Perkahwinan adalah suatu ikatan yang menghalalkan perhubungan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Perkahwinan juga disebut sebagai akad nikah dalam Bahasa Arab.

 

Pengertian Nikah

perkahwinan

Imej via islamituindah

Nikah mempunyai dua pengertian. Pertama dengan makna bahasa iaitu berkumpul dan berhimpun. Manakala, kedua dengan makna syar’i, iaitu akad yang mengandungi rukun dan syarat yang menghalalkan perhubungan intim antara lelaki dan wanita.

 

Perkahwinan Menurut Islam

Pembentukan institusi keluarga Islam bertitik tolak daripada perkahwinan. Malah, dalam Islam sendiri, perkahwinan itu adalah sangat-sangat dianjurkan. Terdapat banyak dalil dari al-Quran dan hadis yang menyarankan agar umat Islam bernikah.

Firman Allah swt:

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَىٰ وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً

Maksudnya, “…Maka kahwinlah kamu mana-mana yang baik bagi kamu daripada wanita dua, tiga atau empat. Maka sekiranya kamu khuatir bahawa kamu tidak dapat berlaku adil maka cukuplah seorang sahaja…” (Surah an-Nisa’, Ayat 3)

Dari Anas bin Malik ra berkata: “Rasulullah saw memerintahkan kami untuk menikah dan melarang membujang dengan larangan yang keras.” Nabi saw bersabda;

تَزَوَّجُوا الْوَدُوْدَ الْوَلُوْدَ، فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ اْلأَنْبِيَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya, “Kahwinlah kamu dan beranak pinaklah kamu kerana sesungguhnya aku berbangga kerana banyak bilangan kamu pada hari kiamat kelak.” (HR Imam Ahmad)

Pernah suatu ketika, tiga orang Sahabat ra datang bertanya kepada isteri-isteri Nabi saw tentang peribadatan Baginda. Kemudian setelah diterangkan, masing-masing ingin meningkatkan ibadah mereka. Salah seorang dari mereka berkata: “Maka saya akan puasa sepanjang masa tanpa putus.” Sahabat yang lain berkata: “Maka saya akan solat malam selama-lamanya.” Manakala, yang lain berkata, “Sungguh saya akan menjauhi wanita, saya tidak akan nikah selama-lamanya.” Ketika hal itu didengari oleh Nabi saw, Baginda keluar seraya bersabda:

أَنْتُمُ الَّذِيْنَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا؟ أَمَا وَاللهِ إِنِّي َلأَخْشَاكُمْ ِللهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ، وَلَكِنِّي أَصُوْمُ وَأُفْطِرُ وَأُصَلِّى وَأَرْقُدُ وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي

Maksudnya “Benarkah kalian telah berkata begini dan begitu? Demi Allah, sesungguhnya akulah yang paling takut kepada Allah dan paling taqwa kepadaNya di antara kalian. Akan tetapi aku berpuasa dan aku berbuka, aku solat dan aku pun tidur, dan aku juga menikahi wanita. Maka, barangsiapa yang tidak menyukai Sunnahku, ia tidak termasuk golonganku.” (HR Bukhari, Muslim dan Ahmad)

 

Berkahwin bukan sahaja menjadi sunnah Nabi saw. Tetapi ia juga adalah cara halal yang Allah syariatkan kepada manusia untuk memenuhi fitrah serta keperluan zahir dan batin manusia. Namun begitu, perkahwinan dalam Islam dilandasi dengan panduan serta hukum yang jelas agar perkahwinan itu menjadi suatu ikatan yang memberi kebahagian, bukannya kemudharatan.

 

Hukum Nikah

Imej via pengajianislam

Walaupun pernikahan adalah suatu yang perbuatan yang mengikut sunnah Nabi saw. Namun terdapat beberapa hukum bagi nikah bergantung kepada keadaan setiap individu.

i) Wajib

Wajib bernikah apabila seseorang telah berkemampuan dan mempunyai keinginan (nafsu syahwat) yang tidak boleh dikawal. Sekiranya tidak berkahwin dibimbangi ia akan melakukan zina dan terjerumus kepada kebinasaan.

 

ii) Sunat

Hukum sunat bernikah jatuh kepada seseorang berkemampuan (zahir dan batin), mempunyai keinginan (nafsu syahwat) tetapi masih dapat mengawalnya dan menjaga diri jika tidak berkahwin. Lelaki ahli ibadah disunatkan berkahwin demi mengawal agama, keturunan dan mencari kebaikan. Disunatkan juga bagi perempuan yang ingin berkahwin sama ada kerana keinginannya sendiri ataupun keperluan nafkah hidup atau takut kepada ancaman orang jahat atau kerana dia bukan ahli ibadat, tetapi dengan perkahwinan dia dapat mengawal keagamaannya serta kehormatannya.

