“Wah, cantiknya bibir model ni! Merahnya bibir dia, walau tak bersolek pun. Apa agaknya rahsia dia kan?”

Inilah persoalan yang sering menerpa di dalam kepala setiap wanita. Bibir merupakan bahagian pada wajah yang selalu dititikberatkan dan menjadi perhatian. Mempunyai bibir yang mungil, merah bak delima dan seksi menjadi dambaan setiap wanita.

Seperti juga kulit wajah, kesihatan bibir juga perlu dijaga. Untuk mendapatkan bibir yang cantik dan sihat perlu penjagaan yang khusus. Bukan semua wanita dikurniakan dengan warna bibir merah secara semula jadi.

Ada yang mempunyai bibir yang kering sehingga merekah-rekah dan luka. Malahan, ada juga yang mempunyai bibir yang gelap dan lebam. Salah satu faktor yang menentukan warna bibir ialah warna kulit, keturunan dan genetik.

Setiap wanita mempunyai warna bibir yang berbeza-beza. Ia bergantung pada berapa banyak pigmen melanin yang terkandung pada bibir. Warna bibir yang gelap disebabkan penghasilan melanin yang tinggi.

Sebab Bibir Jadi Gelap

Namun ada juga wanita yang mempunyai warna bibir yang gelap selain daripada 3 faktor yang dinyatakan di atas. Antara sebab berlakunya masalah ini ialah:

"
  1. Mempunyai masalah kekurangan darah.
  2. Cuaca atau berada di tempat yang sejuk.
  3. Kekurangan oksigen
  4. Tidak sihat seperti demam.
  5. Kurang minum air.
  6. Pencemaran udara.
  7. Makanan yang terlalu masam dan masin.
  8. Terlalu kurang makan sayur dan buah-buahan.
  9. Tabiat buruk seperti merokok dan minum alkohol.
  10. Mengambil kafein secara berlebihan seperti kopi dan teh.
  11. Menggunakan kosmetik seperti gincu yang mempunyai bahan kimia yang tinggi.
  12. Alergik pada bahan dalam pembuatan alat kosmetik
  13. Penggunaan ubat gigi yang mempunyai detergen berlebihan.
  14. Tabiat suka menjilat bibir.
  15. Penyakit seperti alahan kepada makanan laut dan ekzema.

Cara Nak Dapatkan Bibir Merah

Setelah kenal pasti punca yang menyebabkan berlakunya masalah bibir gelap, anda bolehlah membuat langkah pencegahan dan rawatan. Dalam artikel ni, penulis akan berkongsi beberapa tips mudah untuk membantu anda mendapatkan bibir yang merah.

Minum air secukupnya

Ini merupakan perkara pertama yang perlu anda buat iaitu minum sekurang-kurangnya 8 gelas air setiap hari mengikut keperluan badan. Ingat ye! Air yang dimaksudkan bukannya air manis tetapi air putih.

Air penting untuk proses penghidratan dan membantu kelancaran perjalanan darah. Apabila kita kurang minum air, bibir akan menjadi kering dan pecah-pecah. Apabila bibir luka, ia akan mengelupas dan menyebabkan parut gelap pada bibir. 

Amalkan pemakanan yang sihat

Selain minum air yang cukup, lebihkan sayur dan buah-buahan dalam pemakanan harian anda. Lebihkan sayur hijau seperti timun, bayam, brokoli dan sebagainya. Anda juga boleh buat jus buah-buahan untuk mempelbagaikan hidangan.

Kandungan vitamin, zat mineral dan kalsium di dalam buah dan sayur dapat melembapkan bibir. Ini menyebabkan bibir tak mudah kering dan merekah. Kurangkan pengambilan jeruk dan kekacang goreng yang mempunyai kandungan garam yang tinggi. Ia akan menyebabkan bibir mudah mengelupas.

Gunakan gel petroleum atau pelembap bibir

Penggunaan gel petroleum memang cukup terkenal untuk mengatasi masalah ni. Anda boleh mendapatkannya di farmasi atau klinik. Gel petroleum mampu melindungi dan mengunci kelembapan dalam memperbaiki kulit di sekitar bibir.

