Ramai yang berasa hairan mengapa makanan atau ubatan yang berlabel ‘tanpa gula’  tetap mempunyai rasa manis.

Bagaimana hal ini boleh berlaku? Adakah label pada makanan dan ubatan tersebut hanya satu penipuan?

Sebelum anda membuat andaian, saya akan kongsikan beberapa fakta dan jenis-jenis bahan pengganti gula yang sering digunakan dalam industri makanan mahupun ubatan.

Imej via Schlotzskys

Jika sesuatu produk dilabelkan sebagai ‘tanpa gula’ hal ini bermaksud, ia tidak mengandungi gula yang sering anda gunakan dalam masakan di rumah iaitu sukrosa.

Akan tetapi, sukrosa digantikan dengan bahan pemanis lain seperti  gula alkohol di sebabkan oleh kelebihan yang ada pada bahan ini yang akan saya kongsikan.

Apa itu Gula Alkohol?

Gula alkohol (sugar alcohols) adalah sejenis karbohidrat manis yang boleh didapati secara semulajadi pada sesetengah buah-buahan dan sayuran (boleh juga diproses).

Seperti namanya, ia merupakan hibrid di antara molekul gula dan molekul alkohol.Usah risau kerana alkohol yang dimaksudkan bukanlah etanol, sejenis alkohol yang sering digunakan di dalam minuman beralkohol yang boleh menyebabkan khayal.

Jenis-jenis Gula Alkohol

Berikut adalah jenis-jenis gula alkohol yang sering digunakan di dalam pelbagai produk makanan dan ubatan anda;

1. Xylitol

Jenis pengganti gula ini merupakan yang paling banyak dikaji oleh para Saintis.Ia adalah bahan yang biasa digunakan di dalam gula-gula getah dan produk penjagaan oral seperti ubat gigi.

Tahap kemanisannya lebih kurang sama dengan gula biasa tetapi mempunyai 40% kurang kalori.

2. Erythritol

Erythritol dihasilkan dengan cara penapaian glukosa di dalam tepung jagung.Ia mempunyai 70% kemanisan gula biasa tetapi hanya mempunyai 5% kalori sahaja.

Tidak seperti gula alkohol lain, erythritol tidak menyebabkan kesan kepada sistem penghadaman kerana ia tidak sampai ke usus besar dalam jumlah yang besar.Ia hanya diserap ke dalam saluran darah dan dikeluarkan melalui air kencing.

3. Sorbitol

Sorbitol mempunyai rasa yang lembut dan 60% manis seperti gula dengan lebih kurang 60% kalori.

Sorbitol sering digunakan di dalam makanan dan minuman ‘tanpa gula’ termasuklah gula-gula.

Memberi sedikit sahaja kesan terhadap gula dan insulin dalam darahAkan tetapi boleh menyebabkan gangguan penghadaman pada sesetengah orang.

4. Maltilol

Maltilol diproses daripada maltosa dan mempunyai rasa yang hampir sama dengan gula biasa.Ia 90% manis seperti gula dengan separuh kalori lebih rendah berbanding gula biasa.

Jika anda mempunyai penyakit diabetes, berhati-hati dengan pengambilan maltilol kerana ia boleh menyebabkan ‘blood sugar spikes’.

Mengapa menggunakan Gula Alkohol?

Terdapat beberapa kebaikan gula alkohol yang menyebabkan ia digunakan dalam banyak produk makanan, ubatan serta penjagaan oral, antaranya seperti berikut:

SUGAR
Imej via Verywellfit.com

1. Indeks glisemik yang rendah

‘glycemic index’ (GI) merupakan ukuran berapa cepatkah sesuatu makanan meningkatkan tahap gula dalam darah.

Semakin rendah (GI), semakin baik untuk kesihatan anda.Kebanyakan gula alkohol kurang memberi kesan terhadap tahap gula dalam darah berbanding gula biasa.

Erythritol dan mannitol pula mempunyai bacaan indeks glisemik sifar.Hanya maltilol yang mempunyai indeks glisemik yang sedikit tinggi namun begitu, masih lebih rendah berbanding gula biasa.

Gula alkohol amat sesuai dengan pesakit kencing manis untuk diganti dengan gula biasa kecuali maltilol.

2. Baik untuk Kesihatan Gigi

Pengambilan gula berlebihan boleh menyebabkan pereputan gigi.Gula di dalam mulut menjadi makanan kepada bakteria. Bakteria merembeskan asid dan menghakis lapisan enamel gigi.

Sebaliknya, gula alkohol tidak menyebabkan pereputan gigi berbanding gula biasa.Sebagai contoh, bakteria tidak mampu menguraikan xylitol dan menyebabkan pertumbuhan bakteria ini terhalang.

3. Prebiotik

Prebiotik adalah sebatian di dalam makanan yang menggalakkan pertumbuhan dan aktiviti mikroorganisma baik di dalam saluran gastrointestinal.

Gula alkohol bertindak sebagai prebiotik yang boleh menjadi makanan kepada bakteria baik yang tinggal di dalam sistem penghadaman anda.Di sebalik kebaikan penggunaan gula alkohol di dalam banyak produk di pasaran, ia juga mempunyai beberapa kelemahan.

Bagi sesetengah orang, pengambilan gula alkohol yang banyak adalah kurang sesuai kerana ia boleh menyebabkan gangguan sistem penghadaman.

Perkara ini mudah terjadi kepada individu yang mempunyai masalah ‘Irritable bowel Syndrom’ (IBS).

Hal ini disebabkan oleh sifat gula alkohol sebagai serat yang sebahagian besar disalurkan terus kepada usus besar dan menjadi makanan kepada mikroorganisma di dalam organ tersebut.

Akibatnya, ia menyebabkan kembung perut, angin dan cirit-birit bagi sesetengah individu.Sebaik-baiknya, elakkan gula alkohol sekiranya anda sensitif terhadapnya!

Selain itu, xylitol pula adalah toksik kepada anjing. Sistem badan anjing tidak mampu mengenali bahan ini dan akan menyebabkan pengeluaran insulin yang tinggi.

Perkara ini akan menyebabkan hipoglisemia ataukandungan gula dalam darah yang rendah kepada anjing yang diberikan xylitol. Awas, jangan berikan makanan yang mengandungi xylitol kepada anjing anda!

Sekarang anda sudah faham mengapa makanan, minuman mahupun ubatan masih mempunyai rasa manis walaupun dilabel sebagai ‘tanpa gula’.

Memang benar gula alkohol mempunyai kandungan kalori lebih rendah berbanding gula biasa.

Namun, bukankah lebih baik sekiranya anda kurangkan sahaja pengambilan minuman manis dan makanan terproses yang lain?Amalkan pemakanan yang sihat setiap hari dan anda boleh mencegah pelbagai penyakit dengan izin Yang Esa.

Rujukan

Penulis: Meedanadira

Graduan Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang bioteknologi tumbuhan. Sedang berkhidmat dalam bidang farmasi dan mempunyai minat yang mendalam dalam bidang biosains dan biomedik. Saya juga percaya tiada pengakhiran dalam menuntut ilmu selagi kita bernyawa.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.