Mengandung luar rahim juga dikenali sebagai mengandung anggur. Bahasa inggerisnya ialah ectopic pregnancy. Setiap wanita pasti berasa ngeri apabali mendengar perkataan mengandung luar rahim. Jom kami kongsikan info tentang mengandung luar rahim.

mengandung luar rahim

Sumber: Expertchikitsa

Apa yang dimaksudkan dengan mengandung luar rahim?

Dalam bahasa Inggeris, istilah yang digunakan ialah ectopic pregnancy. Perkataan ectopic bermaksud “di tempat yang salah”. Dan seperti namanya, kehamilan ektopik bermaksud kehamilan yang membesar di luar rahim ibu.

Dalam kebanyakan kes kehamilan di luar rahim, implantasi berlaku dalam tiub falopio. Apabila janin berkembang, ia menyebabkan kesakitan dan pendarahan. Jika dibiarkan, tiub falopio tersebut boleh pecah dan mengakibatkan pendarahan dalaman.  Ini merupakan kes kecemasan dan boleh mengancam nyawa.

Kehamilan diluar rahim tidak bertahan lama dan harus digugurkan dengan segera.

Bagaimana mengandung luar rahim boleh berlaku?

Telur yang telah disenyawakan akan mengambil masa lima hingga enam hari untuk bergerak dari ovari ke rahim melalui tiub falopio. Ia sepatutnya diimplantasi dan mula berkembang didalam rahim. Namun, masalah pada tiub falaio seperti tiub rosak, tersumbat atau sempit boleh menghalang telur yang telah disenyawakan daripada sampai ke destinasi yang sepatutnya. Oleh itu, ia akan terimplan di dinding tiub, bukannya di dinding rahim.

Siapa yang mempunyai risiko untuk mengandung luar rahim?

Kehamilan di luar rahim boleh berlaku kepada mana-mana wanita, tetapi risiko anda akan meningkat sekiranya anda:

  • Pernah menghidap penyakit radang pelvik yang sering kali disebabkan oleh jangkitan kelamin chlamydia dan menyebabkan kerosakan atau luka pada tiub falopio. Terdapat tanda-tanda penyakit radang pelvik dalam separuh daripada kes kehamilan di luar rahim yang dibedah.
  • Mengalami endometriosis tiub. Anda lebih berisiko kerana ini meningkatkan risiko calar dan luka pada tiub falopio.
  • Pernah membuat pembedahan di bahagian perut, termasuk pembedahan membuang apendiks, caesarean atau pembedahan pada tiub falopio seperti pembalikan sterilisasi.
  • Hamil melalui kaedah IVF. Anda seharusnya membuat imbasan awal untuk melihat di mana embrio telah diimplantasi.
  • Menggunakan IUD yang mengeluarkan hormon progesteron atau jika anda mengambil pil mini pencegah kehamilan. Kedua-duanya dikaitkan dengan kadar kehamilan di luar rahim yang sedikit tinggi.
  • Merokok.
  • Pernah mengalami kehamilan di luar rahim. Risiko anda meningkat daripada 1 dalam 100 kepada 1 dalam 10.
  • Risiko hamil di luar rahim juga meningkat apabila umur semakin bertambah.
mengandung luar rahim

Sumber: Npr

Apakah tanda atau simptom mengandung luar rahim?

Agak sukar untuk mengenal pasti kehamilan di luar rahim kerana ia mungkin bermula dengan tanda-tanda yang sama dengan haid atau ancaman keguguran seperti senggugut dan keluar sedikit darah. Walau bagaimanapun, ada beberapa simptom awal yang boleh membantu mengenal pasti kehamilan di luar rahim seperti:

  1. Pendarahan faraj yang tidak normal. Darah ini biasanya berbeza daripada haid biasa. Sama ada ia lebih banyak atau sedikit, dan mungkin warnanya lebih gelap daripada biasa dan cair. Sesetengah wanita menggambarkannya seperti jus prun.
  2. Sakit yang teruk dan berterusan di satu bahagian pada bawah perut. Ini adalah simptom yang biasa. Jika anda mengalaminya dan anda mengesyaki anda hamil, wajib terus berjumpa doktor.

Jika kehamilan di luar rahim tidak dikenal pasti dari awal, dan tiub anda menegang akibat pembesaran embrio sehingga ia pecah, maka anda akan mengalami simptom-simptom berikut:

  • Sakit yang teruk dan berlaku tiba-tiba, dan beransur-ansur merebak ke seluruh bahagian perut.
  • Berpeluh, rasa seperti hendak pitam, cirit-birit atau terdapat darah dalam najis.
  • Tidak sedarkan diri akibat pendarahan dalaman yang teruk.
  • Sakit pada hujung bahu. Ini boleh berlaku jika pendarahan dalaman itu mengganggu organ dalaman lain seperti diafragma.