Menurut Imam Hanafi pula adalah lebih afdal berkahwin daripada amalan ibadah sekiranya ada padanya syahwat yang dikhuatiri menjerumuskan dirinya kepada bahaya (zina).

 

iii) Makruh

Makruh, berkahwin jika seseorang itu mempunyai keinginan (nafsu syahwat) tetapi tidak berkemampuan dari segi kewangan. Begitu juga hukum makruh berkahwin jika seseorang itu takut atau khuatir akan menzalimi bakal pasangan dalam pergaulan, kalau dia berkahwin. Menurut Imam Syafi’e, makruh juga sekiranya tidak berhajat untuk berkahwin sedangkan dia sakit, tidak berkemampuan dari segi nafkah, mahar dan sebagainya.

 

iv) Harus

Harus pada syara’ iaitu tidak mendatangkan dosa mahupun pahala jika seseorang itu tidak berkahwin. Ini adalah asal hukum nikah kahwin. Begitu juga harus berkahwin bagi mereka yang tidak ada halangan untuk berkahwin dan tidak ada pula sesuatu perkara yang mendorongnya untuk berkahwin. Demikian menurut Imam Syafi’e dengan menambah, adalah harus hukumnya berkahwin tetapi beribadat adalah lebih afdal bagi orang yang tidak berhajat berkahwin seperti disebabkan dia tidak berkeinginan melakukan persetubuhan tetapi mampu dari segi perbelanjaan dan tidak berpenyakit.

Menurut pendapat Imam Nawawi, jika dia bukan ahli ibadah adalah lebih utama baginya berkahwin supaya tidak mendatangkan keburukan pada masa lapangnya. Imam Hanafi pula menambah, jika tiada padanya syahwat atau ada padanya syahwat namun sudah tua atau sakit dan sebagainya maka di situ ada dua pendapat iaitu, digalakkan berkahwin dan kedua beribadah adalah lebih baik baginya.

 

v) Haram

Haram berkahwin bagi orang yang berkeyakinan tidak akan dapat melaksanakan kewajipan sebagai seorang suami. Sekiranya ia berkahwin ia akan melakukan kezaliman kepada isterinya. Misalnya seorang lelaki mengahwini wanita untuk dijadikan pelacur bagi mendapatkan sumber kewangan. Begitu juga orang yang dihinggapi penyakit jika dia belum berubat. Seterusnya haram berkahwin bagi lelaki yang sudah beristeri serta mempunyai beberapa orang anak sedang dia sendiri sakit dan tidak dapat mencari nafkah dan haram jika lelaki itu Muslim tetapi bakal isterinya kafir musyrik yang menyembah berhala kecuali wanita itu menganut Islam ataupun ahli kitab.

ijab qabul

Imej via bharian

Akad nikah dalam Islam juga tertakluk kepada rukun serta syarat sah pernikahan tersebut. Rukun dan syarat sah nikah boleh dirujuk pada artikel Rukun Nikah.

 

Objektif Pernikahan Dalam Islam

1) Memelihara keturunan dan menjamin berkekalan zuriat umat manusia yang beriman mengikut landasan yang betul.

2) Memenuhi dan menyempurnakan tuntutan hawa nafsu mengikut jalan yang diredhai Allah swt serta menyelamatkan manusia daripada kejahatan nafsu syahwat dan memelihara manusia dari perkara yang haram.

3) Mewujudkan satu ikatan kekeluargaan yang kukuh, mantap dan berkekalan berasaskan kasih sayang dan kerahmatan Allah swt. Keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah adalah impian bagi setiap keluarga Islam.

4) Mewujudkan dan melaksanakan satu sistem pengurusan dan tanggungjawab serta metode berinteraksi di dalam keluarga dan masyarakat, melalui kerjasama yang menguatkan hubungan kekeluargaan dan masyarakat.

keluarga bahagia

Imej via kitchensetidaman

Keluarga adalah unit-unit asas dalam sebuah masyarakat. Malah, keluarga hanya terwujud dengan adanya ikatan pernikahan. Oleh sebab itu, pernikahan dalam Islam sangat penting peranannya. Ia bukan sahaja untuk menjaga diri sendiri daripada kerosakan syahwat, tetapi juga menjaga keturunan, serta keharmonian masyarakat dengan panduan pendidikan Islam yang diterapkan dalam sesebuah keluarga.

 

Rujukan:

  1. Pengajian Islam
  2. Universiti Malaya
  3. Islam Grid
  4. Islamik
  5. Al-Manhaj

 

Artikel Menarik Lain

Bagaimana dengan artikel berkenaan Perkahwinan Dalam Islam yang dikongsikan? Anda dapat manfaat?

Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel lain untuk anda baca iaitu:

 

Penulis: Aniuna

Seorang yang ingin memanfaatkan teknologi digital untuk berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.