Sebagai seorang yang beragama islam, seorang ibu yang baru melahirkan anak wajib untuk mandi nifas setelah darah nifasnya kering. Malangnya masih ada ibu yang tidak mengetahui perkara ini dan tidak mandi nifas pada waktu yang sepatutnya.

Ia adalah satu perkara yang sangat menyedihkan kerana akan menjejaskan ibadah kita seumur hidup. Ilmu tentang mandi nifas adalah ilmu fardhu ain yang wajib diketahui oleh suami dan isteri agar kita tidak terlepas daripada melakukannya apabila perlu.

Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan kepada anda info lengkap tentang mandi nifas termasuk hukumnya, cara mandi nifas, hikmah, dan tips untuk ibu baru bersalin cepat segar dan cantik berseri seperti tuan puteri semula. Pastinya anda tak sabar nak baca.

Apakah hukum mandi nifas ke atas ibu yang baru melahirkan?

Bersalin adalah satu proses yang menyakitkan dan membuatkan seorang ibu menjadi lemah dari segi fizikal dan mental. Salah satu daripada puncanya ialah kerana proses bersalin itu sendiri adalah sangat menyakitkan dan memenatkan. Selain itu, bersalin akan menyebabkan seorang ibu kehilangan banyak darah dari tubuh badan. Terdapat dua jenis darah yang keluar iaitu:

  • Darah wiladah iaitu darah yang keluar bersama bayi semasa ibu sedang bersalin dan mengeluarkan uri.
  • Darah nifas iaitu darah yang keluar selepas seorang ibu melahirkan dan lazimnya darah ini akan terus keluar sehingga 40 hari selepas bersalin atau mungkin juga ia sedikit pendek atu lebih panjang.

Walau bagaimana pun, ada ibu yang bersalin dan mengeluarkan darah wiladah namun tidak mempunyai darah nifas. Ia bukanlah sesuatu yang pelik. Selain bersalin, darah wiladah dan darah nifas juga berlaku kepada ibu yang keguguran atau mengalami anak meninggal dunia semasa berada dalam kandungan.

Apabila darah sudah kering dan tidak keluar lagi, maka ibu tersebut wajib mandi nifas atau mandi wiladah. Hukum mandi nifas dan mandi wiladah adalah wajib ke atas ibu yang melahirkan dan mengalami keguguran.

Persoalan yang selalu timbul ialah perlukah ibu tersebut melakukan mandi nifas dan mandi wiladah sebanyak dua kali dan secara berasingan. Jawapannya ialah tidak. Cukup Cuma mandi satu kali sahaja. Sebagai contoh, jika ibu tersebut Cuma mempunyai darah wiladah tanpa didatangi darah nifas, maka sebaik sahaja darah wiladahnya kering, maka ibu tadi boleh terus mandi wiladah dan dianggap sebagai suci dan boleh melakukan ibadah wajib seperti solat, puasa, dan lain-lain.

Bagi ibu yang didatangi darah wiladah dan darah nifas, perlu menanti sehingga darah nifa betul-betul kering sebelum mandi nifas. Tidak perlu mandi wiladah memandangkan keadaan diri yang masih berdarah nifas dan bukannya berada dalam keadaan suci.

Sebaik sahaja darah nifas kering, ibu tadi boleh terus mandi nifas. Cukup mandi sekali sahaja untuk meliputi darah nifas dan darah wiladah yang keluar. Sebaik sahaja anda mandi nifas, anda dianggap sebagai suci dan wajib melakukan ibadah seperti biasa.

Bagaimanakah cara untuk mandi nifas?

Mandi nifas adalah mandi wajib yang dilakukan oleh seorang wanita yang baru melahirkan apabila darah nifasnya sudah betul-betul kering. Cara mandi nifas yang bakal kami kongsikan sebentar lagi juga boleh digunakan untuk tujuan mandi wiladah. Cara mandi nifas adalah seperti berikut:

  • Pastikan anda sudah benar-benar bersih dan suci dari darah nifas atau wiladah. Darah sudah kering dan tiada darah baru yang keluar dari vagina anda.
  • Berniat. Ada dua cara untuk anda berniat mandi nifas. Anda boleh pilih salah satu daripada niat berikut: Sahaja aku mengangkat hadas wiladah dan nifas.” Atau “Sahaja aku mengangkat hadas besar.
  • Selepas anda berniat, boleh terus mandi nifas. Terlebih dahulu anda boleh mandi seperti biasa sambil bersyampu dan bersabun sehingga tubuh badan bersih dari sebarang kekotoran.
mandi nifas
Sumber: Wmar
  • Mulakan dengan membaca bismillah
  • Membasuh kedua belah tangan
  • Membasuh kemaluan sehingga bersih dari najis
  • Mengambil wudhu’ mengikut tertib
  • Menyiram kepala sebanyak 3 kali dimulai dengan bahagian kanan
  • Menyiram air ke seluruh tubuh badan dan memastikan air terkena pada setiap bahagian badan
  • Membasuh kaki

Perlu diingat bahawa wuduk anda akan terbatal sekiranya anda menyentuh kemaluan semasa mandi wajib, oleh itu jika anda mahu bersolat selepas mandi nifas, anda perlu mengambil wuduk semula selepas selesai mandi nifas.

Apakah tips untuk ibu lepas bersalin cepat cergas dan cantik berseri semula?

Sekarang kami nak kongsikan tips yang boleh anda amalkan supaya cepat cergas dan cantik berseri semula. Kalau anda amalkan tips yang kami kongsikan ini, insya Allah anda akan kelihatan berseri-seri apabila masuk kerja semula. Pastinya ramai yang akan cemburukan anda. Di antara tips yang boleh anda amalkan ialah:

  • Pastikan anda berpantang dengan betul. Amalan berbengkung, bertangas, mandian herba, dan bertungku bukanlah sesuatu yang sengaja direka dengan niat untuk menyusahkan kita. Namun ianya memang terbukti berkesan untuk kecantikan dan kecergasan diri.
  • Pastikan anda makan makanan berkhasiat dan mendapat semua nutrisi yang diperlukan sepanjang mengandung. Jangan makan ikan masin dan ikan bilis sahaja.
  • Pastikan anda mendapat rehat secukupnya semasa berpantang. Dapatkan bantuan suami dan orang sekeliling anda.
  • Jangan lupakan rutin penjagaan kulit muka sepanjang tempoh berpantang. Cuci muka, pakai penyegar dan pelembab supaya kulit muka anda kekal berseri

Itulah dia info tentang mandi nifas yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang tidak period selepas bersalin dan resepi lobak putih.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.