Jom ketahui kelebihan Nuzul al-Quran dengan membaca artikel ini. Nuzul merupakan perkataan Bahasa Arab yang bermaksud penurunan, manakala al-Quran dari segi bahasa bermakna sesuatu yang dibaca, sesuai dengan kitab al-Quran yang kekal dibaca dan diulang sehingga ke hari ini. Justeru itu, makna Nuzul al-Quran adalah penurunan al-Quran.

Di Malaysia serta Muslim di kebanyakan negara menyambut Hari Nuzul al-Quran pada 17 Ramadan setiap tahun. Sebenarnya, penggunaan istilah Nuzul al-Quran ini hanyalah simbolik kepada penurunan al-Quran. Tujuannya untuk menunjukkan ketinggian serta kemuliaan al-Quran.

Secara teknikalnya Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Muhammad saw.

Menjadi tanda tanya kepada kebanyakan kita apakah benar peristiwa Nurzul al-Quran sebenarnya terjadi pada 17 Ramadan? Berdasarkan firman Allah swt,

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ

Maksudnya, “Sesungguhnya kami menurunkannya (Al-Qur’an) pada lailatul Qadar (malam kemuliaan).” (Surah al-Qadr, Ayat 1)

Sedangkan, Lailatul Qadar itu berlaku pada malam ganjil pada 10 malam terakhir Bulan Ramadan menurut hadis Nabi saw,

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِى الْوِتْرِ مِنَ الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya, “Carilah lailatul qadar di malam ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan.” (HR Bukhari)

Oleh sebab itu, untuk menjawab pertanyaan ini, kita perlu tahu bahawa proses penurunan al-Quran itu melalui 2 peringkat, iaitu:

Pertama: Al-Qur’an Diturunkan Secara Sekaligus Ke Baitul Izzah (Langit Dunia) Dari Lauh Mahfuz

al-quran cahaya
Imej via membacadanberbagi

Al-Quran ditulis di Lauh Mahfuz (lembaran-lembaran yang terpelihara), sebagaimana firman Allah swt,

بَلْ هُوَ قُرْءَانٌ مَّجِيد. فِى لَوْحٍ مَّحْفُوظٍۭ

Maksudnya, “Bahkan ia adalah al-Quran yang mulia. (Lagi terpelihara dengan sebaik-baiknya) di Lauh Mahfuz”. (Surah al-Buruj, Ayat 21-22)

Kemudian dari Lauh Mahfuz, al-Quran diturunkan secara sekali gus ke Baitul Izzah (rumah kemuliaan) yang berada di langit pertama pada bulan Ramadan, sebagai mana firman Allah swt,

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ

Maksudnya, “Bulan Ramadhan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan Al-Qur’an.” (Surah al-Baqarah, Ayat 185)

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ

Maksudnya, “Sesungguhnya kami menurunkannya (Al-Qur’an) pada malam kemuliaan.” (Surah al-Qadr, Ayat 1)

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ

Maksudnya, “Sesungguhnya kami menurunkannya (Al-Qur’an) pada malam yang diberkahi.” (Surah ad-dukhon, Ayat 3)

Dalam 3 ayat di atas, semua menjelaskan tentang turunnya Al-Quran pertama kali, iaitu pada bulan Ramadan dan tepatnya pada Lailatul Qadar iaitu malam kemuliaan. Dan pada surat ad-Dukhon yang dimaksud malam mubarok ialah malam lailatul qadar pada bulan Ramadhan sebagaimana yang dikatakan oleh kebanyakan ulama tafsir. (lihat Tafsir Al-Alusi)

Dalam kitab Al-Burhan Fi ‘Ulumil-Qur’an karangan Syeikh Badruddin Az-Zarkasyi (W. 794 H), beliau mengatakan bahawa dalam hal ini para ulama berbeza pendapat dan yang paling kuat dan benar ialah pendapat yang dipegang oleh kebanyakan ulama ialah:

Bahawa al-Quran diturunkan sekaligus ke langit dunia (Baitul Izzah) pada Lailatul Qadar kemudian diturunkan dengan cara beransur-ansur sepanjang tempoh kehidupan Nabi saw setelah beliau diangkat menjadi Nabi di Mekah dan Madinah sampai wafat beliau.

