Setiap ibu pasti teringin untuk menyusukan anak dengan jayanya sehingga berumur 2 tahun. Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan tips penyusuan susu ibu.

Namun, perjalanan penyusuan susu ibu bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan keazaman dan bantuan orang terdekat, terutamanya suami.

Apa alatan yang anda perlukan untuk menjayakan penyusuan susu ibu?

Sekiranya anda seorang ibu bergelar surirumah atau bekerja dari rumah dimana bayi sentiasa ada bersama anda, anda tidak memerlukan apa-apa alatan untuk membantu anak menyusukan kerana bayi akan sentiasa menyusu terus dari payudara anda.

Namun, jika anda merupakan seorang ibu bekerjaya yang terpaksa meninggalkan bayi dibawah jagaan orang lain, anda memerlukan:

  • Pam susu. Terdapat pelbagai jenis dan jenama susu di pasaran. Pilih yang mana bersesuaian dengan bajet anda. Sebentar lagi kami akan kongsikan jenis dan jenama pam susu yang menjadi pilihan ibu di Malaysia
  • Bekas simpanan susu perahan. Anda boleh memilih untuk menyimpan dalam plastik zip lock atau bekas plastik. Boleh juga menyimpan susu perahan dalam botol susu
  • Botol susu. Terdapat pelbagai jenama botol susu di pasaran. Anda juga boleh memilih sama ada nak beli botol susu jenis plastik atau kaca
  • Cooler box & pek ais. Ia akan digunakan untuk membawa pulang susu perahan yang anda pam di pejabat
  • Sterilizer untuk mensterilkan botol susu & pam susu
  • Pemanas susu untuk memanaskan susu perahan

Jangan lupa, anda akan mendapat pelepasan sebanyak RM1000 setahun dari cukai pendapatan untuk pembelian alatan penyusuan. Menarik, kan?

Apakah jenama pam susu yang popular di Malaysia?

Imej via Bidadari

Terdapat 2 jenis pam susu iaitu pam manual & pam elektrik. Pam manual bermakna anda perlu memerah susu menggunakan tangan dan ianya agak meletihkan. Tangan anda akan berasa lenguh.

Manakala pam elektrik merupakan pilihan utama ibu-ibu di Malaysia kerana ianya lebih memudahkan. Cuma letakkan corong di payudara, on suiz dan berehat. Jom kami kongsikan jenama pam susu yang menjadi pilihan utama ibu-ibu di Malaysia:

1. Medela Swing Single Electric Breast Pump

Medela Swing merupakan di antara pam susu paling popular di Malaysia. Ia menggunakan teknologi 2-Phase Expression yang menghasilkan pengepaman yang hampir serupa dengan hisapan seorang bayi. Susu anda akan keluar dengan sangat meriah tanpa rasa sakit.

Saiznya yang kecil menjadikan ianya mudah dibawa ke mana-mana. Jika terputus bekalan elektrik, ianya boleh digunakan dengan kuasa 4 biji bateri saiz AA.

2. Spectra S2 Electric Breast Pump (Hospital Grade)

Ini merupakan pam susu kegemaran kami. Ianya tahan lama, anda tak perlu risau tentang kerosakan. Ianya merupakan pam susu bergred hospital, menjadikannya mempunyai kemampuan untuk menahan penggunaan yang kerap. Sedutannya juga kuat, iaitu kira-kira 300mmHg. Sedutan yang kuat membantu menghasilkan banyak susu perahan.

Istimewanya pam ini, ianya akan bermula dengan mode mengurut payudara anda untuk merangsang penghasilan susu. Kemudian sedutan seperti hisapan bayi akan bermula. Spectra S2 merupakan pam susu terbaik untuk ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu.

3. Spectra M1 Electric Double Breast Pump

Ini merupakan satu lagi pam susu daripada jenama Spectra. Pam ini datang dengan 2 corong. Anda boleh mengepam kedua-dua payudara dalam masa yang sama. Sangat menjimatkan masa. Fungsi letdown mode juga sangat membantu kerana ia menggalakkan penghasilan susu dengan cepat.

Terdapat butang kawalan untuk mengawal kekuatan sedutan. Baterinya juga boleh dicas semula. Seperti jenama Spectra yang lain, pam ini juga sangat tahan lama dan susah untuk rosak.

4. Philips Avent Natural Comfort Double Electric Breast Pump

Pam susu ini datang dengan 2 pam. Jenama Philips Avent sangat terkenal dengan kualiti dan kelesaannya. Istimewanya, pam susu ini mempunyai kusyen urut lembut dengan rasa hangat.

Ia mempunyai mod rangsangan lembut dan 3 tetapan mengepam. Reka bentuknya yang ringan memudahkan ia dibawa ke pejabat.

5. Malish Ilaria Double Electric Breast Pump

Pam susu ini juga datang dengan dua pam. Pam susu ini jenis heavy duty dan mampu mengepam dengan kerap dan lama. Bunyinya sangat senyap. Tahap sedutan boleh dilaraskan pada setiap pam untuk keselesaan. Ia datang dengan skrin LCD untuk memudahkan anda melihat setting pam tersebut.

Pam ini boleh digunakan dengan kuasa elektrik, bateri dan powerbank. Menarik kan?

