Anda pernah dengar tentang penyakit Sistemik lupus eritematosus (SLE)? Mungkin kali pertama anda mendengar tentang penyakit ini adalah apabila mengetahui bahawa penyakit ini dihidap oleh penyanyi popular Selena Gomez.

Lupus adalah satu perkataan Latin yang membawa maksud serigala. Penyakit Lupus mendapat namanya apabila seorang doktor Perancis yang mula-mula menemui penyakit ini dan merawat pesakit tersebut mengibaratkan tompok-tompok merah yang timbul pada muka pesakit berkenaan seperti kesan daripada gigitan serigala.

Untuk pengetahuan anda, Sistemik lupus eritematosus (SLE) atau nama pendeknya lupus adalah sejenis penyakit kronik autoimmune di mana pesakit akan mengalami keadaan tidak normal iaitu sistem daya tahan melawan penyakit dan antibodinya  menyerang tisu badan pesakit itu sendiri.

Tindakbalas negatif di antara antibodi dan tisu badan yang berlaku kebiasananya akan memberikan kesan buruk kepada beberapa bahagian sistem tubuh seperti:

  • Kulit
  • Jantung
  • Sendi
  • Buah pinggang
  • Paru-paru
  • Sistem saraf
penyakit lupus

Sumber: Youtube

Apakah 3 jenis Penyakit SLE?

Dari segi perubatan, terdapat 3 jenis penyakit SLE iaitu:

  • Sistemik lupus eritematosus (SLE) iaitu peringkat pertama penyakit SLE. Ia biasanya berlaku kepada pesakit dalam lingkungan umur di antara 15 dan 45 tahun. Pesakit yang mengidap SLE biasanya mempunyai gejala sedarhana dan tidak terlalu serius. Gejala bagi penyakit SLE boleh dikawal dengan rawatan yang konsisten.
  • Diskoid lupus eritematosus (DLE) merupakan peringkat kedua penyakit lupus di mana pesakit yang mengalaminya akan mengalami penyakit kulit yang kronik dengan simptom-simptom berikut:
  1. Tompok-tompok merah seperti ruam pada kulit muka, kulit kepala, bahagian badan, kaki, tangan dan seluruh badan.
  2. Kulit yang mengalami tompok-tompok merah tadi akan mula menjadi tebal dan bersisik.
  3. Ruam dan tompok merah berkenaan boleh berlarutan sehingga beberapa hari atau boleh juga berlarutan sehingga bertahun-tahun.
  4. Setelah pulih, peluang untuk ruam dan tompok-tompok merah untuk berlaku semula adalah sangat tinggi.
  • Lupus Neonatal ialah jenis penyakit Lupus yang ketiga. Ia adalah keadaan dimana seorang bayi yang dilahirkan oleh ibu yang mengalami SLE dijangkiti oleh penyakit Lupus semasa kelahirannya. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh keharidan auto-antibodi di dalam darah ibu yang dipanggil anti-Ro (SSA) dan anti-La (SSB). Bayi yang mengidap Lupus Neonatal akan mengalami simptom seperti  radang kulit, masalah hati, dan masalah kekurangan darah. Masalah jantung juga mungkin dialami walau pun peratusannya tidak begitu tinggi.

Apakah punca SLE?

Kajian membuktikan bahawa terdapat beberapa faktor yang menjadi punca seseorang mendapat penyakit SLE. Di antara punca yang telah dikenal-pasti ialah:

  • Faktor genetik. Penyakit SLE berlaku disebabkan oleh faktor genetik. Mereka yang mempunyai genetik tersebut mempunyai risiko untuk mendapat penyakit SLE. Apa yang lebih unik, kehadiran genetik tersebut juga akan menetukan organ atau tisu badan mana yang akan terjejas dan tahap keseriusan kerosakan yang berlaku.
  • Alam sekitar. Pendedahan kepada alam sekitar yang tercemar juga telah dikenal pasti sebagai punca SLE.
  • Hormon. Ketidakstabilan hormon dalam badan boleh menjadi faktor berlakunya penyakit SLE.
  • Cahaya matahari, Pendedahan kepada cahaya matahari yang terlampau panas dan terlalu kerap tanpa memakai pelindung uv juga merupakan di antara punca penyakit SLE.
  • Tekanan emosi. Tahukah anda, tekanan emosi yang keterlaluan untuk jangkamasa yang panjang juga boleh menjadi punca penyakit SLE.
  • Ubat-ubatan. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan ubat-ubat tertentu juga boleh menjadi punca penyakit SLE.
  • Kuman dan virus. Jangkitan kuman dan virus juga telah dikenal pasti sebagai salah satu punca penyakit SLE.
penyakit lupus

Sumber: Sabah

Apakah gejala SLE?

