Setiap pasangan yang dah berkahwin pasti tak sabar-sabar menanti kehadiran si cilik untuk mengeratkan lagi hubungan suami isteri. Malahan dengan adanya zuriat, hidup pasti akan rasa lebih bahagia dan lengkap.

Ada sesetengah wanita yang tak tetapkan waktu tertentu untuk dapatkan anak. Namun, ada pula yang tak mahu tunggu lama untuk mendapat pangkat ‘ibu’. Justeru, dalam artikel ni akan dikongsikan petua pemakanan untuk ikhtiar hamil.

Ingin ditekankan di sini, jika anda sudah lama berkahwin tapi masih belum dikurniakan zuriat, seelok-eloknya dapatkan rawatan doktor dulu. Petua ni boleh diamalkan selepas rawatan diterima. Namun, jika anda baru saja berkahwin, petua ni boleh diamalkan sebagai langkah persediaan.

Senarai makanan yang diberikan ni tak ada sokongan daripada sebarang kajian, namun ia tetap makanan yang berkhasiat untuk diambil setiap hari. Jika ada masalah kesihatan, sila dapatkan pandangan pakar pemakanan terlebih dahulu.

Senarai Makanan Untuk Ikhtiar Hamil

Di bawah ini disenaraikan beberapa makanan yang boleh diambil untuk memudahkan anda cepat hamil. Senarai ini merupakan rujukan dari laman web Doctor On Call yang merupakan pandangan Dr Sashini Seeni. Antaranya ialah:

#1 Sayur-Sayuran

  • Sayur-sayuran berdaun hijau

Sayur-sayuran jenis ni merupakan sumber asid folik dan zat besi. Oleh itu, ia merupakan makanan terbaik untuk wanita yang ingin hamil. Zat besi dapat membantu melekatkan janin ke atas rahim dan menguatkan pembentukan lapisan endometrium.

  • Brokoli

Sayuran yang lazat ni kaya dengan asid folik, zat besi, vitamin C dan nutrien-nutrien lain. Disebabkan kaya dengan khasiat yang tinggi, ia menjadi makanan super. Kandungan vitamin C yang tinggi diperlukan oleh ovari untuk mematangkan telur dan proses ovulasi.

  • Kentang

Kentang kaya dengan vitamin B dan E yang dapat meningkatkan pembahagian sel. Oleh itu, peluang bagi penghasilan ovum yang sihat akan meningkat. Jadi, jangan lupa makan kentang rebus atau kentang panggang jika nak cepat hamil.

  • Kubis

Kehadiran di-indole metana di dalam kubis bagus untuk kesuburan. Di-indole metana merupakan sejenis kimia yang memainkan fungsi penting dalam metabolisme estrogen. Ia menghalang penyakit fibroid dan endimetriosis.

#2 Buah-Buahan

  • Delima

Buah yang mempunyai isi berwarna merah ini bukan saja lazat tapi banyak khasiatnya untuk wanita yang ingin ikhtiar hamil. Buah delima dikatakan meningkatkan libido bagi lelaki dan perempuan.

  • Nanas

Mineral manganese yang tinggi di dalam nanas berperanan penting dalam menghasilkan pelbagai hormon pembiakan. Jika seseorang wanita itu kurang subur, tahap manganese di tubuhnya adalah rendah.

  • Buah-buahan sitrus

Jika hendak cepat hamil, minum jus oren setiap hari. Kandungan vitamin C yang tinggi dapat membantu dalam pembebasan telur dari ovari. Jangan lupa masukkan buah-buahan sitrus dalam diet harian anda.

  • Pisang

Jika anda mengalami masalah kitaran haid yang tak teratur, dinasihatkan makan pisang. Dalam pisang mengandungi vitamin B6 yang tinggi. Vitamin ni penting untuk membetulkan kitaran haid dan dapat meningkatkan kesuburan.

#3 Rempah-Ratus

  • Cili

Tahukah anda makanan yang pedas seperti cili dapat meningkatkan kesuburan? Aliran darah ke seluruh tubuh badan akan meningkat. Malahan, bekalan darah yang sihat akan dihantar ke sistem reproduktif. Hormon endorfin yang dihasilkan juga dapat menambah kesuburan.