6. Lacte Solo Electric Breast Pump

Jika anda mempunyai bajet yang rendah, ini adalah pam susu yang paling sesuai untuk anda. Pam susu ini datang dengan penutup payudara yang lembut dan hisapannya juga bagus dengan 5 langkah kawalan sedutan. Ia mempunyai  paparan LED untuk setting.

Seperti Medela Swing, ia boleh dihidupkan dengan 4 biji bateri saiz AA.

7. Philips Avent Manual Breast Pump SCF330/20

Ini merupakan pam susu manual paling laris di Malaysia kerana membolehkan anda mengepam lebih selesa. Ia datang dengan kusyen yang lembut dan berasa hangat pada kulit. Pam ini membantu anda mendapat susu perahan yang banyak.

8. Pureen Premium Breast Pump

Pam susu ini merupakan antara pam susu manual paling murah dan berkualiti di Malaysia. Ia dibuat daripada bahan getah silikon bebas BPA yang selamat untuk digunakan oleh bayi. Pam susu ini selesa digunakan.

Apakah tips untuk banyakkan susu badan?

Imej via Bidadari

Untuk membanyakkan susu badan, anda boleh amalkan tips berikut:

  • Makan dan minum secukupnya
  • Dapatkan tidur secukupnya
  • Berehat secukupnya
  • Elakkan stress
  • Nikmati perjalanan penyusuan ibu anda

Makanan untuk Tambah Susu Badan Menurut Kajian Sains

Kebanyakan ibu, terutamanya mereka yang baru pertama kali menimang cahaya mata merasakan bahawa mereka tidak mempunyai susu badan yang mencukupi untuk diberikan kepada bayi masing-masing.

Makanan, herba dan ubatan untuk menambah susu badan dipanggil ‘galactogogues.’ Namun harus diingat, galactagogues ini hanyalah bersifat untuk membantu pertambahan susu badan.

Sekiranya susu badan anda kurang terhasil disebabkan pernah menjalani pembedahan payu dara atau masalah hormon, galactagogues mungkin boleh membantu tetapi tidak secara sepenuhnya.

Dalam penulisan artikel Dr. Lisa Marasco yang diterbitkan di Journal of Human Lactation pada tahun 2008, beliau menyenaraikan pemakanan yang boleh menambah susu badan, menurut kajian yang pernah dijalankan sebelum ini.

Imej via Bidadari

Antara senarai makanan tersebut ialah:

1. Diet makanan berkhasiat

Pemilihan makanan untuk menambah susu badan mestilah yang mengandungi serat yang tinggi. Sebagai contoh, beras perang, oat asli (bukan yang segera 3 in 1) dan kekacang.

Makanan tinggi kalsium juga perlu diambil yang relevan untuk penghasilan susu, contohnya bijan, badam dan sayuran hijau berdaun (bayam, sawi, kailan).

Buah-buahan yang dilaporkan membantu meningkatkan susu badan ialah aprikot, kurma, buah tin dan betik.

2. Herba dan rempah ratus untuk tambah susu badan

Jangan terkejut jika rempah ratus yang selalunya digunakan hanya untuk masakan, boleh dijadikan sumber menambahkan susu badan. Antaranya bunga lawang, cengkih, habbatus sauda, ketumbar, jintan dan halba.

Herba lain yang turut membantu menambahkan susu badan ialah alfalfa, bunga thistle, nettle, galega, semanggi merah dan shatavari.

Malah, ada syarikat farmaseutikal yang menghasilkan suplemen penambah susu badan menggunakan bahan-bahan herba semula jadi ini.

3. Ubatan moden

Terdapat 2 jenis ubatan yang biasa diberikan untuk menambahkan susu badan iaitumetoclopramide (Reglan/Maxeran/Maxolon) dan domperidone (Motilium).

Kedua-duanya bertindak dengan meningkatan pengeluaran prolactin iaitu hormon yang berperanan menambah susu badan.

Ubatan tersebut tidak memberikan kesan sampingan yang berbahaya, KECUALI ubatan Reglan yang dilaporkan boleh menyebabkan kesan sampingan ke atas emosi dan masalah kemurungan jika diambil dalam satu tempoh masa yang lama.

Kesimpulan

Persediaan menjadi seorang ibu merupakan perjalanan yang mencabar dan menyeronokkan dalam masa yang sama.

Anak merupakan anugerah yang tidak ternilai yang dikurniakan Ilahi.

Oleh itu, segala persiapan ini perlulah dilakukan dengan cermat bagi menyambut kedatangan si comel itu, dan sebaiknya, si suami turut membantu dan mendalami ilmu-ilmu yang berkaitan bagi memudahkan urusan ini tanpa bersikap lepas tangan.

Rujukan

  1. Jones, E., & Spencer, S. A. (2007). The physiology of lactation. Paediatrics and Child Health17(6), 244-248. (link)
  2. Marasco, L. (2008). Increasing your milk supply with galactogogues. J Hum Lact24(4), 455-6. (link)

Itulah dia perkongsian kami tentang penyusuan susu ibu. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang cara meransang perkembangan bayi, Influenza A H1NI, dan tips pilih botol susu.

 

Artikel ini telah dikemas kini oleh Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.