Masalah kekurangan susu badan sering merisaukan para ibu. Mana taknya, susu ibu ialah minuman malah makanan terbaik untuk bayi. Selain dapat melindungi bayi daripada pelbagai penyakit semasa mereka masih kecil, ia dapat memberi nutrien yang lengkap.

Tak semua ibu beruntung dapat memberikan susu badan untuk anak-anak mereka sehingga berumur dua tahun. Ada yang terpaksa menghentikan pemberian susu badan lebih awal dan menggantikannya dengan susu formula.

Sebab Susu Badan Kurang

Terdapat beberapa sebab masalah kurang susu badan boleh berlaku, antaranya:

  • Stres
  • Kurang minum air
  • Pengambilan ubat-ubatan
  • Bayi mula kurang menyusu
  • Bayi tak menyusu dengan betul
  • Toksik dalam badan
  • Susu lambat keluar
  • Pemberian susu formula
  • Posisi menyusu yang tak betul
  • Pemakanan yang kurang nutrisi

Dalam artikel ni, penulis akan memberi tips untuk menambah susu ibu dengan pemakanan semula jadi. Salah satu sebab berlakunya masalah kekurangan susu badan ialah disebabkan oleh faktor pemakanan.

Ibu yang baru melahirkan anak perlu mengamalkan pemakanan seimbang. Malahan, makanan yang berkhasiat akan menghasilkan susu ibu yang berkualiti tinggi. Apabila diberikan susu yang berkualiti, ia mampu mengenyangkan bayi dengan lebih cepat dan sistem imun mereka juga berfungsi secara optimum.

Di sini, penulis sertakan senarai milk booster semula jadi untuk mengatasi masalah kekurangan susu ibu. Jom semak!

mil booster semulajadi

Imej via Bidadari

1.Oat

Bagi masyarakat Amerika Utara, oat merupakan pemakanan paling popular sebagai milk booster. Oat kaya dengan sumber antioksida, zat besi dan serat. Selain dimakan sebagai bubur, oat juga dijadikan smoothies, mufin, lactation cookies dan sebagainya.

Kalau anda tak suka makan oat, apa kata kreatifkan cara penyediaannya. Jenis oat yang terbaik ialah rolled oat kerana ia lebih berkhasiat dan tinggi serat.

2.Halba

Dalam kebanyakan masakan India, halba digunakan secara meluas. Halba merupakan sejenis rempah yang mempunyai bau yang unik dan menyedapkan rasa masakan. Jangan tak tahu, halba dapat menambahkan susu ibu.

Selain ditambah ke dalam teh, halba juga boleh dimasukkan dalam masakan seperti bubur atau kari. Dikatakan bahawa halba dapat mengaktifkan kelenjar susu dan memperbanyak susu ibu.

3. Jintan Manis

Penggunaan jintan manis sebagai milk booster sangat terkenal di negara Eropah. Jintan manis mempunyai fitoestrogen yang dapat meningkatkan keupayaan payudara dalam menghasilkan susu.

Selain digunakan dalam masakan, jintan manis juga boleh ditambah ke dalam minuman. Ia bukan saja dapat tambahkan susu ibu, malah dapat mengurangkan masalah kembung perut bayi.

4. Kayu Manis

Kayu manis bukan saja merupakan milk booster tapi juga memberikan rasa pada susu badan. Disebabkan susu berbau wangi, bayi akan kerap menyusu. Sama seperti halba dan jintan manis, kayu manis boleh dimasukkan ke dalam teh.

Selain itu, anda juga boleh pelbagaikan cara penyediaanya selain daripada dimasukkan sebagai penyedap rasa masakan. Anda boleh menggunakan serbuk kayu manis untuk membuat roti, biskut dan kek.

5. Alfalfa

Alfalfa digunakan sejak zaman-berzaman sebagai bahan perubatan herba. Ia merupakan sumber makanan utama untuk ternakan tenusu sebagai milk booster. Alfalfa kaya dengan serat, protein, vitamin, garam mineral dan antioksida.