Kebanyakan ulama mengatakan bahawa pendapat inilah yang paling mendekati kebenaran, berdasarkan suatu riwayat yang dikeluarkan oleh Imam Hakim dengan sanad yang sahih, dari Ibnu Abbas ra, beliau mengatakan bahawa al-Quran itu turun sekaligus ke langit dunia pada Lailatul Qadar. Kemudian diturunkan beransur-ansur selama 23 tahun. Seperti mana firman Allah swt,

وَقُرْآناً فَرَقْنَاهُ لِتَقْرَأَهُ عَلَى النَّاسِ عَلَى مُكْثٍ وَنَزَّلْنَاهُ تَنزِيلاً

Maksudnya, “Dan al-Quran itu telah kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan kami menurunkannya bahagian demi bahagian.” (Surah al-Isra, Ayat 106)

Imam An-Nasa’i juga meriwayatkan dengan sanad yang sahih dari Ibnu Abbas ra, beliau berkata: “……dan al-Quran diletakkan di Baitul Izzah dari langit dunia kemudian Jibril turun dengan membawanya kepada Muhammad saw.”

Kedua: Al-Qur’an Diturunkan Secara Beransur-ansur kepada Nabi SAW

Setelah diturunkan secara lengkap (keseluruhan) dari Lauh Mahfudz ke langit dunia (Baitul Izzah), al-Quran turun secara beransur-ansur selama 23 tahun (ini menurut pendapat yang kuat), iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah. Dan turunnya al-Quran secara beransur-ansur telah dijelaskan dalam firman Allah swt,

وَقُرْآناً فَرَقْنَاهُ لِتَقْرَأَهُ عَلَى النَّاسِ عَلَى مُكْثٍ وَنَزَّلْنَاهُ تَنزِيلاً

Maksudnya, “Dan Al Quran itu telah kami turunkan dengan berangsur-angsur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan kami menurunkannya bagian demi bagian.” (Surah al-Isra, Ayat 106)

Dan inilah salah satu keistimewaan al-Quran, bahawa kitab suci umat Nabi Muhammad ini turun secara beransuran setelah sebelumnya diturunkan secara lengkap/sekaligus. Hal ini berbeza dengan kitab-kitab samawi yang lain iaitu Kitab Zabur, Kitab Taurat dan Kitab Injil yang diturunkan secara sekaligus tanpa ada ansur-ansur. Allah swt berfirman,

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْلا نُزِّلَ عَلَيْهِ الْقُرْآنُ جُمْلَةً وَاحِدَةً كَذَلِكَ لِنُثَبِّتَ بِهِ فُؤَادَكَ وَرَتَّلْنَاهُ تَرْتِيل وَلَا يَأْتُونَكَ بِمَثَلٍ إِلَّا جِئْنَاكَ بِالْحَقِّ وَأَحْسَنَ تَفْسِيرًا

Maksudnya,Berkatalah orang-orang yang kafir: “Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepadanya sekali turun saja?”; demikianlah supaya Kami perkuat hatimu dengannya dan Kami membacanya secara tartil (teratur dan benar).

Tidaklah orang-orang kafir itu datang kepadamu (membawa) sesuatu yang ganjil, melainkan Kami datangkan kepadamu suatu yang benar dan yang paling baik penjelasannya. (Surah al-Furqan, Ayat 32-33)

wahyu pertama
Imej via mr-liey

Dan wahyu pertama yang turun menurut kebanyakan ulama ialah Surah al-Alaq, ayat 1-5 (dan ini adalah pendapat yang kuat), atau biasa kita sebut dengan Ayat Iqra’. Ini berdasarkan riwayat yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dalam kitab Sahih dari ‘Aisyah ra.

Bilakah Wahyu Pertama (Ayat Iqra’) Diturunkan?

Para ulama dan ahli sejarah berbeza pendapat tentang bilakah tarikh yang tepat turunnya wahyu pertama kepada Nabi saw sewaktu Baginda beruzlah di Gua Hira’. Ada yang mengatakan bulan Rabiul Awal, ada juga yang mengatakan bulan Ramadan, dan ada juga yang mengatakan bulan Rejab.

Namun pendapat yang kuat ialah bulan Ramadan sesuai firman Allah swt yang bermaksud: “Bulan Ramadan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan Al-Qur’an.” (Surah al-Baqarah, Ayat 185).

