Denggi adalah salah satu penyakit bawaan virus yang makin tersebar di seluruh dunia, biarpun terdapat peningkatan usaha untuk membendung atau mencegah penyebaran penyakit ini.

Penyakit ini berpunca daripada virus denggi (DENV 1-4), yang berada dalam manusia sebagai hos setelah dibawa oleh nyamuk Aedes.

Antara faktor penyebaran virus denggi termasuklah kekebalan hos kepada virus, kapasiti nyamuk sebagai vektor, peredaran virus, cuaca atau iklim, kapasiti kawalan denggi dan pergerakan penduduk.

Laporan gejala penyakit denggi dari bandar ke pinggir bandar atau penempatan semula telah diperhatikan dalam beberapa dekad kebelakangan ini.

Kes Denggi di Malaysia

Di Malaysia, kesemua empat jenis virus denggi wujud bersama di negara ini dengan setiap DENV-1, DENV-2 dan DENV-3 menjadi virus utama dalam tempoh yang berlainan, sementara DENV-4 mempunyai pengaruh yang kurang dalam negara.

Kajian terbaru menunjukkan bahawa wabak denggi di Malaysia pada 2013 dan 2014 adalah disebabkan oleh perubahan dalam jenis virus DENV, bermula pada 4 hingga 6 bulan sebelum setiap wabak dikesan.

"

Pada tahun 2011, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan Pelan Strategik Denggi Negara (NDSP) untuk meningkatkan usaha kawalan denggi. NDSP ini menggunakan strategi untuk meningkatkan pengawasan denggi, kawalan vektor, kes dan pengurusan wabak, pemantauan penduduk dan penyelidikan dalam alat dan strategi kawalan denggi yang inovatif.

Hasilnya, trend penurunan kadar insiden denggi berjaya diperhatikan pada tahun 2011 dan 2012. Walau bagaimanapun, negara mengalami lonjakan kadar insiden denggi pada tahun 2013.

Kajian oleh Ng et al. pada tahun 2015 mencadangkan bahawa wabak denggi pada tahun 2013 di Malaysia mungkin disebabkan oleh penukaran kemandirian virus yang  utama denggi dari DENV-3 dan DENV-4 kepada DENV-2.

Usaha Mengawal Wabak Denggi

Langkah-langkah berkesan untuk membasmi vektor atau kawalan nyamuk adalah kritikal untuk mencapai dan mengekalkan pengurangan kes-kes kesihatan yang boleh dikaitkan dengan denggi.

Kawalan vektor bertujuan mengganggu penghantaran denggi dari vektor ke hos untuk mengurangkan jangkitan virus denggi dan seterusnya mencegah wabak.

Namun begitu, kaedah kawalan vector ini memerlukan modal yang tinggi dan tenaga kerja yang cekap.

Hal ini demikian kerana kos untuk kawalan denggi boleh mencecah sekitar 42-59% daripada jumlah beban ekonomi.

Sistem amaran awal yang berkesan akan dapat meningkatkan kesediaan wabak dan tindak balas yang merupakan elemen penting dalam perancangan intervensi awal dan peruntukan sumber.

Amaran awal wabak denggi bukan sahaja dapat meningkatkan kawalan denggi tetapi juga mengurangkan beban kesihatan dan ekonomi denggi dalam kalangan penduduk di sesebuah negara.

Kes denggi dilaporkan meruncing terutamanya di negara-negara membangun dengan sumber penjagaan kesihatan yang terhad.

Sebahagian besar kajian di Malaysia menunjukkan korelasi atau perhubungan yang bererti antara wabak denggi, hujan, dan suhu, dengan tempoh lag antara 7 hingga 51 hari.

Istilah lag ini biasanya berfungsi sebagai tempoh sisihan masa untuk kawalan vektor.

Berpandukan masa yang optimum untuk amaran awal dan disesuaikan dengan faktor seperti kapasiti kawalan vektor dan keberkesanan wabak pengurusan di kawasan kajian masing-masing, satu kajian di Singapura telah mencadangkan bahawa tempoh masa 3 bulan adalah masa yang mencukupi sebagai tempoh lag kawalan ventor yang berkesan.

