Menerima kehadiran bayi dalam keluarga adalah sesuatu yang sangat mengujakan, bukan? Pelbagai perancangan telah dibuat oleh kita sebelum bayi lahir lagi.

Apabila bayi sudah lahir, ibu ayah bukan sahaja perlu memenuhi keperluan fizikal mereka seperti menukar lampin, menukar pakaian, menyusu, memandikan dan menidurkan bayi, tetapi juga ibu ayah sudah boleh mula bermain dengan bayi bagi merangsang perkembangan mereka.

Tahukah anda, bayi yang baru berusia sehari pun sudah boleh diberikan ‘Tummy Time’. Ia boleh dilakukan selepas bayi selesai menyusu dalam tempoh yang singkat sahaja iaitu selama satu atau dua minit.

Foto Kredit : thebump.com

APA ITU ‘TUMMY TIME’ ?

‘Tummy Time’  merupakan keadaan di mana anak menampung badannya dengan berada di atas perutnya atau dengan kata mudahnya meniarap.

Ibu ayah boleh berbual dengan bayi pada jarak yang dekat, merangsang bayi dengan permainan yang mempunyai bunyi atau meletakkan cermin di hadapan bayi semasa mereka meniarap bagi memberi stimulasi kepada mereka.

Foto Kredit : tochici.bg

5 MANFAAT ‘TUMMY TIME’

Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa ‘tummy time’  ini penting untuk bayi? Berikut merupakan 5 manfaat ‘tummy time’  ini buat bayi.

1. RANGSANG KOMUNIKASI

Sambil bayi meniarap, ibu ayah boleh bercakap dengan bayi sambil bertepuk-tepuk tangan. Ianya bertujuan untuk memberi stimulasi bagi meningkatkan ‘auditory attention’  bayi.

Lebih seronok lagi jika ibu ayah meniarapkan bayi di atas perut ibu ayah sendiri kerana bayi akan nampak muka kita dengan lebih rapat. Menarik juga aktiviti ‘Tummy Time Baby’  di atas ‘Tummy Mummy’ dan ‘Daddy ’ begini.

Foto Kredit : theconversation.com

2. KUATKAN OTOT LEHER, DADA, BAHU DAN LENGAN

Otot leher, dada, bahu dan lengan merupakan otot-otot utama yang akan membantu bayi belajar pelbagai perkara. Antaranya, belajar menghisap susu dengan lebih efisien, mengangkat kepala ke kiri kanan, belajar merayap serta merangkak dengan lebih mudah.

Otot-otot yang kuat ini juga penting untuk keselamatan bayi itu sendiri. Sekiranya bayi tertidur meniarap atau mengiring, dia sudah cukup kuat untuk memusingkan kepalanya dan menyelamatkan hidungnya daripada tersembam atau lemas (semoga Allah jauhkan).

Foto Kredit : starbandkids.com

3. STIMULASI SENSORI DARI SEKITAR

Semasa meniarap, bayi dapat melihat persekitarannya. Tidaklah mereka hanya memerhatikan siling dan apa-apa objek yang berada di atas sahaja apabila asyik baring terlentang.

Apabila bayi dapat melihat persekitarannya, bayi akan terstimulasi dengan cahaya, objek dan pelbagai lagi input yang ada di sekitarnya yang mana ia dapat membantu perkembangan bayi.

Fotoo Kredit : parents.com

4. ELAK ‘FLAT HEAD’

‘Tummy time’  untuk mengelakkan ‘flat head’  atau kepala rata ini, bukan sahaja bertujuan untuk nampak kepala bayi cantik bulat semata-mata.

Apabila bayi tidak kuat otot lehernya, bayi berkemungkinan baring di sebelah bahagian sahaja. Maka, sebelah bahagian itu akan ‘flat’  dan dinamakan ‘plagiocephaly’  di mana jika ianya tidak dirawat, bentuk kepala bayi yang rata ini akan kekal sehingga bayi ini dewasa kelak.

Foto Kredit : vidaativa.pt

5. KURANGKAN KEMBUNG PERUT

Cuba beri bayi meniarap setiap kali selepas menyusu. Percaya atau tidak, bayi akan sendawa dengan kuat kelak. Dengan ini, semakin kurang risiko bayi kembung perut dan kurang potensi bayi meragam. “Happy Baby, Happy Mama, Happy Daddy”.

Foto Kredit : spektrum.de

SERONOKNYA ‘TUMMY TIME’ !

Banyak manfaat dengan aktiviti ‘tummy time’  bersama bayi ini, bukan? Ianya bukan sahaja dapat membantu perkembangan bayi, malah dapat mengeratkan ‘bonding’  antara ibu ayah dengan bayi.

Jom buat ‘Tummy Time’ !

Penulis: Siti 'Aisyah Rozalli

Siti 'Aisyah Rozalli

Merupa seorang Occupational Therapist. Bertanggungjawab melakukan penilaian perkembangan bagi mengenal pasti jika anak anda ada kelewatan dalam kefungsian hariannya. Rajin berkongsi tentang perkembangan awal kanak-kanak. Boleh dihubungi Facebooknya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.