“Lebih daripada 2 juta kematian setiap tahun boleh dikaitkan dengan kesan pencemaran udara. Lebih separuh daripada fenomena ini dialami oleh populasi negara-negara membangun.

Serangan jantung, penyakit pernafasan, dan kanser paru-paru mempunyai risiko yang lebih tinggi dalam kalangan masyarakat yang menghirup udara kotor berbanding dengan kumpulan yang sepadan dalam persekitaran yang lebih bersih.”(WHO, 2006).

 

Pemandangan jerebu di Shah Alam (Sumber: Mabahwi et al. 2015)

Ancaman Pencemaran Udara

Pencemaran udara bukan sekadar masalah estetika yang menjejaskan pemandangan dan  persekitaran, tetapi juga boleh mengakibatkan masalah kesihatan. Beratus-ratus kematian telah dikaitkan secara langsung dengan kualiti udara yang buruk di bandar-bandar.

Pernah dilaporkan, pencemaran udara yang membahayakan kesihatan manusia terjadi di Donora, Pennsylvania, Amerika Syarikat pada bulan Oktober 1948.

Pencemaran udara di kawasan itu berasal dari bahan cemar dari loji jana kuasa zink dan kilang-kilang keluli yang terperangkap dan membentuk asap tebal. Dalam tempoh masa lima hari, 17 orang telah mati dan 5910 orang menjadi sakit.

WHO menganggarkan bahawa 2 juta kanak-kanak di bawah umur 5 tahun mati setiap tahun akibat daripada penyakit pernafasan akut yang disebabkan oleh pencemaran udara. Pencemaran udara menyebabkan kesan kesihatan melalui penyedutan, atau penyerapan langsung bahan pencemar melalui kulit atau pencemaran daripada makanan dan air.

Punca Pencemaran Udara

Antara penyebab pencemaran udara ini adalah pembakaran terbuka, bilangan kenderaan bermotor yang bertambah dan loji perindustrian yang tidak terkawal. Pengedaran bahan pencemar di udara dipengaruhi oleh faktor angin dan geografi.

Lima bahan pencemar udara utama yang disenaraikan oleh Jabatan Alam Sekitar Malaysia adalah sulfur dioksida , nitrogen dioksida, karbon monoksida, jirim zarah dengan diameter 10 mikron (PM10) dan ozon di atmosfera. Bahan pencemar ini boleh menimbulkan masalah yang besar ke atas kesihatan, persekitaran dan harta benda.

Pencemaran udara adalah perubahan fizikal atau kimia yang disebabkan oleh proses semulajadi atau aktiviti manusia yang mengakibatkan kemerosotan kualiti udara (Cunnigham et al, 2005). Pencemaran bermula apabila populasi manusia mulai padat dan bahan buangan tidak dapat dilupuskan secepat yang dihasilkan.

Pengeluaran sejumlah besar asap dan bentuk buangan lain ke udara menyebabkan keadaan yang tidak sihat kerana pembentukan bahan pencemar adalah lebih cepat daripada kadar bahan pencemar tersebut boleh diserap semula oleh atmosfera dan tumbuhan sekeliling (Enger & Smith, 2000).

Kesan Pencemaran Udara Terhadap Masyarakat

Kesan kesihatan yang dikaitkan dengan pencemaran udara termasuklah gangguan pernafasan, penyakit kardiovaskular dan kematian.

Hal ini telah menyumbang kepada wujudnya kesedaran awam untuk sama-sama menangani dan membanteras isu pencemaran.

Penilaian risiko kesihatan kini menjadi penting kerana hal ini berfungsi sebagai dasar untuk sebarang penggubalan atau penelaahan piawaian kualiti udara semasa terutamanya bagi pihak berkuasa dan penggubal undang-undang.

Sepanjang tempoh Malaysia dilanda musim jerebu, kira-kira 60% penduduk mengalami jangkitan pernafasan akut  seperti batuk, kesukaran bernafas, sakit tekak dan gejala-gejala lain dari jangkitan pernafasan akut.

