Ibu bapa moden zaman kini lazimnya akan melakukan pelbagai aktiviti menarik bersama bayi untuk menggalakkan pembesaran dan perkembangan bayi.

Di antara aktiviti yang semakin popular dewasa ini ialah baby spa di mana bayi anda akan berendam di dalam kolam renang kecil sambil diurut. Malah bermandi-manda di kolam renang dan water park juga adalah aktiviti yang menarik dan menyeronokkan.

Semasa melakukan aktiviti air berkenaan biasanya ibu bapa akan memakaikan pelampung kepada bayi atas tujuan keselamatan. Di antara pelampung yang menjadi pilihan ramai ibu bapa ialah pelampung leher bayi atau juga dikenali sebagai neck float.

Pelampung leher bayi mungkin kelihatan selamat dan sangat membantu anda namu tahukah anda bahwa terdapat bahaya tersembunyi yang mak ayah tak perasan.

Bayi tidak dapat mengawal leher dan kepalanya

Perasan tak, apabila bayi anda dimasukkan ke dalam air sambil dipakaikan pelampung leher, bayi anda kelihatan keras dan tidak bergerak secara semulajadi. Apa tidaknya, bayangkan jika anda dimasukkan ke dalam air yang dalam di mana kaki anda tidak memijak lantai dan berat seluruh badan anda ditampung oleh pelampung yang diletakkan di sekeliling leher. Boleh bayangkan?

Apabila bayi anda dipakaikan pelampung leher, seluruh berat badannya akan ditampung oleh pelampung tersebut menjadikan bayi anda tidak dapat mengawal kepala dan lehernya.

Malah untuk menggerakkan kepala ke kiri dan ke kanan pun kelihatan sangat sukar. Bagaimana anda menjangkakan bayi anda berseronok menjalankan aktiviti bermain air sedangkan mengawal kepala sendiri pun tak mampu dilakukan oleh sicomel.

Mengganggu proses tumbesaran dan perkembangan bayi

Kedengaran seperti mengarut namun tahukah anda bahawa penggunaan pelampung leher bayi dengan kerap boleh mengganggu proses tumbesaran dan perkembangan bayi anda. Ini kerana proses perkembangan dan tumbesaran bayi berlaku dengan cara dari kepala dan turun ke bawah. Turutan ini dikenali sebagai cephalo-caudal.

Jika bayi anda dipakaikan dengan pelampung leher dengan kerap, ia akan menghalang pergerakan kepala bayi anda lalu menyebabkan pergerakan tubuh badan yang lain juga terganggu dalam masa yang sama.

Menjejaskan tindakan refleks bayi

Kajian yang dilakukan di negara barat menunjukkan bahawa bayi yang kerap dipakaikan pelampung leher akan mempunyai tindakan refleks yang lebih lambat berbanding bayi yang tidak didedahkan dengan pelampung jenis ini semasa mandi kolam renang atau aktiviti air yang lain.

Tindakan refleks yang lambat ini mempunyai kaitan dengan posisi kepala bayi yang menjadi kaku semasa berada di dalam air dan tidak dapat digerakkan secara normal setiap kali pelampung leher dipakaikan kepada bayi berkenaan.

Menjejaskan saraf lalu menyebabkan bayi lambat duduk dengan tegak

Selain menjejaskan tindakan refleks dan menyebabkan bayi anda memberikan tindak balas yang lambat, pemakaian pelampung leher dengan kerap juga dipercayai akan menjejaskan saraf bayi lalu menyebabkan bayi anda lambat duduk dengan tegak. Kegagalan bayi untuk menegakkan badan semasa duduk adalah berkait rapat dengan pemakaian pelampung leher bayi.

Kesan buruk kepada leher dan vertebrata bayi

Kesan buruk penggunaan pelampung leher bayi yang seterusnya ialah ia akan menyebabkan berlakunya tekanan kepada bahagian vertebra dan leher bayi yang masih lembut.

Otot dan ligamen pada bahagian tersebut juga mungkin boleh tercedera jika dipakaikan pelampung leher secara berlebihan. Secara umumnya tubuh badan bayi adalah sangat lembut dan mudah untuk tercedera, lebih-lebih lagi bahagian leher yang penuh dengan urat saraf yang sensitif.

Kecederaan pada bahagian leher dan vertebrata bayi boleh menyebabkan kecacatan malah kematian. Ianya bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh.

Tips mandi-manda di kolam renang bersama bayi untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini

pelampung bayi
Sumber: Asianonlineprice

Pastinya anda mahukan yang terbaik untuk bayi yang tersayang. Oleh itu jika anda memilih untuk melakukan aktiviti melibatkan air bersama bayi seperti bermandi-manda di kolam renang, anda boleh amalkan tips yang berikut:

  • Perhatikan bayi anda setiap saat. Elakkan daripada melihat handphone atau bersembang sehingga terlupa untuk memerhatikan bayi anda. Jangan lepaskan bayi anda bermain seorang diri tanpa pengawasan. Jangan sangka orang lain yang berada di kolam renang akan membantu memerhatikan bayi anda. Dalam kebanyakan kes yang viral, kelihatan bayi dan anak kecil lemas sendirian sedangkan terdapat ramai orang lain di sisinya. Tiada siapa yang peduli dan perasaan!
  • Pastikan pelampung yang dipakai oleh bayi anda adalah sesuai dengan umur dan saiz anak. Pelampung yang terlalu kecil atau terlalu besar akan meningkatkan risiko kemalangan termasuk kejadian lemas.
  • Pilih untuk bermain bersama bayi di dalam kolam kanak-kanak. Sebaiknya elakkan daripada membawa bayi masuk ke kolam orang dewasa kerana airnya terlalu dalam dan tidak sesuai untuk bayi anda.
  • Pastikan anda tahu kedalaman air yang dimasuki bersama bayi anda jika anda membawa bayi memasuki kolam orang dewasa agar anda tidak terkejut jika berlaku perkara yang tidak diingini seperti bayi anda terlepas dari pelampung.
  • Jangan biarkan bayi hanyut jauh dari badan anda dan tidak tercapai dengan tangan walau pun semasa anda bermain di dalam kolam kanak-kanak. Ini kerana seorang bayi boleh lemas dalam air secetek 1 inci. Menurut Dr. Maribeth Chitkara iaitu seorang profesor pediatrik dari New York, “Anak kecil, terutamanya bayi, boleh lemas dalam air setinggi satu inci sahaja. Itu tidak dalam, cetek sahaja, tapi masih berbahaya!”

Itulah dia info tentang pelampung bayi yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang najis bayi warna hijau dan bayi jatuh katil

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.