  • Kunyit

Kunyit bukan saja terkenal dalam bidang masakan dan kecantikan tetapi juga sebagai herba yang menggalakkan kehamilan sihat. Ia samgat kaya dengan antioksidan.

  • Bawang putih

Bawang putih ialah makanan yang kaya nutrien untuk kesuburan yang paling terbaik. Bawang puith boleh memberi perlindungan daripada keguguran awal kerana mengandungi selenium. Maka, peluang anda untuk hamil lebih tinggi.

#4 Makanan Laut

  • Salmon

Selain rasanya yang berlemak dan enak sekali, ikan salmon sangat kaya dengan asid lemak omega 3. Malahan, di dalam ikan ni ada nutrien lain yang dapat meningkatkan kesuburan wanita.

  • Kerang

Kandungan vitamin B12 dalam kerang berfungsi untuk mengekalkan tahap estrogen yang normal. Malahan, ia juga membantu implantasi telur yang disenyawakan.

  • Tiram

Sesuai dengan harganya yang sangat mahal, tiram mengandungi zink yang baik untuk sistem reproduktif wanita. Ia dapat membantu pembentukan telur dalam ovari dan meningkatkan kesuburan.

#5 Minyak Kaya Lemak Sihat

  • Minyak hati ikan kod

Hati ikan kod kaya dengan asid lemak Omega 3. Ia merupakan lemak yang sihat dan dapat mencegah pelbagai komplikasi kesihatan pada wanita. Malahan, asid lemak ni berfungsi mengawal hormon pembiakan wanita yang normal dan meningkatkan kesuburan.

  • Minyak zaitun

Minyak zaitun mempunyai lemak monounsaturated yang dapat mengurangkan keradangan di dalam badan. Malah, wanita yang mengambil minyak zaitun dalam diet harian dapat mengelakkan komplikasi semasa kehamilan.

#6 Biji-Bijian Dan Kekacang

  • Biji flax

Biji flax kaya dengan asid lemak Omega 3 dan lignins. Kedua-duanya berfungsi untuk meningkatkan kesuburan wanita. Malahan, lignins membantu mengurangkan saiz fibroid.

  • Biji labu

Biji labu atau lebih dikenali sebagai kuaci putih merupakan makanan yang baik bagi wanita yang nak hamil. Ia kaya dengan nutrien yang baik untuk sistem reproduktif. Zink yang tinggi di dalamnya berperanan penting dalam proses pembahagian sel semasa peringkat embrio.

  • Badam

Kacang badam merupakan makanan terbaik untuk wanita yang sedang ikhtiar untuk hamil. Namun, kekacang lain seperti gajus, pistacio, kacang tanah dan sebagainya juga banyak khasiatnya. Badam mempunyai vitamin E dan asid lemak Omega 3 yang tinggi. Oleh itu, ia sangat baik untuk kesuburan.

#7 Pengambilan Multivitamin

Setiap wanita yang ikhtiar untuk hamil digalakkan mengambil tiga atau lebih multivitamin setiap minggu. Ia mengandungi folat yang mungkin bermanfaat untuk kesuburan. Dikatakan bahawa pengambilan multivitamin akan mengelakkan ketidaksuburan ovulasi.

#8 Makanan Kaya Antioksidan

Brokoli, tomato, bayam, anggur, epal dan sebagainya ialah sumber antioksidan. Di dalamnya mempunyai folat dan zink yang boleh meningkatkan kesuburan lelaki dan wanita. Malahan, ia dapat menyingkirkan radikal bebas dalam tubuh yang boleh merosakkan sel-sel sperma dan ovum.

Diharapkan para pembaca sekalian mendapat informasi yang bermanfaat tentang pemakanan untuk ikhtiar hamil. Selain mengamalkan pemakanan yang disenaraikan ini, jangan lupa mengamalkan gaya hidup yang sihat dan aktif.

Kami di Bidadari.my mendoakan pasangan yang sedang ikhtiar untuk mendapat cahaya mata dipermudahkan segala urusan. Tiada yang mustahil jika kita terus berusaha, berdoa dan bertawakal.

Jemput juga baca artikel lain seperti jenis sakit perut ketika hamil dan makanan yang baik untuk ibu hamil

Rujukan

  • Makanan Untuk Cepat Hamil. https://doctoroncall.com.my/soalan/makanan-untuk-cepat-hamil. (link)

Penulis: Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.