Nabi Muhammad adalah Rasul terakhir yang diutuskan sebagai panduan kita umatnya. Tahukah anda bahawa kita sangat bertuah kerana ditakdirkan untuk menjadi umat Nabi Muhammad kerana wakau pun kita adalah umat bagi nabi terakhir tapi kita adalah umat pertama yang akan dihisab di akhirat nanti.

Sebagai umatnya, kita sepatutnya sentiasa berselawat ke atas junjungan rasulullah dan sedikit sebanyak perlu meluangkan masa untuk mengenali siapa rasulullah dan ahli keluarganya. Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan nama anak Nabi Muhammad serta kisah tentang betapa hebatnya peribadi mereka, anak-anak rasul terakhir.

nama anak nabi muhamad
Sumber: Youtube

Untuk pengetahuan anda, anak-anak Nabi Muhammad ada 7 orang semuanya yang terdiri daripada 3 lelaki dan 4 orang perempuan. Berikut adalah nama anak Nabi Muhammad mengikut turutan:

  • Qasim
  • Abdullah
  • Ibrahim
  • Zainab
  • Ruqaiyah
  • Fatimah
  • Ummu Kalthum

Qasim

Qasim ialah anak lelaki pertama Nabi Muhammad bersama isteri pertama baginda Khadijah RA. Menurut sejarah, Qasim lahir dan meninggal sebelum Nabi Muhammad menerima wahyu. Qasim meninggal dunia ketika berusia 2 tahun di Kota Mekah.

Abdullah

Abdullah pula adalah anak lelaki kedua Nabi Muhammad bersama Khadijah RA. Selain Abdullah, beliau juga dikenali dengan nama Ath-Thaiyyib dan Ath-Thahir. Abdullah dilahirkan setelah Nabi Muhammad menjadi rasul dan seperti abangnya, beliau juga meninggal dunia ketika masih kecil.

Ibrahim

Ibrahim adalah anak lelaki ketiga Nabi Muhammad dan merupakan anak bongsu baginda bersama Mariah Al-Qibthiyyah. Ibrahim telah dilahirkan pada tahun 8 Hijrah di Kota Madinah. Menurut catatan sejarah, Ibrahim meninggal dunia ketika masih kecil iaitu semasa berusia dalam lingkungan 17 atau 18 bulan. Selepas kematian Ibrahim, Nabi Muhammad bersabda:

“Sesungguhnya mata ini menitikkan air mata dan hati ini bersedih, namun kami tidak mengatakan sesuatu yang tidak diredhai Rab kami. Sesungguhnya kami bersedih dengan kepergianmu wahai Ibrahim.” (Hadith riwayat Bukhari)

Zainab

Zainab adalah anak perempuan pertama Nabi Muhammad bersama isteri pertamanya Khadijah RA. Menurut sejarah, Zainab telah berkahwin dengan Abu Al-Ash bin Al-Rabi’ sebelum Nabi Muhammad menerima wahyu di Gua Hirak. Zainab dan tiga adik-beradiknya memeluk agama islam seperti ibunya.

nama anak nabi muhamad
Sumber: Pengasuhanakyatim

Walau bagaimana pun, suami Zainab Abu al-Ash tidak mahu memeluk agama islam dan kekal dalam agam jahiliyah. Itulah sebabnya kenapa Zainab tidak mengikut Nabi Muhamad berhijrah ke Madinah, disebabkan oleh ikatan perkahwinannya. Namun kemudian Zainab memilih untuk berhijrah dari Mekah ke Madinah demi agama.

Tidak lama kemudian suaminya Abu al-Ash turut berhijrah ke Madinah dan memeluk agama islam seperti isterinya. Zainab meninggal dunia pada tahun 8 Hijrah meninggalkan suaminya Abu al-Ash dan anak perempuan mereka Umamah. 

Ruqaiyah

Ruqaiyah merupakan anak perempuan kedua Nabi Muhammad bersama isteri pertamanya Khadijah RA. Menurut catatan sejarah, Ruqaiyah telah diinikahkan oleh Rasulullah SAW dengan sahabatnya Uthman bin Affan. Ruqaiyah dan Uthman mendapat seorang anak lelaki bernama Abdullah ketika di Habshah. Namun Abdulllah meninggal dunia ketika berumur 6 tahun semasa berada di Madinah.

Selepas kematian anaknya, Ruqaiyah pula jatuh sakit dan mengidap demam yang tinggi. Uthman bin Affan setia di sisi isterinya sepanjang beliau sakit dan tidak menyertai perang Badar di atas nasihat Nabi Muhamad. Akhirnya Ruqaiyah meninggal dunia pada hari yang sama Zaid bin Haritsah menyampaikan berita kemenangan umat Islam di Badar.

Fatimah

Fatimah merupakan anak perempuan bongsu Nabi Muhamad bersama isteri pertama baginda Khadijah RA. Fatimah adalah puteri yang paling disayangi Rasulullah SAW. Menurut catatatn sejarah, Fatimah telah dinikahkan oleh Rasulullah SAW dengan Ali bin Abi Thalib RA. Pasangan ini dikurniakan putera pertama yang dinamakan Hassan pada tahun 3 Hijrah.

Setahun kemudian Hussin dilahirkan dalam bulan Rejab setahun berikutnya. Manakala anak ketiga mereka Zainab lahir pada tahun 4 Hijrah dan dua tahun kemudian lahirlah anak keempat mereka yang dinamakan Ummu Kalthum.

Fatimah adalah anak yang paling mirip dengan Nabi Muhammad dari gaya bicara dan gaya berjalannya. Apabila Fatimah datang ke rumah Nabi Muhamad, baginda akan menyambut Fatimah dengan menciumnya dan duduk bersamanya. Kecintaan Rasulullah SAW terhadap Fatimah boleh digambarkan dalam hadith berikut:

“Fatimah adalah sebahagian dariku. Barangsiapa membuatnya marah, maka dia juga telah membuatku marah.” (Hadith riwayat Bukhari)

Baginda juga bersabda:

“Sebaik-baik wanita penduduk syurga adalah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Maryam binti Imran, Asiah bin Muzahim, isteri Firaun.” (Hadith riwayat Ahmad).

Fatimah adalah satu-satunya anak Nabi Muhamad yang hidup ketika baginda wafat. Enam bulan setelah selepas baginda wafat , Fatimah pula meninggal dunia pada 2 Ramadhan tahun 11 Hijrah dan dimakamkan di Baqi’. Fatimah adalah contoh wanita mulia yang wajib dijadikan idola oleh kita.

nama anak nabi
Sumber: Menzour

Ummu Kalthum

Ummu Kalthum adalah puteri ketiga Rasulullah SAW bersama Khadijah RA. Setelah Ruqaiyahmeninggal dunia, Rasulullah SAW menikahkan Uthman Al-Affan dengan Ummu Kalthum. Itulah sebabnya kenapa Uthman diberi nama Dzu Nurain (pemilik dua cahaya) kerana menikahi dua puteri Rasulullah.

Ummu Kalthum meninggal dunia pada bulan Sya’ban tahun 9 Hijrah tanpa meninggalkan cahayamata kepada Uthman Al-Affan. Jenazah Ummu Kalthum dimakamkan bersebelahan dengan kakaknya Ruqaiyah RA.

Itulah dia info tentang anak Nabi Muhammad yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda semua. Jika anda sukakan artikel ini, pastinya anda juga akan berminat untuk membaca perkongsian kami tentang senarai isteri Nabi Muhammad, kepentingan amalan selawat ke atas Nabi Muhammad, dan kisah Nabi Adam.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.