Toksin yang terkumpul didalam badan akan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan termasuk berasa letih, lemah, tidak bersemangat, dan tidak bermaya. Malah toksin yang terlalu banyak akan menyebabkan badan anda gagal menyerap semua nutrien dari vitamin dan minuman kecantikan yang anda ambil setiap hari.

Toksin dalam badan boleh dikeluarkan dengan melakukan proses detoks. Terdapat pelbagai kaedah detoks secara semulajadi dan selamat yang boleh anda lakukan. Jom kami kongsikan cara dan petua untuk menghilangkan toksin dalam badan.

membuang toksin dari badan
Sumber: Sbs

1. Air kelapa muda

Air kelapa muda dan isinya adalah salah satu cara detoks semulajadi yang paling mujarab dengan kos yang rendah dan tidak membebankan. Air kelapa mempunyai bahan yang mampu meneutralkan semula toksin yang ada didalam badan anda.

Pengambilan air kelapa muda setiap hari akan menyahtoksin dan memberikan anda kesihatan yang lebih baik. Nak lagi berkesan, anda boleh campurkan sedikit perahan limau nipis ke dalam air kelapa muda sebelum diminum. Bukan sahaja badan anda akan bersih daripada toksin yang merbahaya malah badan anda juga akan berasa segar.

2. Garam epsom

Garam epsom atau nama popularnya epsom salt merupakan sejenis garam semulajadi yang telah digunakan sejak turun-temurun untuk menyahtoksin dari badan. Anda boleh dapatkan garam epsom di farmasi, Watsons atau Guardian. Cara untuk membuang toksin dari badan menggunakan garam epsom adalah seperti berikut:

  • Masukkan garam epsom ke dalam tab mandi, masukkan air suam.
  • Rendamkan badan anda di dalam tab mandi tersebut selama yang mungkin supaya kulit anda menyerap garam tersebut.
  • Sekiranya anda tidak mempunyai tab mandi, boleh juga masukkan garam epsom ke dalam besen dan rendamkan kaki anda. Kulit di bahagian kaki anda akan meresap garam epsom dan aliran darah akan membawa garam epsom ke seluruh tubuh badan anda.

3. Epal dan kulit kayu manis

Epal dan kulit kayu manis telah lama digunakan oleh orang barat sebagai salah satu cara untuk membuang toksin dari badan. Caranya sangat mudah, walau sesibuk mana pun anda, pasti akan sempat untuk menyediakan air detoks ini. Bahan-bahan yang diperlukan dan cara-caranya adalah seperti berikut:

  • Ambil sebiji epal hijau. Buang kulitnya dan potong kecil.
  • Ambil satu batang kulit kayu manis, basuh.
  • Ambil satu bekas bertutup seperti jag atau bekas minuman. Masukkan epal dan kulit kayu manis tadi, kemudian isikan air masak. Tutup bekas air tadi, masukkan ke dalam air sejuk. Biarkan semalaman.
  • Keesokan paginya, minum air detoks tadi selepas bangun tidur dengan perut yang kosong.

Bagaimana air detoks campuran epal dan kulit kayu manis membantu membuang toksin dari badan anda? Epal merupakan buah yang sangat tinggi dengan serat dan membantu merangsang penghasilan cecair hempedu yang sangat penting dalam proses membuang toksin dari badan. Malahan dalam epal juga terdapat pectin yang membantu dalam proses detoks logam berat dari tubuh badan.

Sementara pada kulit kayu manis pula terdapat sejenis zat yang merangsang penghasilan insulin. Aktiviti penghasilan insulin akan melancarkan proses metabolisme glukosa sehingga menstabilkan kadar gula dalam darah.

membuang toksin dari badan
sumber: Glassticwaterbottle

4. Kurangkan merokok

Sekiranya anda adalah seorang perokok, langkah pertama yang perlu anda lakukan dalam usaha untuk membuang toksin dari badan ialah dengan cara mengurangkan rokok secara perlahan-lahan dan akhirnya anda akan berhenti merokok.

Ini kerana dalam setiap sedutan rokok yang anda ambil, asap yang masuk ke dalam paru-paru anda sarat dengan pelbagai bahan kimia merbahaya dan toksin yang memberikan kesan buruk kepada tubuh badan. Berhenti merokok bukan sahaja dapat membantu membuang toksin dari badan malah ia boleh menyelamatkan nyawa anda.

5. Kurangkan pengambilan gula putih

Jika anda serius untuk membuang toksin dari badan, sila kurangkan pengambilan gula putih dalam pemakanan seharian. Ketahuilah bahawa gula putih merupakan racun tersembunyi yang ramai orang tak sedar.

Jika anda berjaya mengurangkan pengambilan gula putih, bermakna anda telah berjaya melakukan detoks untuk menyahtoksin dari badan.

6. Kurangkan pengambilan makanan berproses

Makanan berproses seperti nugget, hotdog, burger, sos, makanan dalam tin, makanan segera, dan sebagainya bukanlah makanan yang sihat. Ia kaya dengan lemak tepu yang bukan sahaja akan menyebabkan badan anda mengumpul toksin, malah ia juga merupakan punca masalah kegemukan yang anda alami.

Oleh itu, kurangkan pengambilan makanan berproses. Lebihkan makan makanan sebenar, semulajadi, dan segar.

membuang toksin dari badan
Sumber: Vegetablegardener

7. Pilih produk penjagaan diri yang semulajadi

Tahukah anda bahawa produk penjagaan diri yang anda gunakan setiap hari seperti syampu, sabun mandi, deodoran, dan sebagainya sarat dengan bahan kimia yang akan diserap oleh kulit lalu menyebabkan terkumpulnya toksin dalam tubuh anda. Oleh itu, pilih produk penjagaan diri yang semulajadi tanpa bahan kimia merbahaya.

8. Kurangkan stress

Cara dan petua menghilangkan toksin dari badan yang seterusnya ialah dengan cara mengurangkan stress. Ini kerana stress akan menyebabkan badan anda menyimpan banyak toksin dan melambatkan proses penghasilan enzim detoksifikasi di dalam hati.

9. Teh hijau

Teh hijau kaya dengan antioksida. Ia mempunyai pelbagai khasiat dan kebaikan termasuk anti penuaan, membantu menurunkan berat badan, malah membantu membuang toksin dari dalam badan. Ia mebyahtoksin dengan cara membersihkan dan melindungi hati dari toksin.

10. Bersauna

Cara membuang toksin dari badan yang terakhir ialah dengan cara bersauna. Apabila anda bersauna, badan anda akan berpeluh dengan banyak. Segala toksin dari badan akan keluar bersama peluh lalu menyihatkan badan anda.

membuang toksin dalam badan
Sumber: Hotelmair

Itulah dia cara membuang toksin dari badan yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jemput baca petua hilangkan sakit gigi dan petua hilangkan bisul

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.