Orang melayu sememangnya sinonim dengan pantang larang. Kali ini kami akan kongsikan tentang pantang larang semasa mengandung sebagai panduan untuk anda.

Sama ada mahu ikut atau tidak, terpulang kepada budi bicara dan kebijaksaan anda. Apa yang baik anda ikut, kalau rasa tak sesuai boleh diabaikan.

pantang larang ibu mengandung

Sumber: Beba

1. Jangan terlalu seronok

Kata orang, terlalu suka akan membawa duka. Sebab itu orang tua suka ingatkan kita supaya berpada-pada ketika gembira. Tidak dinafikan, anda akan berasa sangat seronok apabila mendapat berita bahawa anda sudah berjaya mengandung.

Namun kandungan anda baru bermula. Sepanjang tempoh kehamilan, ada pelbagai risiko dan perkara buruk yang boleh berlaku. Oleh itu, jangan terlalu seronok.

2. Jangan beli barang kelengkapan bayi sebelum kandungan berusia 5 bulan

Anda dinasihatkan supaya jangan mula membeli barang kelengkapan bayi terlalu awal. Seelok-eloknya tunggu sehingga kandungan mencecah usia 5 bulan. Ini kerana anda lebih berisiko untuk mengalami komplikasi seperti keguguran sebelum kandungan lebih matang pada usia 5 bulan.

Sebenarnya, pantang larang ini ialah supaya anda tidak terlalu mengharap dan untuk mengelakkan kesedihan yang keterlaluan sekiranya ada perkara buruk yang berlaku kepada kandungan anda.

3. Jangan menyiksa binatang

Yang sebenarnya, kita sebagai umat islam dilarang daripada menyiksa binatang setiap masa, dan walau di mana kita berada. Larangan ini sepatutnya anda ingat dengan lebih baik semasa anda sedang mengandung. Bukannya kami ingin katakan anda dilarang menyiksa binatang kerana takut terkena kenan kepada bayi dalam kandungan, tetapi kita mahu semua makhluk di muka bumi mendoakan yang baik-baik untuk kandungan anda. Ingat, doa makhluk yang teraniaya tiada hijabnya.

4. Jangan keluar lewat malam

Kata orang tua, waktu mengandung jangan sampai terkena embun jantan yang menitis ke bumi. Secara logiknya, berjalan lewat malam mengundang bahaya seperti rompakan dan disamun. Penjenayah lebih aktif pada waktu malam dan tak ramai yang berani membantu.

Dari sudut perubatan islam, ibu mengandung & bayi dalam kandungan sangat menarik perhatian makhluk halus. Semestinya anda tidak mahu gangguan dari mahluk halus yang berniat jahat.

pantang larang ibu mengandung

Sumber: Hellosehat

5. Jangan buat perjalanan jauh pada waktu malam

Anda juga dinasihatkan supaya jangan buat perjalanan jauh pada waktu malam. Seeloknya, bergerak pada waktu siang dimana jalan raya penuh dengan kenderaan dan ada ramai yang sudi membantu sekiranya berlaku kemalangan yang tidak diingini atau kenderaan anda mengalami kerosakan.

6. Jangan terlalu aktif

Pantang larang ibu mengandung yang seterusnya ialah jangan terlalu aktif, terutamanya diawal tempoh kehamilan dimana kandungan anda masih belum betul-betul kuat. Lebih-lebih lagi kalau anda mempunyai sejarah keguguran. Elakkan bersukan. Elakkan aktiviti lasak seperti menunggang kuda.

Jika anda seorang yang aktif dengan aktiviti outdoor seperti hiking, jungle trekking, marathon, dan sebagainya, seeloknya anda berehat sebentar apabila disakan mengandung.

7. Jangan makan makanan tajam

Kata orang tua, makanan tajam boleh menjejaskan kandungan & menyebabkan keguguran. Di antara makanan yang dianggap sebagai tajam ialah:

  • Nanas
  • Tapai
  • Air tebu
  • betik

8. Suami jangan pergi memburu

Kalau ikutkan orang tua, sepanjang tempoh isteri mengandung, suami tidak dibenarkan untuk pergi memburu kerana dikhuatiri bayi dalam kandungan akan terkena kenan.

Terpulang sama ada anda memilih untuk percaya atau tidak tentang bahaya kenan. Namun pada kami, larangan suami pergi memburu semasa isteri mengandung ialah untuk mengelakkan daripada kes sesat atau hilang dalam hutan. Bayangkan betapa susah hati seorang isteri yang sedang mengandung apabila suaminya hilang di dalam hutan.

9. Suami jangan pergi memancing

Sama seperti memburu, orang tua cukup pantang sekiranya suami pergi memancing semasa isteri sedang mengandung kerana takut anak dalam kandungan terkenan ikan yang ditangkap pada mata kail.

Sekali lagi, kami lebih kepada mempercayai bahawa larangan ini adalah untuk mengurangkan risiko suami hilang, lemas, hilang di laut, atau dibaham buaya semasa isteri mengandung. Bayangkan bagaimana isteri mengandung mahu meneruskan hidup tanpa suami tersayang. Sangat mencabar.

pantang larang ibu mengandung

Sumber: Tribunnews

10. Jangan pakai kasut tumit tinggi

Kata orang tua, jangan pakai kasut tumit tinggi kalau taknak keguguran. Secara teorinya, pantang larang ibu mengandung ini ada logiknya.

Kasut bertumit tinggi akan menyebabkan ibu mengandung yang sedang membawa perut lebih sukar untuk menyeimbangkan badan lalu meningkatkan risiko tersadung, tersembam, atau tergelincir. Bayangkan ibu mengandung menuruni tangga sambil memakai kasut tumit tinggi. Kasut tumit tinggi juga akan menyebabkan kaki ibu memgandung berasa sakit dan bengkak.

11. Jangan makan telur separuh masak

Pernah dengar pantang larang ibu mengandung supaya jangan makan telur separuh masak kerana dikhuatiri akan melahirkan bayi tak cukup bulan. Dari segi perubatan moden, telur separuh masak sememangnya tidak sesuai dimakan oleh ibu mengandung kerana dikhuatiri akan menyebabkan anda dijangkiti kuman salmonela.

Yang sebenarnya, ibu mengandung dinasihkatkan untuk tidak makan apa-apa makanan yang tidak dimasak sepenuhnya untuk mengelakkan risiko jangkitan kuman dan parasit.

12. Jangan angkat barang berat

Ini adalah pantang larang yang sangat popular. Jangan angkat berat semasa mengandung kerana tekanan pada perut akan menjejaskan kandungan, terutamnya jika anda mempunyai masalah rahim tak kuat atau pernah keguguran sebelum ini.

13. Jangan pergi ke kawasan berhutan

Kata orang tua, orang mengandung tak boleh masuk hutan kerana dikhuatiri ada hantu hutan akan ikut balik ke rumah. Dari segi perubatan islam, sememangnya makhluk halus sukakan bau ibu mengandung dan bayi dalam kandungan. Larangan masuk ke hutan juga untuk mengelakkan risiko sesat.

14. Jangan pergi ke kawasan air terjun

Sama seperti larangan masuk ke dalam hutan, pada kami, pantang larang ini lebih kepada untuk mengelakkan berlaku perkara tak diingini seperti lemas, tergelincir diatas batu yang licin, dan sebagainya.

pantang larang ibu mengandung

Sumber: Wisatanusantara

Itulah dia 14 pantang larang ibu mengandung yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Anda juga boleh membaca perkongsian kami tentang persediaan bersalin, amalan ibu mengandung, dan petua mudah bersalin.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.