Episod Jerebu di Malaysia

Selebihnya daripada 40% penduduk tidak menghadapi sebarang gejala jangkitan pernafasan akut. Bernama.com ada menyenaraikan kronologi peristiwa jerebu yang dianggap sebagai kemuncak pencemaran udara di Malaysia kerana telah mengganggu kehidupan masyarakat Malaysia khususnya dari segi sosioekonomi, sosiobudaya dan tahap kesihatan.

1960 – Kali pertama jerebu dilapor berlaku disebabkan faktor tempatan seperti pembakaran terbuka, pembakaran bahan api dari industri perkilangan dan kenderaan.

1983 – Jerebu berlaku disebabkan fenomena El Nino dan pembakaran hutan di Kalimantan. Kualiti udara yang buruk juga menyebabkan beberapa penerbangan terpaksa dibatalkan.

1997 – Jerebu teruk dilaporkan berlaku apabila hampir seluruh negara diselaputi asap tebal selama hampir enam bulan, malah bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sesetengah kawasan melewati paras bahaya.19 Sept 1997: Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan darurat jerebu di Sarawak apabila bacaan IPU melebihi 650 iaitu paras ‘berbahaya’ paling tinggi dalam sejarah.

Ia merupakan perisytiharan darurat jerebu alam sekitar pertama dalam sejarah negara.

2015 – Jerebu yang melanda negara disifatkan sebagai yang terburuk dalam sejarah sehinggakan banyak sekolah terpaksa ditutup, selain penerbangan dan beberapa acara luar peringkat kebangsaan dibatalkan.

September 2015: Lembaga Pengurusan Bencana Nasional Indonesia mengisytiharkan darurat akibat jerebu di Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan Penutupan sekolah akibat jerebu telah dilaksanakan di Indonesia, Malaysia dan Singapura dengan hampir empat juta pelajar di Malaysia dilaporkan terjejas.

Beberapa acara antarabangsa turut terjejas, misalnya Piala Dunia Renang FINA 2015 di Singapura dan Marathon Kuala Lumpur.

September 2019 – Seperti tahun-tahun sebelumnya, jerebu kembali sekali lagi tahun ini yang berpunca daripada kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan.

Sebanyak 2,649 sekolah di Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sarawak ditutup akibat jerebu sementara bilangan kes penyakit asma dan konjuntivitis didapati semakin meningkat berdasarkan pemantauan daripada 31 klinik sentinel jerebu.

Jabatan Alam Sekitar turut melakukan operasi pembenihan awam Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan juga Sarawak, terutamanya di kawasan-kawasan terjejas yang mempunyai bacaan IPU melebihi 150.

Penutup

Laporan Kesihatan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan bahawa, penyakit berkaitan sistem pernafasan adalah salah satu sebab utama kemasukan ke hospital di hospital KKM dengan peratusan sebanyak 10.36%.

Di samping itu, salah satu punca utama kematian di hospital KKM pada tahun 2011 adalah penyakit daripada sistem pernafasan dengan peratusan sebanyak 19.48%.

Laporan Statistik PPUKM pula menyatakan bahawa penyakit pernafasan disenaraikan di antara 10 sebab utama kemasukan wad dan disenaraikan di antara 10 sebab kematian paling tinggi.

Oleh itu, disarankan buat masyarakat amnya untuk peka dan bertindak sewajarnya dengan keadaan kualiti udara sekeliling.

Rujukan

Cunningham, W. P., Cunningham, M. A., & Saigo, B. W. (2001). Environmental science: A global concern (Vol. 412). Boston, MA: McGraw-Hill.

http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1770046

Enger, E. D., Smith, B. F., & Bockarie, A. T. (2000). Environmental science: A study of interrelationships. Boston: McGraw-Hill.

Mabahwi, N. A., Leh, O. L. H., & Omar, D. (2015). Urban air quality and human health effects in Selangor, Malaysia. Procedia-Social and Behavioral Sciences, 170, 282-291.

World Health Organization. (2006). WHO Air quality guidelines for particulate matter, ozone, nitrogen dioxide and sulfur dioxide: global update 2005: summary of risk assessment (No. WHO/SDE/PHE/OEH/06.02). Geneva: World Health Organization.

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.