Tibi atau TB merupakan singkatan kepada Tuberculosis merupakan penyakit berjangkit tertua di dunia yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis.

Ramai yang menggelar tibi sebagai penyakit batuk kering. Sebenarnya, batuk kering merupakan salah satu cabang penyakit tibi di mana bakteria ini menyerang paru-paru mengakibatkan batuk kering terjadi.

Bakteria ini sering menyerang bahagian paru-paru, namun ia juga boleh menyerang bahagian tubuh yang lain seperti otak, jantung, tulang belakang, nodus limfa, kelenjar adrenal dan bahagian usus manusia. Terdapat beberapa tanda penyakit tibi yang boleh dikesan awal namun pengesahan hanya boleh dilakukan melalui ujian di klinik atau hospital.

penyakit tibi

Sumber: Independent

Apakah yang dimaksudkan dengan penyakit tibi?

Tibi merupakan sejenis penyakit berjangkit yang boleh membawa maut jika tidak dirawat. Ia disebabkan oleh kuman mycobacterium bacillus yang ditemui oleh Dr. Robert Koch pada 24 Mac 1882 di Jerman. Kuman ini berwama merah, halus dan hanya boleh dilihat dengan menggunakan mikroskop.

Dianggarkan 90 peratus daripada kuman tibi biasanya menyerang paru-paru atau dikenali sebagai tibi pulmonari. Walau bagaimanapun, melalui peredaran darah, ia juga boleh merosakkan bahagian lain tubuh badan manusia seperti buah pinggang, kulit, mata, kelenjar leher, tulang,otak dan lain-lain.

Bagaimanakah penyakit tibi merebak?

Apabila pesakit tibi pulmonari aktif batuk, bersin atau bercakap, mereka akan mengeluarkan beribu-ribu kuman tibi daripada paru-paru atau kerongkong yang bertebaran di udara dalam bentuk titisan halus.

Sesiapa yang menyedut udara yang mengandungi kuman tibi yang terapung-apung itu seterusnya akan menghadapi risiko dijangkiti. Mereka yang berhubung rapat seperti ahli keluarga dan rakan sekerja pesakit tibi lazimnya paling berisiko untuk menghidapinya.

Siapakah golongan yang berisiko tinggi mendapat jangkitan penyakit tibi?

Di antara golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan penyakit tibi ialah:

  • Penduduk miskin yang tinggal di desa mahupun di bandar-bandar
  • Pembawa HIV
  • Mereka yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi, buah pinggang
  • Pesakit yang mengambil ubat steroid dalam jangka waktu yang lama
  • Warga tua
penyakit tibi

Sumber: Ohcantik

Bagaimanakah cara untuk mendiagnos penyakit tibi?

Berikut adalah cara penyakit tibi didiagnos:

  • Jika mengalami batuk berpanjangan, anda hendaklah melakukan pemeriksaan sapuan kahak di bawah mikroskop bagi mengesan kehadiran kuman tibi. Ujian kahak boleh dilakukan di pusat kesihatan mahupun hospital kerajaan berhampiran secara percuma
  • Pemeriksaan sinaran X dada juga boleh menunjukkan kerosakan yang mungkin berlaku pada paru-paru anda.

Apakah gejala atau simptom penyakit tibi?

Di antara simptom penyakit tibi ialah:

  • Batuk berkahak melebihi dua minggu atau lebih
  • Kahak berdarah
  • Demam berpeluh pada waktu petang atau malam
  • Mengalami sakit dada khususnya apabila batuk atau menghela nafas panjang
  • Hilang selera makan
  • Berat badan menyusut
  • Mudah letih dan lemah badan

Apakah komplikasi penyakit tibi?