Apa yang anda perlu lakukan jika anda syak sedang mengandung luar rahim?

Jika anda mengalami simptom-simptom yang kami sebutkan di atas, sila berjumpa  doktor dengan segera. Jika tiub falopio anda telah pecah, anda perlu terus dibedah. Tetapi dalam kebanyakan kes, kehamilan di luar rahim dapat dikesan awal  dan pembedahan dapat dirancang, jika perlu.

Anda mungkin akan menjalani pemeriksaan dalaman untuk mengesan lokasi kehamilan. Ujian darah juga perlu dilakukan untuk mengukur tahap hormon chorionic gonadotrophin (hCG). Ia bukan sahaja akan memberitahu samada anda hamil atau tidak, malah akan menunjukkan samada tahap hCG anda lebih rendah daripada yang normal, yang mana ia merupakan salah satu tanda kehamilan di luar rahim.

Doktor juga akan menjalankan pemeriksaan ultrabunyi melalui faraj memandangkan kehamilan ini mungkin tidak dapat dikesan melalui imbasan pada perut. Kadangkala, keputusannya tidak tepat dan anda mungkin perlu membuat imbasan semula selang beberapa hari.

Jika doktor mengesyaki anda  mengandung luar rahim tetapi belum dipastikan melalui pemeriksaan ultrabunyi, anda perlu menjalani pemeriksaan laparoskopi. Ia dilakukan dengan cara memasukkan sejenis alat pemerhati kecil ke dalam perut melalui satu potongan kecil untuk memeriksa tiub-tiub anda.

mengandung luar rahim

Sumber: Medicalnewstoday

Apa yang akan dilakukan oleh doktor apabila anda disahkan mengandung luar rahim?

Sebaik sahaja anda disahkan mengandung luar rahim dan tiub falopio anda masih belum pacah, pakar bedah akan menggunakan kaedah laparoskopi untuk memotong tiub falopio dan mengeluarkan janin tersebut. Tiub falopio anda tidak akan dibuang jika ia boleh dibaiki. Kaedah laparoskopi adalah lebih baik daripada pembedahan terbuka kerana:

  • Pembedahan ini lebih cepat.
  • Kurang darah yang hilang semasa pembedahan ini.
  • Anda tidak perlu tinggal lama di hospital.
  • Kurang kesakitan buat anda.

Jika tiub falopio anda telah pecah, doktor biasanya akan mencadangkan pembedahan perut terbuka kerana ini merupakan cara yang paling cepat untuk mengurangkan kehilangan darah. Dalam sesetengah kes, pemindahan darah mungkin diperlukan untuk menggantikan darah yang hilang. Samada tiub dan kehamilan itu dikeluarkan bersama-sama, atau kehamilan dikeluarkan dan tiub dibaiki bergantung kepada:

  • Tahap kerosakan tiub tersebut.
  • Tahap kesihatan tiub falopio yang satu lagi.
  • Keinginan anda untuk hamil lagi.

Dalam kes di mana tiub falopio dapat diselamatkan, kehamilan tersebut terus berlangsung dan memerlukan ubat metotreksat untuk menggugurkannya atau pembedahan susulan untuk mengeluarkannya.

Adakah mengandung luar rahim boleh menjejaskan kesuburan?

Jawapannya ialah ya. Jika tiub-tiub falopio anda tidak rosak selepas kehamilan di luar rahim, maka kebarangkalian untuk anda hamil lagi adalah sama. Namun jika salah satu daripadanya telah pecah atau rosak teruk, peluang anda untuk mengandung lagi akan menurun, terutamanya jika tiub yang satu lagi itu turut terjejas akibat penyakit radang pelvik atau endometriosis.

mengandung luar rahim

Sumber: Hellosehat

Apakah kebarangkalian untuk anda mengandung luar rahim lagi?

Terdapat kira-kira 10 hingga 15 peratus risiko untuk anda mengandung luar rahim pada kehamilan yang seterusnya. Walau bagaimanapun, risikonya bergantung kepada tahap kesuburan anda  dan tahap kerosakan yang telah berlaku.

Tidak banyak yang boleh anda lakukan untuk mengelakkan kehamilan di luar rahim daripada berulang di masa hadapan. Namun, jika ianya berlaku akibat jangkitan klamidia, anda boleh mengambil antibiotik untuk merawatnya dan dengan itu mengurangkan kerosakan yang lebih teruk ke atas tiub anda.

Itulah dia info tentang mengandung luar rahim yang ingin kami kongsikan kepada anda untuk kali ini. Semoga bermanfaat.

Sumber: Babycenter

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.