak. Anda juga boleh kisar bawang merah dan sembur di kawasan yang berkenaan.

4. Bawang putih

Bawang putih juga mempunyai bau yang tidak disukai oleh cicak. Cara untuk menggunakannya sama seperti bawang merah tadi. Insya Allah cicak akan keluar dari rumah anda akibat tak tahan dengan bau bawang putih.

5. Serbuk kopi & tembakau

Cara yang ini agak kejam sedikit. Jika 4 kaedah di atas bertujuan untuk menghalau cicak supaya keluar dari rumah, kaedah yang ini pula bertujuan untuk membunuh cicak supaya mati. Anda perlukan serbuk kopi, tembakau, gam, dan pencungkil gigi. Caranya:

  • Campurkan serbuk kopi dan tembakau.
  • Sapukan gam pada hujung pencungkil gigi.
  • Semasa gam masih kering, benamkan hujung pencungkil gigi yang bergam tadi ke dalam campuran serbuk kopi dan tembakau. Gerak-gerakkan pencungkil gigi supaya serbuk tadi melekat kepadanya.
  • Letakkan pencungkil gigi tersebut di kawasan cicak selalu kelihatan.
  • Cicak akan tertarik dengan bau yang dihasilkan oleh campuran tadi lalu menjilatnya.
  • Bahan dalam campuran tadi akan menyebabkan cicak mati.
cara halau cicak

Sumber: Masirwin

6. Serbuk lada hitam, serbuk cili, dan air

Tahukah anda, cicak tak suka benda yang pedas. Oleh itu, kalau anda nak halau cicak dari rumah, anda boleh gunakan bahan yang pedas iaitu serbuk lada hitam, serbuk cili, dan air. Caranya:

  • Kisar biji lada hitam sehingga halus. Atau anda boleh beli serbuk lada hitam.
  • Campurkan serbuk lada hitam dengan serbuk cili. Serbuk cili ada dijual di kedai runcit.
  • Masukkan campuran tadi ke dalam botol spray, masukkan air.
  • Goncang sehingga sebati.
  • Sembur ke tempat cicak selalu kelihatan.
  • Cicak akan lari bertempiaran akibat tak tahan pedas.

7. Gam tikus

Anda kenal gam tikus? Gam tikus juga boleh digunakan untuk menghalau cicak keluar dari rumah. Apa yang anda perlukan ialah gam tikus dan kertas keras seperti kotak. Caranya:

  • Potong kotak kepada saiz kecil, anggaran sebesar tapak tangan.
  • Sapukan gam tikus di tengah-tengah kotak yang dipotong tadi.
  • Letakkan di kawasan cicak selalu kelihatan.
  • Boleh juga digantung di dinding atau siling yang selalu menjadi laluan cicak.
  • Apabila cicak lalu di atas kotak tersebut, ia akan melekat dan takkan dapat melepaskan diri.
  • Tunggu cicak tadi mati, dan buang kotak tadi ke dalam tong sampah.

8. Ply paper

Ply paper adalah perangkap yang boleh dibeli di kedai. Caranya lebih kurang sama seperti kaedah menggunakan gam tikus tadi. Anda letakkan ply paper di tempat cicak selalu kelihatan, atau letakkan di laluannya. Cicak akan melekat di atas kertas tersebut.

9. Minyak masak dan mentega

Ini adalah cara untuk membuat perangkap cicak homemade. Apa yang anda perlukan ialah minyak masak dan mentega. Cuma dua bahan. Caranya:

  • Masukkan minyak masak ke dalam sebuah bekas. Anda boleh guna minyak yang telah digunakan untuk memasak, tak semestinya kena guna minyak yang baru. Tak perlu membazir.
  • Masukkan satu sudu mentega ke dalam minyak tadi.
  • Gabungan minyak dan mentega akan menarik perhatian cicak.
  • Cicak akan cuba menjilat bahan tadi lalu terjatuh ke dalam bekas dan mati lemas.
  • Sekiranya cicak tidak mati lemas, ia akan mati akibat memakan minyak dan mentega.
cara halau cicak

Sumber: Drweil

10. Sos tabasco

Sos tabasco adalah sos pedas. Maka, secara automatik ia tidak disukai oleh cicak. Apa yang anda perlukan ialah sos tabasco dan air. Caranya:

  • Masukkan sos tabasco ke dalam spray.
  • Masukkan air.
  • Goncang sehingga sebati.
  • Spray di tempat cicak selalu kelihatan atau laluannya.
  • Cicak akan lari akibat tidak suka akan baunya.

11. Cili kering

Cili kering mempunyai bau pedas yang kuat. Anda boleh gunakan cili kering untuk menghalau cicak dari rumah. Terdapat dua cara yang boleh anda lakukan iaitu:

  • Gantung cili kering di tempat cicak selalu kelihatan.
  • Atau anda juga boleh gunting cili kering, masukkan ke dalam bekas dan letak di tempat yang berkenaan.
  • Cicak akan lari akibat bau cili kering yang kuat.

12. Perangkap cicak

Anda kenal perangkap tikus? Tahukah anda bahawa perangkap cicak juga ada dijual di kedai. Anda boleh beli perangkap cicak dan letakkan di kawasan yang strategik. Cicak yang terperangkap di dalamnya tidak akan berjaya keluar.

Itulah dia 12 petua halau cicak yang boleh anda cuba. Kami doakan agar selepas ini hidup anda tidak lagi dibelenggu oleh masalah cicak. Jemput juga baca petua hilangkan sakit mata dan petua hilangkan sakit mata.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.