Sebagai seorang yang beragama islam, pastinya kita berusaha untuk mengumpul pahala dan mendapat keredhaan Allah. Terdapat pelbagai cara untuk kita mengumpul pahala seperti solat awal waktu, mengaji Al-Quran, bersedekah, berselawat, berzikir, bertahajud, dan sebagainya. Salah satu ibadat yang paling disukai oleh Allah ialah qiamullail.

Istimewa untuk ada, hari ini kami akan kongsikan panduan mudah untuk melakukan qiamullail serta kelebihan yang mesti direbut oleh kita selaku umat islam yang mencintai Allah dan rasul serta sangat merindui untuk menjadi ahli syurga. Semoga bermanfaat buat kita semua.

qiamullail

Sumber: Ikimfm

Apakah yang dimaksudkan dengan qiamullail?

Kebiasaannya orang kita melakukan qiamullail pada bulan Ramadhan kerana kita mengejar pahala pada bulan suci tersebut. Namun tahukah anda, sebaik-baik amalan adalah amalan yang sedikit namun berpanjangan. Oleh itu, kalau kita dah amalkan berqiamullail sepanjang bulan Ramadhan, apa kata kalau kita teruskan ibadat ini sepanjang tahun? Jika diamalkan selalu, lama-kelamaan kita akan terbiasa untuk melakukan qiamullail dan akan berasa rindu jika tidak melakukannya.

Qiamullail bermaksud berjaga pada waktu malam untuk melakukan ibadah kepada Allah. Maksudnya kita menghidupkan malam dengan memenuhi masa untuk mengabdikan diri kepada Allah sewaktu orang lain nyenyak tidur dibuai mimpi. Di antara ibadat yang boleh dilakukan semasa berqiamullail ialah:

  • Tahajud
  • Solat hajat
  • Solat taubat
  • Solat tasbih
  • Solat sunat
  • Mengaji Al-Quran
  • Berzikir
  • Berselawat
  • Mendengar ceramah agama

Waktu untuk melakukan qiamullail adalah selepas isyak sehingga sebelum subuh dan sebaik-baik waktu adalah pada sepertiga malam.

”Puasa yang lebih disukai oleh Allah ialah puasa Nabi Daud dan solat yang disukai oleh Allah ialah solat Nabi Daud. Baginda tidur pertengahan malam, bangun sepertiganya (solat) lalu tidur seperenamnya. Baginda berpuasa sehari dan berbuka sehari.” ( H.R. Jamaah selain At-Tirmiz )

"

Apakah kelebihan qiamullail?

Pastinya anda ingin tahu apakah kelebihan melakukan qiamullail? Apakah hikmahnya kepada kita? Di antara kelebihan qiamullail ialah seperti berikut:

  • Meningkatkan keimanan kepada Allah. Jika kita selalu melakukan qiamullail, kita akan menjadi hamba yang lebih beriman kepada Allah.
  • Meningkatkan darjat di sisi Allah. Semakin istiqamah kita melakukan qiamullail, semakin tinggi darjat kita di sisi Allah dan semakin dekat kita dengan Allah.
  • Dapat melakukan ibadah dengan lebih khusyuk. Pada tengah malam, suasana sangat hening dan tenang memandangkan kebanyakan manusia sedang lena diulit mimpi. Oleh itu kita dapat beribadah dengan lebih khusyuk.
  • Mendidik jiwa supaya bersyukur dengan nikmat kesihatan yang diberikan. Berapa ramai di antara kita yang terlupa bahawa tubuh badan yang sihat dan mampu bangun malam untuk beribadat adalah salah satu nikmat yang tak semua orang dapat rasa?
  • Dimurahkan rezeki. Mereka yang selalu berjaga malam untuk melakukan qiamullail akan diberikan rezeki yang melimpah-ruah dan rezeki yang tidak disangka-sangka.
  • Melatih diri untuk menjadi insan yang bertakwa. Melakukan qiamullail akan menjadikan kita seorang hamba yang lebih bertawa kepadaNya.
  • Melatih diri untuk memperbanyakkan ibadah sunat. Pada waktu siang kita sibuk dengan urusan seharian. Malam hari adalah satu-satunya masa di mana kita berpeluang untuk melakukan ibadah sunat.
  • Mendidik jiwa melawan nafsu dan hasutan syaitan. Fikiran kita mengatakan tidur adalah lebih seronok daripada berjaga malam untuk beribadah kepada Allah. Jika kita berjaya melawan nafsu untuk tidur dan memilih untuk beribadah, ianya adalah satu kejayaan besar.
  • Memberi ketenangan jiwa.
  • Memberi kesihatan fizikal.
  • Menajamkan akal fikiran.
  • Memberi kekuatan rohani.
  • Melatih diri untuk berasa takut dan hanya berharap kepada Allah.

Bagaimana cara untuk melakukan qiamullail?

Sekarang anda dah tahu apa yang dimaksudkan dengan qiamullail dan kelebihannya. Pasti anda berasa teruja untuk mula berqiamullail malam ni. Namun tak pasti bagaimana caranya? Terdapat pelbagai cara untuk melakukan qiamullail bergantung kepada individu namun kali ini kami akan kongsikan cara melakukan qiamullail yang paling mudah anda untuk anda:

  • Dimulakan dengan niat untuk bangun qiamullail semasa tidur. Pastikan anda tidur awal supaya boleh bangun semula di tengah malam.

”Barangsiapa yang tidur sedang dia berniat akan bangun untuk bersolat di malam hari, tetapi dia terus tertidur hingga pagi, ditulis baginya apa yang telah diniatkannya dan tidurnya itu merupakan rahmat Allah kepadanya.” (Hadith Riwayat An-Nasai dan Ibn-Majah)

qiamullail

Sumber: Mohdasri

  • Bangun sahaja dari tidur, terus bersihkan diri dengan mandi dan menggosok gigi kemudian berwuduk dan memakai pakaian bersih sebagai persediaan untuk berqiamullail.
  • Memulakan solat tahajud dengan solat dua rakaat dan ulang selagi anda larat.
  • Selepas solat tahajud, anda bebas melakukan ibadah yang lain.
  • Kejut dan ajak ahli keluarga yang lain untuk berqiamullail sekali.

”Apabila seseorang membangunkan isterinya di malam hari lalu kedua-duanya bersolat/bersolat dua rakaat bersama-sama, ditulislah baginya dalam golongan orang-orang yang mengingati Allah.” (Hadith Riwayat Abu Daud)

  • Berhenti daripada melakukan ibadah jika mengantuk. Tidur sekejap dan sambung semula apabila hilang mengantuk.
  • Beribadah sekadar yang mampu tapi istiqamah iaitu dilakukan selalu. Tidak guna jika anda berjaga sepanjang malam dan beria-ria beribadan tanpa henti namun tidak istiqamah melakukannya.

Itulah dia perkongsian tentang qiamullail: panduan dan kelebihan yang mesti direbut yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Semoga  kita semua dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan keberkatan dan kasih sayang. Jika anda sukakan artikel ini,anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang tanda kematian bagi orang islam dan peristiwa israk mikraj

Rujukan/Sumber:

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.