Jom ketahui info pengeluaran kwsp untuk pendidikan.

Bagi anda yang bekerja, pastinya anda tahu bahawa duit KWSP anda yang berada dalam akaun 2 boleh dikeluarkan untuk tujuan peribadi. Maksudnya, anda tidak lagi perlu menunggu sehingga berumur 50 tahun untuk menikmati duit KWSP anda.

Hari ini kami akan ceritakan dengan lebih lanjut tentang proses pengeluaran KWSP untuk pendidikan sebagai panduan dan rujukan anda.

pengeluaran kwsp untuk pendidikan
Sumber: Kosmo

Apakah jenis pengeluaran yang boleh dilakukan dari akaun KWSP anda? Menurut laman web Kumpulan Simpanan Wang Pekerja, berikut adalah beberapa jenis pengeluaran wang KSWP yang boleh anda lakukan:

1. Siapa yang boleh memohon pengeluaran KWSP untuk pendidikan?

Pengeluaran KWSP untuk tujuan pendidikan ini boleh dilakukan untuk membiayai yuran pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT) di dalam atau di luar negara. Pengeluaran ini meliputi pengajian oleh:

  • Ahli KWSP
  • Anak kandung ahli KWSP
  • Anak tiri ahli KWSP
  • Anak angkat ahli KWSP

2. Siapa yang layak untuk memohon pengeluaran KWSP untuk pendidikan?

Sekiranya anda membuat permohonan pengeluaran KWSP untuk tujuan pendidikan, pastikan anda memenuhi syarat kelayakan yang telah ditetapkan oleh KWSP iaitu:

  • Ahli bertaraf warganegara Malaysia atau bukan Warganegara Malaysia.
  • Ahli belum mencapai umur 55 pada tarikh permohonan pengeluaran KWSP untuk pendidikan dibuat.
  • Ahli mempunyai baki simpanan dalam Akaun 2 KWSP.
pengeluaran kwsp untuk pendidikan
Sumber: Flickr

3. Apakah syarat sah permohonan pengeluaran KWSP untuk pendidikan?

Sekiranya anda telah memenuhi syarat kelayakan yang kami nyatakan di atas, langkah yang seterusnya ialah bagi anda memastikan bahawa anda memenuhi semua syarat di bawah:

  • Program pengajian yang dibenarkan. Syarat pertama permohonan pengeluaran KWSP untuk tujuan pendidikan ialah ahli atau anak ahli telah mendaftar untuk pengajian akademik, professional, kemahiran, atau vokasional di IPT yang dibenarkan.
  • Peringkat pengajian yang dibenarkan. Syarat yang kedua ialah ahli atau anak ahli mestilah mengikuti pengajian sama ada di peringkat Diploma, Diploma Lanjutan, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana, Doktor Falsafah atau yang setara dengannya. Permohonan pengeluaran KWSP bagi peringkat pengajian yang lain tidak akan diluluskan.
  • Kategori pengeluaran. Terdapat 3 jenis kategori pengeluaran KWSP untuk tujuan pendidikan iaitu pengeluaran untuk diri sendiri bagi membiayai yuran pengajian atau menyelesaikan baki pinjaman pendidikan, pengeluaran bersama suami atau isteri bagi membiayai yuran pengajian anak, dan pengeluaran bersama suami atau isteri bagi menyelesaikan baki pinjaman pendidikan anak.
  • Kategori Pengajian. Syarat seterusnya bagi pengeluaran KWSP bagi tujuan pendidikan ialah berkaitan dengan kategori pengajian. Bagi Institut Pengajian Tinggi dalam negara, pengeluaran boleh dilakukan bagi pengajian secara sepenuh masa, separuh masa, program jarak jauh dan francais yang diluluskan. Namun bagi Institut Pengajian Tinggi luar negara, pengeluaran hanya boleh dilakukan untuk pengajian sepenuh masa sahaja.
  • Yuran Pengajian. Pengeluaran KWSP bagi tujuan pendidikan boleh dibuat bagi semua jenis bayaran yang dikenakan oleh Institut Pengajian Tinggi termasuk yuran hostel dan kos tiket penerbangan sehala ketika mendaftar di tahun pertama.
  • Kekerapan Pengeluaran. Syarat terakhir ialah berkenaan kekerapan pengeluaran. Permohonan pengeluaran KWSP bagi tujuan pendidikan boleh dilakukan pada setiap semester atau setiap tahun bagi ahli dan, atau bagi setiap seorang anak. Sekiranya permohonan adalah bagi membayar yuran tertunggak, ia perlu dimohon dalam tempoh masa 3 tahun dari tarikh tamat pengajian atau permohonan anda akan ditolak.

4. Apakah dokumen yang diperlukan?

Berikut adalah dokumen yang anda perlu hantar bersama permohonan:

  • Borang Pengeluaran KWSP 9H (AHL)
  • Salinan dokumen pengeluaran diri sekiranya pemohon bukan warganegara Malaysia.
  • Maklumat Akaun Bank. Cadangan kami, anda boleh bawa bersama buku akaun bank, penyata akaun bank atau salinan akaun bank semasa membuat permohonan sebagai bukti bahawa akaun anda sah dan masih aktif.
  • Borang KWSP 3 (pindaan) bagi kes dimana pengecaman cap ibu jari gagal di kaunter atau permohonan dilakukan melalui pos.

Selain dokumen yang kami nyatakan di atas, pihak KWSP juga memerlukan dokumen sokongan yang lain. Anda boleh rujuk Senarai Semak Dokumen Pengeluaran Pendidikan untuk semua dokumen yang diperlukan di laman web KWSP dan kaunter. Adalah dimaklumkan juga bahawa pihak KWSP berhak meminta apa-apa dokumen tambahan yang dirasakan perlu. Pihak KWSP juga mempunyai hak untuk menolak permohonan yang tidak lengkap dan tidak memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

pengeluaran kwsp untuk pendidikan
Sumber: Fvniaga

5. Bagaimakan bayaran akan dibuat?

Sekiranya permohonan pengeluaran KWSP untuk pendidikan anda berjaya, bayaran akan dilakukan dengan cara berikut:

Bayaran Dalam Malaysia. Untuk kes ini, bayaran pengeluaran akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank ahli dengan syarat :

  • Ahli mempunyai akaun bank yang aktif dengan panel KWSP yang dilantik; dan
  • Nombor pengenalan diri ahli adalah sama dengan rekod bank yang diberikan semasa permohonan
  • Bayaran akan dibuat dalam matawang Ringgit Malaysia (RM)
  • Sekiranya bayaran tidak berjaya dikreditkan ke dalam akaun bank ahli, bayaran akan dibuat melalui cek jurubank

Bagi bayaran Luar Malaysia, bayaran adalah melalui Draf Bank Asing. Jenis matawang adalah seperti berikut :

  • Matawang asing mengikut pilihan ahli di dalam borang permohonan dengan syarat matawang tersebut ada disenaraikan oleh KWSP bagi tujuan bayaran secara Draf Bank Asing; atau
  • Dalam matawang US Dollar sekiranya jenis matawang yang dipohon oleh ahli dalam borang permohonan tiada dalam senarai KWSP bagi tujuan bayaran secara Draf Bank Asing

Itulah dia perkongsian kami tentang pengeluaran KWSP untuk pendidikan. Semoga bermanfaat. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang ranking terkini universiti di Malaysia.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.