Anda boleh membeli makanan tambahan yang berasaskan alfalfa di farmasi. Ada yang berbentuk kapsul dan serbuk minuman.

6. Kekacang

Kekacang seperti gajus, badam, kacang tanah dan macadamia bukan saja enak dijadikan kudapan, malahan kaya dengan sumber protein. Oleh itu, kekacang dipercayai boleh menjadi milk booster yang berkesan.

Selain dimakan begitu saja, kekacang boleh dijadikan topping untuk salad, dijadikan kek dan biskut, dibuat bubur dan sebagainya.

7. Daun Moringa

Siapa sangka pokok yang daunnya tak begitu popular merupakan makanan super. Dalam masyarakat India, daun moringa digunakan dalam masakan dan perubatan. Ia sangat kaya dengan zat besi yang dipercayai dapat meningkatkan pengeluaran susu ibu.

Dalam satu kajian yang dilakukan, seorang ibu yang makan daun moringa setiap hari dapat mengeluarkan susu ibu secara berganda berbanding ibu yang tak memakannya. Daun ini boleh digoreng seperti memasak sayur biasa atau dijadikan masak lemak.

8. Betik Muda

Dalam masyarakat Cina, betik muda sering dijadikan sup untuk ibu yang sedang pantang bersalin. Biasanya betik muda akan dimasak dengan ikan sehingga betik menjadi lembut dan supnya menjadi warna putih.

Sup ini kaya dengan protein, vitamin dan beta kerotena. Jika anda tak lalu nak makan sup betik ni, anda boleh rebus dan campurkannya dengan salad. Selain itu, anda boleh jadikannya masak lemak atau digoreng bersama sayur-sayur lain.

9. Kurma

Buah kurma merupakan salah satu buah yang paling banyak disebut dalam al-Quran. Kurma sangat kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C serta niasin. Tak kira kurma kering atau segar, kedua-duanya sangat bagus.

Bagi masyarakat Timur Tengah, ibu yang baru lahirkan anak akan terus makan kurma. Selain senang dihadam, kurma juga merupakan milk booster terbaik. Selain boleh dimakan begitu saja, anda boleh jadikannya minuman.

10. Peria

Mungkin peria bukan sayur pilihan kebanyakan orang kerana rasanya yang pahit. Tapi jangan lupa, yang pahit itulah ubat terbaik. Peria kaya dengan vitamin C, antioksida dan menyerap zat besi dengan baik.

Peria dapat meningkatkan pengeluaran susu ibu jika dimakan setiap hari. Anda boleh menjadikannya sebagai masakan atau jus.

11. Soya

Makanan berasaskan soya seperti tempe, tauhu dan minuman soya bukan saja lazat tetapi juga banyak nutrien. Ia sangat kaya dengan protein dan kalsium. Jika nak tambah susu badan, anda boleh menambahkan menu berasaskan soya dalam makanan harian anda.

Ingat, minum air soya bukan untuk mendapatkan anak yang putih gebu tetapi untuk memberikan zat dalam susu ibu.

12. Hababatus Sauda

Habbatus sauda yang juga dikenali sebagai jintan hitam. Ia mempunyai kombinasi rasa pahit dan pedas dan sering digunakan dalam masakan dan rawatan alternatif. Bahagian lemak yang terdapat dalam habbatus sauda mampu melancarkan pengeluaran susu.

Diharapkan perkongsian ni dapat membantu para ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu ibu. Yang paling penting, jangan cepat mengalah jika ada masalah ini. Kaum ibu perlu mempunyai ilmu dalam melancarkan pengeluaran susu.

Selain menjaga pemakanan, mereka juga perlu kerap memberikan susu kepada anak-anak. Selain itu, rajin urut payudara agar susu dapat keluar dengan lancar. Dengan gabungan semua tips ni, dengan izin Allah masalah kurang susu dapat diselesaikan.

*Jemput juga baca artikel sukatan susu untuk bayi dan punca bayi tidak mahu minum susu formula

Rujukan

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.