Pengaruh Perubahan Iklim

Imej via Bidadari

Selain iklim, dinamik sebaran wabak denggi dalam satu-satu masa dipengaruhi oleh pelbagai faktor kompleks seperti jenis virus DENV, imuniti kawanan, ketumpatan populasi, dasar dan kapasiti kawalan denggi, pengurusan kawalan wabak , dan komitmen masyarakat untuk penyingkiran larva (jentik-jentik nyamuk) di kawasan kediaman.

Sementara itu, kajian oleh Hii et al. pada tahun 2016 menyimpulkan bahawa iklim merupakan pemboleh ubah yang paling mempengaruhi sebaran penyakit denggi melalui tidak balas langsung kesan ke atas biologi nyamuk dan tempoh keberadaan virus DENV dalam nyamuk.

Denggi telah menjadi endemik di Malaysia sejak tahun 1970-an, dengan peningkatan intensiti dan kematangan wabak dalam beberapa dekad kebelakangan ini.

Kadar insiden kebangsaan (IR) bagi penularan wabak denggi telah meningkat daripada 32 kes bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2000 kepada 361 kes pada tahun 2014, walaupun trend sebaliknya sementara diperhatikan pada tahun 2011 dan 2012 yang mencatatkan sedikit penurunan.

Pada masa yang sama, kadar kes kematian didapati menurun dari 0.6% pada tahun 2000 kepada 0.2% pada tahun 2014.

Pada awal 2015, kes denggi mencapai atau melebihi bilangan kes yang dilaporkan semasa tempoh wabak pada tahun 2014.

Sehingga kini, tiada sistem amaran awal berasaskan iklim atau amaran wabak telah ditubuhkan untuk pengawasan denggi di Malaysia.

Kekurangan data dan pengetahuan serta sokongan yang tidak mencukupi dari pembuat dasar untuk kegunaan sistem seperti itu, boleh menjejaskan pembangunan teknologi dan inovasi untuk mengawal denggi.

Para penyelidik mungkin terikat dengan proses permohonan yang panjang untuk mendapatkan data dari agensi yang berkaitan.

Selain itu, kebolehpercayaan dan kesahihan data yang ada juga merupakan satu cabaran untuk dibuktikan oleh para penyelidik.

Walau bagaimanapun, kualiti data mengenai denggi semakin meningkat dan bertambah baik sejak tahun 2009. Pihak berkuasa terutamanya yang berkaitan dengan bidang kesihatan boleh menggalakkan kajian mengenai pengaruh iklim dan penyakit dengan mengumpulkan data kes denggi tersedia secara terbuka untuk tujuan penyelidikan dan  menyokong pembangunan dan integrasi sistem ramalan denggi berasaskan iklim.

Kesimpulan

Data iklim adalah data bebas dan boleh didapati secara terbuka.

Memandangkan hubungan kedua-dua faktor antara iklim dan denggi ini dapat didokumentasikan dengan baik, iklim boleh menjadi alat yang mudah dan berkesan untuk meramalkan wabak terutamanya dalam kalangan negara yang sedang membangun atau mengalami kekangan sumber.

Sokongan dari institusi akademik dan kesihatan dalam menyediakan pengetahuan dan kemahiran teknikal yang lebih maju untuk ramalan ramalan penyakit seperti sumber pembiayaan akan meningkatkan keupayaan penyelidikan dan minat dalam bidang ini.

Di samping itu, pemasukan pemodelan penyakit canggih sebagai modul kursus universiti untuk kesihatan perubatan, pelajar dan penyelidik akan membantu mengekalkan usaha penyelidikan.

Rujukan

Hii, Y. L., Zaki, R. A., Aghamohammadi, N., & Rocklöv, J. (2016). Research on climate and dengue in Malaysia: a systematic review. Current environmental health reports, 3(1), 81-90.

Ng, L. C., Koo, C., Mudin, R. N. B., Amin, F. M., Lee, K. S., & Kheong, C. C. (2015). 2013 dengue outbreaks in Singapore and Malaysia caused by different viral strains. The American journal of tropical medicine and hygiene, 92(6), 1150-1155.

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.