Di antara komplikasi yang akan dialami oleh pesakit tibi ialah:

  • Sakit pada tulang dan sendi. Kuman tibi boleh merebak ke kawasan tulang dan sendi menyebabkan kesakitan dan lemah badan.
  • Jangkitan pada otak. Meningitis atau radang pada selaput otak yang diakibatkan oleh kuman tibi amat merbahaya. Ia menyebabkan membran otak membengkak. Pesakit akan menghadapi masalah fungsi otak seperti tidak lagi mengenali orang disekelilingnya malah jangkitan ini boleh membawa maut.
  • Jangkitan pada hati dan buah pinggang. Hati dan buah pinggang antara organ penting dalam tubuh yang berfungsi menapis toksin dan sisa kumuh. FUngsi ini akan terganggu abila kuman tibi menyerang bahagian organ terbabit.
  • Gangguan pada jantung. Selain paru-paru, kuman tibi juga memberi kesan kepada jantung. Fungsi jantung dalam mengepam darah ke seluruh tubuh akan terganggu akibat keradangan.
  • Gangguan pada mata. Mata boleh menglami iritasi atau gatal-gatal selain menjadi merah akibat kuman tibi. bahagian retina juga boleh menjadi bengkak dan menyakitkan.
  • Kuman menjadi kebal terhadap ubat.
penyakit tibi

Sumber: Tabloidbintang

 

Apakah langkah untuk mencegah penyakit tibi?

Penyakit tibi boleh dicegah dengan cara berikut:

  • Bayi-bayi yang baru lahir mestilah diberikan suntikan imunisasi BCG
  • Dapatkan suntikan dos kedua sekiranya tiada bekas parut dan pada umur 12 tahun
  • BCG diberikan percuma di semua hospital serta klinik kesihatan kerajaan untuk mereka yang berumur 20 tahun ke bawah
  • Sekiranya batuk berterusan lebih daripada dua minggu, segeralah berjumpa doktor untuk menguji kahak anda
  • Ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang tinggal sebumbung dengan pesakit tibi dalam tempoh yang lama hendaklah tampil menjalani pemeriksaan

Bagaimanakah penyakit tibi dirawat?

Rawatan untuk penyakit tibi biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan walaupun pesakit berasa sihat dalam tempoh berkenaan. Pada dua bulan pertama, rawatan harian akan diberikan, biasanya mengandungi sebanyak empat jenis ubat makan yang disaksikan oleh pengamal perubatan atau orang lain yang dilantik sebagai penyelia.

Peringkat rawatan seterusnya dilakukan dua kali seminggu selama empat bulan, biasanya melibatkan tiga jenis ubat, juga diambil di bawah penyeliaan. Jika rawatan ini diikuti secara tetap, pesakit berkenaan boleh disembuhkan.  

Namun, terdapat pesakit yang culas dalam mengambil ubat menyebabkan kuman menjadi kebal terhadap ubat. Akibatnya, ubatan lebih kuat harus digunakan menyebabkan kesan sampingan lebih ke atas pesakit.

Tips untuk pesakit tibi supaya cepat sembuh dan mengelakkan jangkitan semula

  • Sekiranya anda pesakit tibi yang sedang menjalani rawatan, anda hendaklah mendapatkan rawatan berterusan serta mematuhinya dengan sempurna sehinggalah semuanya selesai
  • Rehat secukupnya
  • Makan makanan seimbang
  • Pastikan badan anda selalu kuat dan sihat supaya dapat menentang kuman-kuman tibi pada sepanjang masa
  • Jangan biarkan diri dikuasai oleh rokok kerana ia hanya memburukkan keadaan
  • Banyakkan bersenam
  • Buka pintu dan tingkap pada waktu siang untuk peredaran udara yang sempurna bagi mencegah kuman tibi merebak
  • Biarkan cahaya matahari memasuki rumah anda dengan banyaknya kerana ia berupaya membunuh kuman tibi yang terapung-apung di udara dan berselindung di sudut-sudut rumah
  • Elakkan daripada tinggal bersesak-sesak di dalam rumah yang sempit
penyakit tibi

Sumber: Utusan

Itulah dia info tentang penyakit tibi yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga pasti akan sukakan perkongsian kami tentang tanda gastrik, punca dan tanda penyakit batu karang dan difteria.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.