Bagi ibu mengandung, minum air gula merupakan salah satu daripada prosedur yang boleh menjadi mimpi ngeri. Berpuasa sebelum minum air gula mungkin takde masalah, tapi untuk minum air gula itu sendiri, mak aihh boleh termuntah dibuatnya. Dalam keadaan perut tengah kosong akibat berlapar, tiba-tiba masuk pula air gula dengan rasa macam tu, jenuh tahan daripada termuntahkan semula air gula yang diminum.

Dulu-dulu takde prosedur minum air gula untuk ibu mengandung. Baru beberapa tahun kebelakangan ini sahaja prosedur ini wujud di Malaysia. Pastinya anda tertanya-tanya apa benda air gula yang wajib diminum tu? Siapa yang kena minum?

Apa tujuan minum air gula semasa mengandung? Kalau termuntah atau sengaja tak minum adakah ianya merbahaya? Paling penting sekali, ada tak tips supaya tak termuntah semasa minum air gula?Istimewa untuk anda, jom kami kongsikan info lengkap tentang minum air gula semasa mengandung.

minum air gula
Sumber: Siraplimau

Apakah dia prosedur minum air gula semasa mengandung?

Minum air gula atau nama lainnya Ujian MGGT (Modified Glucose Tolerance Test) adalah prosedur yang dilakukan ke atas ibu mengandung yang mempunyai risiko mendapat kencing manis semasa mengandung atau diabetes gestasi. Apabila seorang ibu mengandung minum air gula yang disediakan, ujian yang dilakukan akan mengesan sekiranya ibu tersebut mengalami kencing manis semasa mengandung.

Ini kerana mengesan masalah kencing manis semasa mengandung pada tahap awal adalah sangat penting agar ianya dapat dipantau dan dikawal. Kencing manis semasa mengandung yang tidak dikawal akan menyebabkan berlakunya komplikasi yang buruk seperti pre-eclampsia yang boleh menjejaskan nyawa ibu dan bayi dalam kandungan.

Siapakah yang perlu minum air gula semasa mengandung?

Menurut prosedur yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, ibu-ibu meengandung wajib minum air gula sekiranya rekod mendapati bahawa beliau jatuh ke dalam salah satu daripada kategori berikut:

  • Ibu mengandung yang masuk dalam kategori obese iaitu BMI melebihi 30
  • Ibu mengandumg yang mempunyai sejarah diabetes gestasi semasa kandungan yang sebelumnya
  • Ibu mengandung yang pernah melahirkan bayi besar
  • Ibu mengandung yang mempunyai sejarah keluarga pengidap kencing manis
  • Ibu mengandung yang berumur 25 ke atas
  • Ibu mengandung yang pernah mengalami keguguran
  • Ibu mengandung yang pernah mengalami bayi meninggal dalam kandungan
minum air gula
Sumber: Fatinbella

Bagaimanakah prosedur minum air gula untuk ibu mengandung dilakukan di klinik?

Bagi ibu yang mengandung buat kali pertama dan belum pernah minum air gula semasa mengandung, pastinya anda ingin tahu bagaimanakah prosedur minum air gula semasa mengandung dilakukan. Apakah langkah-langkahnya? Untuk makluman anda, prosedur minum air gula buat ibu mengandung adalah seperti berikut:

  • Setelah mendapat tarikh untuk melakukan ujian air gula, ibu mengandung perlu berpuasa bermula dari malam sebelumnya. Ibu mengandung juga dinasihati untuk makan seperti biasa untuk 3 hari sebelum ujian dilakukan. Elakkan daripada makan berlebihan atau mengurangkan makanan pada masa tersebut. Elakakn juga daripada mengambil makanan seperti coklat, kek, yogurt, dan makanan manis yang lain. Ibu harus berhenti makan selewatnya pada pukul 10 malam pada malam yang berkenaan dan mula berpuasa sehingga keesokan paginya.
  • Ibu mengandung dikehendaki datang seawal 8 pagi ke klinik dan ambil nombor giliran.
  • Darah pertama akan diambil iaitu fasting blood sugar. Ibu mengandung masih belum boleh makan lagi.
  • Kemudian ibu mengandung akan diberi minum air gula pekat iaitu dibancuh dengan sukatan 75gm glukosa dan 250ml air. Air gula yang disediakan di klinik kerajaan biasanya tidak berperisa dan sedikit suam. Bagi klinik swasta pula air gulanya mempunyai perisa yang lazat seperti blackcurrant atau strawberi.
  • Selepas minum air gula, ibu mengandung masih belum boleh makan tapi sudah boleh minum air kosong sahaja. Jangan minum air manis atau makan kerana ia akan membatalkan ujian dan menyebabkan anda perlu mengulang ujian yang sama sekali lagi.
  • Ibu mengandung perlu menunggu selama 2 jam sebelum pengambilan darah kedua yang dipanggil sebagai two hours post prandial.
  • Selepas ujian darah kedua dilakukan, ibu mengandung boleh makan seperti biasa. Keputusan ujian akan diberikan pada temujanji yang seterusnya.

Tips penting supaya tak muntah semasa minum air gula

Kami nak berkongsi tips penting yang membantu anda supaya tak muntah semasa minum air gula. Kalau anda termuntah, anda perlu minum semula air gula tadi. Lagi susah kan? Apa yang perlu anda lakukan ialah:

  • Pastikan anda minum air gula apabila ia masih suam. Jangan berlengah. Bila dah sejuk, rasanya lebih teruk.
  • Minum sambil menahan nafas dan pastikan anda habiskan dalam sekali teguk kerana rasanya akan menyebabkan anda berasa loya dan nak muntah kalau perlu diminum berkali-kali.
  • Habis minum, terus berkumur untuk membuang rasa gula dalam mulut. Sambil berkumur, kawal diri agar tak termuntah.
  • Kalau rasa nak muntah juga, berjalan-jalan di luar mengambil udara segar dan alihkan fikiran anda dengan perkara lain.

Itulah dia info tentang minum air gula semasa mengandung yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Kami doakan semoga anda baik-baik sahaja semasa melakukan ujian minum air gula nanti.

Jangan lupa amalkan tips yang kami kongsikan tadi. Insya Allah ianya sangat membantu. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang susu kambing untuk ibu mengandung, alahan ibu mengandung, dan khasiat safron untuk ibu mengandung.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.