Setiap pesakit SLE mempunyai gejala yang berbeza-beza di antara satu sama lain dengan tahap keseriusan yang berbeza daripada tahap biasa, sederhana, dan serius. Malah apa yang menarik, simptom yang dialami juga boleh datang dan pergi, tidak semestinya dialami setiap masa. Walau bagaimana pun, di antara simptom dan gejala SLE yang selalu dialami oleh pesakitnya ialah:

  • Penyakit arthritis iaitu bengkak dan sakit pada sendi
  • Demam yang gagal diketahui puncanya sama ada jangkitan virus atau bakteria
  • Keletihan yang melampau
  • Tompok-tompok merah atau ruam seperti bentuk kupu-kupu pada wajah, terutamanya di bahagian pipi dan hidung
  • Ruam atau tompok-tompok merah pada muka, telinga, kepala, lengan, tangan, bahu dan dada
  • Fotosensitif. Pesakit SLE akan mengalami keadaan fotosensitif iaitu sensitif kepada cahaya matahari.  Ruam dan tompok-tompok merah yang dialami akan menjadi lebih teruk jika dibiarkan terdedah kepada cahaya matahari
  • Ulser yang berpanjangan. Pesakit SLE akan mengalami ulser di mulut dan hidung yang berlarutan lebih daripada sebulan
  • Masalah keguguran rambut. Pesakit SLE akan mengalami masalah keguguran rambut secara berkelompok atau di sekeliling hair line
  • Sawan. Pesakit SLE mempunyai risiko yang tinggi untuk diserang sawan
  • Strok. Strok merupakan salah satu gejala SLE yang biasa berlaku
  • Gangguan mental. Pesakit SLE juga lebih mudah untuk mendapat masalah gangguan mental
  • Thrombosis. Risiko untuk mendapat darah beku
  • Keguguran. Pesakit SLE juga akan mengalami keguguran bayi
  • Kehadiran darah atau protin dalam air kencing. Darah atau protin dalam air kencing pesakit SLE menunjukkan berlakunya gangguan pada sistem buah pinggang
  • Bilangan sel darah putih atau sel darah merah yang rendah

Apakah komplikasi SLE?

Penyakit SLE boleh memberikan pelbagai komplikasi kepada pengidapnya. Di antara komplikasi yang paling serius ialah SLE boleh menjejaskan organ-organ seperti berikut:

  • Buah pinggang

Penyakit SLE boleh menyebabkan berlakunya Nephritis atau radang buah pinggang  yang menyebabkan buah pinggang  tidak mampu berfungsi dengan baik untuk menyingkirkan sisa toksin dari air kencing. Kebiasannya pesakit yang mengalami Nephritis tidak mengalami sebarang kesakitan namun akan mengalami bengkak-bengkak pada kaki. Nepritis perlu dirawat dengan segera bagi mengelakkan kerosakan yang lebih teruk kepada buah pinggang.

  • Paru-paru

Penyakit SLE juga boleh menjejaskan paru-paru lalu menyebabkan berlakunya pleuritis iaitu radang pada lapisan paru-paru. Keradangan pada lapisan paru-paru akan menyebabkan pesakit mengalami sakit dada atau sakit dada setiap kali menarik nafas, dan pnemonia yang disebabkan oleh kehadiran kuman dalam paru-paru.

  • Sistem saraf

Di antara komplikasi SLE yang paling ditakuti ialah ianya boleh menjejaskan otak atau saraf pesakit. Pesakit yang mengalami gangguan pada sistem saraf atau otak akan mengalami sakit kepala, pening, pelupa, penglihatan yang semakin kabur, sawan, strok, atau perubahan drastik pada kelakuan.

  • Saluran darah

Pesakit SLE boleh mengalami komplikasi pada saluran darah lalu mengakibatkan berlakunya radang pada  saluran darah  atau istilah perubatannya vaskulitis. Radang pada saluran darah akan menyebabkan berlakunya gangguan pada aliran darah ke seluruh tubuh. Vaskulitis yang sederhana mungkin tidak memerlukan rawatan,tetapu vaskulitis pada tahap yang serius memerlukan rawatan segera.

  • Darah

Pesakit SLE juga akan mengalami kompolikasi pada darah dan mengalami masalah kekurangan darah, kekurangan bilangan sel darah putih atau kekurangan bilangan platelet. Masalah darah cepat beku atau thrombosis juga sangat sinonim dengan pesakit SLE.

  • Jantung

Pesakit SLE juga boleh mengerang jantung lalu menyebabkan pesakitnya mengalami sakit jantung disebabkan berlakunya radang pada tiga lapisan jantung dan juga penyakit Arteriosclerosis iaitu pembuluh darah yang keras.

penyakit lupus

Sumber: Hellosehat

Bagaimanakah SLE boleh dirawat?

Rawatan bagi penyakit SLE  bergantung kepada gejala dan tahap penyakit yang dialami oleh pesakit tersebut. Oleh kerana setiap pesakit SLE mempunyai gejala yang berbeza, maka rawatan yang diberikan juga adalah berbeza. Rawatan yang diberikan adalah untuk menghalang penyakit SLE daripada menjadi semakin serius dan mengelakkan berlakunya serangan ke atas organ dan mengakibatkan sebarang kerosakan.

Itulah dia info tentang SLE yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga pasti akan sukakan perkongsian kami mengenai tanda sakit jantung dan panduan kira BMI

Rujukan: Lupusmalaysia

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.