Anda boleh menyapunya pada setiap hari sama ada ketika di rumah, sebelum mengenakan gincu atau sebelum tidur. Kini, terdapat pelbagai jenis pelembap bibir yang diperbuat daripada gel petroleum. Ada yang mempunyai perasa buah-buahan dan mempunyai warna seakan-akan gincu.

Pilih gincu yang bersesuaian

Tujuan kita memakai gincu ialah untuk menyerlahkan warna bibir. Namun, jika anda tak mengambil tahu kandungan yang terdapat dalam gincu tersebut, takut kesan lain pula yang timbul.

Bahan kimia yang tinggi boleh memberikan kesan alergik yang akan merosakkan bibir. Oleh itu, jika anda sering menghadapi masalah seperti ni, elakkan memakai gincu. Sebagai penggantinya, anda boleh memakai lip balm yang mempunyai warna. Lip balm lebih selamat kerana biasanya diperbuat daripada gel petroleum. 

Sapukan madu

Petua menyapu madu pada bibir sebelum tidur merupakan cara yang dilakukan sejak zaman-berzaman. Pastikan anda menyapu madu asli secara konsisten setiap hari. Dikatakan bahawa tips ni sangat mujarab.

Skrub gula pasir

Ni ialah petua yang paling mudah anda boleh cuba. Ambil sesudu gula pasir dan sedikit gel petroleum, gosok pada bibir perlahan-lahan. Ia berfungsi sebagai skrub untuk menanggalkan sisa gincu, sel-sel kulit mati dan kulit yang mengelupas.

Gosok perlahan-lahan ye! Amalkan rutin ni setiap 2 minggu sekali. Percayalah, anda akan rasai perubahan pada bibir anda. 

Jus buah-buahan

Tahukah anda buah-buahan seperti lemon, nanas, mulberry, buah naga merah dan strawberi boleh menjadikan bibir anda merah. Selain dimakan begitu saja atau dibuat jus, ada cara lain yang boleh anda praktikkan.

Caranya ialah ambil sedikit isi atau jus buah-buahan tersebut. Kemudian, sapukan pada bibir sebagai masker seminggu 2 atau 3 kali. Khasiat yang terkandung dalam buah-buahan tersebut dapat menjadikan bibir lebih lembap, sihat dan cantik.

Sapu minyak zaitun

Minyak zaitun memang terkenal dengan 1001 khasiatnya yang tinggi. Kandungan vitamin E dan antioksidan di dalamnya berfungsi untuk melembapkan bibir. Selain itu, ia juga sangat efektif untuk menanggalkan solekan dan sel-sel kulit mati.

Anda hanya perlu mengambil sedikit minyak zaitun dan sapukan pada bibir setiap malam. Malahan anda juga boleh mencampurkan minyak zaitun ke dalam gula pasir dengan sedikit jus lemon sebagai skrub bibir.

Gunakan berus gigi

Selain skrub bibir menggunakan gula pasir, anda boleh menanggalkan kekotoran dan kulit-kulit kering pada bibir menggunakan berus gigi. Pastikan berus tersebut lembut dan tak menyakitkan. Beruskan bibir anda seminggu sekali dengan perlahan-lahan.

Gel aloe vera

 Aloe vera sangat berkesan dalam menghilangkan parut dan melembapkan kulit. Jika anda mempunyai masalah bibir yang sangat kering, gunakan aloe vera sebagai penyegar yang terbaik. Masalah bibir yang hitam dan lebam juga dapat dihilangkan.

Ambil sedikit gel aloe vera, oleskan pada bibir. Biarkan selama lebih kurang 10 hingga 15 minit. Kemudian, bilas dengan air bersih.

Diharapkan dengan perkongsian 10 tips ni, masalah bibir kering dan gelap dapat diatasi. Untuk mendapatkan bibir yang merah semula jadi, anda perlulah konsisten dan jangan hanya buat sekerat jalan saja.

Jika pembaca Bidadari.my ada tips-tips yang lain, boleh juga kongsikan dengan kami. Jom cantik sama-sama! Jemput juga baca artikel petua kecantikkan dan senaman muka untuk awet muda

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.