Dan kebanyakan ulama juga sepakat bahawa Surah al-Alaq, ayat 1-5 adalah wahyu yang pertama turun, juga sebagai tanda kenabian Muhammad saw.

Peristiwa ini terjadi pada hari Isnin, sesuai dengan hadis. Dari sahabat Abu Qotadah ra, bahawa Nabi saw pernah ditanya tentang puasa hari Isnin, kemudian beliau menjawab: “Itu adalah hari di mana aku dilahirkan dan diturunkan wahyu kepadaku.” (HR Muslim)

Kemudian ulama juga berbeza pendapat tentang tarikh sebenar penurunan wahyu pertama ini. Ada yang mengatakan malam 7 Ramadan, ada juga yang mengatakan malam 17 Ramadan, ada juga yang mengatakan pada malam 21 Ramadan, dan ada juga yang mengatakan pada malam ke-24.

Sheikh Shofiyur-Rohman Al-Mubarokfuri mengatakan dalam kitab Sirah Nabawi karangannya Rahiqul-Makhtum: “Setelah melakukan penelitian yang cukup dalam, mungkin dapat disimpulkan bahawa hari itu ialah hari Isnin tanggal malam ke-21 bulan Ramadan.

Iaitu pada tarikh 10 Ogos 660M, dan ketika itu umur Rasulullah saw tepat 40 tahun 6 bulan 12 hari. Hari Isnin pada bulan Ramadan tahun itu ialah antara 7, 14, 21, dan 28, dan dari beberapa riwayat yang sahih bahawa malam Lailatul Qadar itu tidak terjadi kecuali pada malam-malam ganjil dari sepuluh akhir bulan Ramadan.

Jika kita bandingkan firman Allah dalam surah Al-Qadr ayat 1, dengan hadis Abu Qotadah yang menjelaskan bahawa wahyu diturunkan hari Isnin di atas, dan dengan hitungan hari Isnin pada bulan Ramadan tahun tersebut, maka dapat disimpulkan bahawa wahyu pertama turun kepada Rasul saw itu tanggal 21 Ramadan malam”.

Kenapa 17 Ramadan Disimbolikkan kepada Hari Nuzul al-Quran?

17 Ramadan dianggap sebagai hari Nuzul al-Quran, berkemungkinan berdasarkan pendapat yang disebutkan oleh Imam Ibnu Katsir (W. 774 H) dalam kitabnya Al-Bidayah wan-Nihayah. 

Al-Waqidi meriwayatkan dari Abu Ja’far Al-Baqir yang mengatakan bahawa “Wahyu pertama kali turun pada Rasul saw adalah pada hari Isnin 17 Ramadhan dan dikatakan juga 24 Ramadan.” Wallahu a’lam.

Kesimpulan

Walaupun para ulama berbeza pendapat bilakah tarikh sebenar al-Quran diturunkan, namun kita sebagai hamba Allah swt harus berpegang bahawa al-Quran itu diturunkan pada Lailatul Qadar, selari dengan firman Allah swt dalam ayat 1, surah al-Qadr.

Dan kita juga harus tahu bahawa al-Quran itu diturunkan secara 2 peringkat. Peringkat pertama, al-Quran diturunkan secara sekaligus dari Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah. Manakala pada peringkat kedua pula, al-Quran turun secara beransur-ansur dari Baitul Izzah kepada Nabi Muhammad saw selama 23 tahun (13 ahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah) melalui perantaraan Malaikat Jibril.

Yang paling penting bagi kita selaku hamba Allah swt adalah kita terus-menerus dan berusaha untuk istiqamah membaca al-Quran serta beramal dengan hukum-hakam yang Allah perintahkan dalam al-Quran.

Artikel Menarik Lain

Bagaimana dengan artikel berkenaan kelebihan Nuzul Al-Quran yang dikongsikan? Anda dapat manfaat?

Jangan lupa untuk like dan share ya. Selain artikel di atas, kami juga menulis artikel lain untuk anda baca iaitu:

Beberapa artikel tentang Ramadhan:

Rujukan:

  1. Israk Mikra
  2. Dakwatuna
  3. Wikipedia
  4. Mufti WP
  5. Muslim

Penulis: Aniuna

Penulisan sebagai medium berkongsi info dan ilmu kepada masyarakat. Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.