Seiring dengan kepesatan pembangunan dan pemodenan, kita semakin terancam dengan pelbagai isu pencemaran akibat “tangan” kita sendiri. Jikalau dahulu, pencemaran melibatkan persekitaran seperti pencemaran udara, air, tanah dan bunyi, kini, kita berhadapan dengan pencemaran mikroplastik yang menyebabkan masalah dan ancaman terhadap alam sekeliling secara keseluruhan.

Artikel ini memperkenal dan menghuraikan pencemaran mikroplastik yang boleh dijadikan sebagai panduan dan kesedaran kepada masyarakat untuk lebih peka dengan isu seperti pengurusan sumber dan barangan serta pemeliharaan alam sekitar.

Mikroplastik

Kehadiran serpihan kecil plastik, secara amnya dirujuk sebagai ‘mikroplastik’ di lautan, muara sungai, kawasan air tawar sehinggalah ke kawasan berais di benua Artik telah dikenal pasti sebagai bahan pencemar kepada persekitaran.

Bahan pencemar mikroplastik ini telah disampel dari kawasan pantai, permukaan air, sedimen marin, malah turut dijumpai dalam hidupan marin.

Ilustrasi mikroplastik oleh National Geographic Society Imej: National Geographic Society

Mikroplastik bersifat unik secara kimia iaitu boleh dikenal pasti jenis dan punca kehadirannya dengan analisis kimia tertentu.

Kehadiran mikroplastik di persekitaran  berkemungkinan terkumpul secara bio (melalui rantaian dan siratan makanan) dalam bentuk bahan pencemar dalam ekosistem.

"

Tidak seperti serpihan plastik yang besar, mikroplastik tidak dapat dikesan secara mata kasar untuk dikitar semula atau dilupuskan.

Di kawasan pantai, mikroplastik yang terapung boleh membentuk timbunan dengan isipadu 103 -104 per m3. Hal ini memerlukan mekanisme penyelesaian yang segera kerana bahan mikroplastik iini akan terkumpul di dalam sedimen dan memberi kesan ke atas ekosistem marin.

Sumber Mikroplastik

Mikroplastik primer iaitu mikroplastik yang utama dan sering dijumpai mencemari alam sekeliling, dihasilkan secara industri dengan saiz yang pelbagai yang khusus digunakan sebagai produk penjagaan diri bahan penggelupas, medium untuk semburan pasir bagi menanggalkan bahan penyadur dan bahan mentah untuk fabrikasi produk berasaskan plastik.

Pelet mikroplastik ini memasuki alam sekitar melalui ‘kebocoran ‘ semasa proses pembuatan, pengangkutan atau penggunaannya.

Pengeluaran Plastik

Pengeluaran plastik secara global pada tahun-tahun kebelakangan ini adalah sebanyak 300 juta tan metrik  bagi setiap tahun.

Memandangkan permintaan dan kegunaan plastik yang terus mendapat tempat, angka ini akan terus meningkat di masa akan datang.

Hampir separuh daripada pengeluaran plastik semasa adalah di Asia manakala negara-negara Amerika Utara dan negara-negara Kesatuan Eropah masing-masing menyumbang kira-kira 20% bahagian.

Sisa buangan sampah plastik lebih cenderung untuk dijumpai di lokasi industri penghasilan produk dan di pusat bandar dengan kepadatan penduduk yang tinggi.

Kebanyakan daripada plastik yang biasa digunakan dalam pembungkusan digunakan untuk jangka hayat pendek dan berakhir dalam bentuk sampah dan sisa pepejal.

Plastik menyumbang kepada 10 – 15% berat sisa sampah yang bergantung kepada lokasi. Sebilangan daripada sisa ini, dengan anggaran 4.8-12.7 juta tan metrik per tahun selalunya akan berakhir di lautan.

Pengeluaran global plastik PE dan PP (mikroplastik yang paling biasa dijumpai di laut) berkembang pada kadar 8% setahun (1950 – 2012).

Hal ini telah meningkatkan kemungkinan pecahan plastik tersebut yang berakhir sebagai sampah marin dalam bentuk mikroplastik.

Penemuan mikroplastik di lokasi yang berbeza telah ditentukan menggunakan pelbagai teknik. Secara umumnya terdapat trend di mana lebih banyak mikroplastik dijumpai di kawasan persekitaran pantai yang berhampiran dengan penduduk.

Sehingga kini, dianggarkan terdapat lebih 270, 000 tan metrik mikroplastik berada di lautan. Anggaran ini tidak termasuk mikroplastik yang dimakan oleh plankton atau hidupan marin yang lain.

Sifat-sifat Mikroplastik

  1. Bersaiz <0.1µm sehingga 2.5 cm (kebiasaannya berbentuk cebisan. Pemerhatian mikroplastik ini menggunakan mata kasar sehinggalah bantuan mikroskop.
  2. Julat ketumpatan yang pelbagai yang dipengaruhi oleh bahan pengisi yang dimasukkan semasa proses pembuatannya. Mikroplastik dengan ketumpatan yang rendah akan mudah dijumpai terapung manakala mikroplastik dengan ketumpatan yang tinggi berada di kawasan sedimen marin.
  3. Tidak boleh teurai dengan mudah kecuali plastik yang diubahsuai dan dihasilkan daripada sumber alam yang dikenali sebagai biopolimer.
  4. Kehabluran yang tinggi lalu menyebabkan degradasi secara oksidatif tidak berlaku. Bahan ini akan kekal atau berada di persekitaran untuk jangka masa yang agak lama.
  5. Sifat kimia yang unik bagi setiap plastik memudahkan pengenalpastian jenis polimer yang membentuk mikroplastik tersebut bersama bahan pengisi dan sisa monomer yang digunakan semasa proses awal pembuatannya.

Pengenalpastian/Pengecaman Mikroplastik

Pencemaran mikroplastik di kawasan lautan khususnya boleh disenaraikan mengikut beberapa kategori dan contoh, seperti berikut:

  • Fragmen plastik: pellet plastik, cebisan produk, produk kosmetik, cebisan cat, bahan pembungkus makanan/barangan
  • Fragmen fiber: alatan memancing, fiber tekstil, penapis puntung rokok
  • Busa (foam) plastik: busa polistirena daripada kotak polistirena untuk memancing atau pelampung, pembungkus berasaskan polyolefin
  • Komposit: cebisan kapal atau bot, cebisan epoksi (bahan lekatan/gam)
  • Bahan penyadur: cebisan penyadur pelindung
  • Busan termoset: busa poliuretana yang digunakan dalam pelampung/peti ais atau produk penebat
  • Getah: belon permainan, sisa tayar, belon cuaca

Kesan Pencemaran Mikroplastik di Lautan

Sejak kebelakangan ini, kebimbangan mengenai serpihan plastik di lautan dalam bentuk mikroplastik ini semakin bertambah ekoran kesan ke atas organsima hidup yang menganggap mikroplastik ini sebagai makanan mereka.

Hal ini termasuklah kesan mudarat bahan kimia yang terdapat dalam mikroplastik tersebut yang memasuki sistem pencernaan organisma hidup. Terdapat tiga jenis bahan kimia bertoksik yang terdapat dalam mikroplastik.

Bahan Pencemar Organik Persisten (POP)

POP wujud dalam air laut yang datang dari pencemaran air dan udara dan boleh diserap oleh mikroplastik. Apabila mikroplastik menyimpan POP ini, organisma yang termakan mikroplastik ini akan terdedah kepada bahaya POP seterusnya menyebarkannya kepada organisma lain menerusi konsep siratan makanan.

Kebiasaannya, kesan kesihatan POP termasuklah gangguan sistem fisiologi dan keupayaan sebagai pemangsa dalam hidupan marin.

Bahan Penambah

Bahan penambah adalah bahan kimia yang dimasukkan ke dalam plastik pada proses awal pembuatannya. Bahan ini berperanan untuk memberi kestabilan, sifat plastik dan ciri rintangan api terhadap produk plastik yang terhasil.

Bahan pemplastik, sebagai contoh, digunakan dalam kadar yang agak tinggi iaitu sebanyak 10-50% tu memastikan produk yang berfungsi.

Cebisan produk dalam bentuk mikroplastik turut dilaporkan masih mengandungi bahan kimia berbahaya ini apabila memasuki sistem pencernaan.

Sisa Monomer

Monomer adalah unit binaan kecil yang membentuk polimer secara kolektif. Mikroplastik marin yang sering dijumpai seperti polistirena mengandungi sisa monomer ini dalam bentuk monomer dan oligomer (monomer yang bercantum lebih banyak).

Penutup

Pencemaran plastik merupakan salah satu ancaman baru buat alam dan masyarakat sekeliling di zaman moden ini. Langkah pengurangan dan kesedaran pencemaran mikroplastik perlu dihebahkan dan diterap dalam masyarakat sebelum pelbagai masalah lain timbul.

Rujukan

  1. Andrady, A. L. (2017). The plastic in microplastics: A review. Marine Pollution Bulletin, 119(1), 12-22.
  2. https://www.nationalgeographic.org/encyclopedia/microplastics/

 

Penulis: Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Dr. Muhammad Jefri Mohd Yusof

Menerima ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kimia (persekitaran dan kimia polimer) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Turut menerima ijazah sarjana sains kimia (mod penyelidikan) dan ijazah sarjana muda sains forensik dari universiti yang sama.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.