Rukun iman ada 6 perkara. Salah satu daripadanya ialah percaya kepada malaikat, iaitu rukun iman yang kedua. Malaikat adalah makhluk ciptaan Allah yang paling taat kepada Allah. Malaikat dibuat daripada api, sedangkan kita manusia dibuat daripada tanah liat yang busuk dan kotor. Malah malaikat adalah makhluk yang tidak berasa mengantuk, lapar, atau penat seperti manusia.

Dalam islam, terdapat banyak malaikat dan setiap satunya dicipta untuk tugas yang tertentu. Setiap malaikat mempunyai tugasan masing-masing. Mengajar tentang nama-nama malaikat dan tugasan mereka adalah aktiviti menarik yang boleh anda lakukan bersama anak-anak.

Istimewa untuk anda, jom kenali malaikat dalam islam untuk si kecil. Pastinya anda anda akan berasa seronok untuk mengetahui nama-nama malaikat dan kisah mereka.

Malaikat Raqib dan Malaikat Atid

Salah satu nama malaikat yang wajib anda perkenalkan kepada anak-anak ialah malaikat yang berada di bahu kiri dan kanan setiap manusia dan bertugas untuk mencatit setiap perbuatan yang dilakukan sepanjang hayat. Pastinya anak-anak anda akan berasa teruja bila mengetahui bahawa ada dua malaikat yang sentiasa mengikut dan duduk di bahu kiri dan kanan mereka.

Malaikat Raqib adalah malaikat yang duduk di bahu kanan dan bertugas untuk mencatat setiap kebaikan dan perkara kebajikan yang kita lakukan. Tugasnya ialah untuk mencatat pahala kita.

Sementara Malaikat Atid adalah malaikat yang duduk di bahu kiri dan sentiasa mencatat segala dosa yang kita dapat akibat perbuatan jahat dan mungkar yang kita lakukan di dunia. Di akhirat nanti, setiap manusia akan dihisab di hadapan Allah. Setiap dosa dan pahala akan dibentangkan untuk pengadilan.

"

Mengajar anak-anak tentang Malaikat Raqib dan Malaikat Atid bukan sahaja menyeronokkan malah ia akan mengingatkan anak-anak agar sentiasa takut untuk melakukan dosa dan berlumba-lumba untuk mendapat pahala memandangkan ada malaikat yang sentiasa mencatat segala apa yang kita lakukan.

Malaikat Mungkar dan Malaikat Nangkir

Ini adalah malaikat yang paling digeruni oleh umat islam. Ustaz dan ustazah selalu bercerita bahawa sebaik sahaja mayat dikuburkan, ia akan ditemani oleh dua malaikat yang akan menyoal mayat selama dia berada di dalam alam kubur. Kedua-dua malaikat ini bernama Mungkar dan Nangkir.

Jika sepanjang hidupnya mayat hidup dengan berlandaskan islam serta melakukan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan, maka dia akan dapat menjawab soalan yang ditanya.

Namun jika kita hidup sesuka hati tanpa memikirkan dosa pahala dan hari akhirat, di alam kubur nanti kita tidak akan mampu menjawab soalan yang ditanya oleh Malaikat Mungkar dan Malaikat Nangkir. Maka kita akan disiksa dengan teruk sehingga hari kiamat. Betapa azabnya siksa di alam kubur, pastinya kita akan ketakutan jika dapat mendengar jeritan para penghuni kubur yang sedang diseksa.

Malaikat Mikail

Malaikat Mikail bertugas untuk membawa rezeki kepada semua hidupan di muka bumi termasuk manusia, haiwan, dan tumbuh-tumbuhan. Tanggung jawab yang digalas oleh Malaikat Mikail ialah untuk memastikan:

  • Tumbuh-tumbuhan hidup dengan subur
  • Haiwan-haiwan membiak dengan banyak
  • Bumi mengeluarkan hasil galian yang banyak

Tugasan yang dilakukan tersebut ialah untuk memastikan semua hidupan di muka bumi mendapat rezeki yang banyak dan tidak putus. Pernah dengar orang tua berpesan agar tidak menggantung gambar manusia di dalam rumah, atau jangan simpan patung berupa binatang dalam rumah kerana dikhuatiri bahawa malaikat rahmat tak masuk ke rumah? Malaikat Mikail adalah malaikat rahmat yang dimaksudkan kerana tugasnya membawa rezeki.

malaikat dalam islam

Sumber: Amiislam

Malaikat Israfil

Malaikat seterusnya yang boleh anda perkenalkan kepada anak-anak ialah Malaikat Israfil yang bertugas untuk meniup sangkakala apabila tiba hari kiamat. Sebaik sahaja tiupan sangkakala berlaku, bumi akan hancur dan semua makhluk di atas muka bumi akan mati. Kemudian, Malaikat Israfil akan meniup sangkakala sekali lagi di mana manusia akan hidup semula dan berhimpun untuk hari akhirat.

Malaikat Jibrail

Tugas Malaikat Jibrail ialah untuk membawa wahyu daripada Allah SWT kepada Rasul dan Nabi. Salah satu kisah Malaikat Jibrail yang paling ikonik ialah peristiwa Rasulullah junjungan kita Nabi Muhammad mendapat wahyunya yang pertama.

Malaikat Jibrail memeluk Nabi Muhammad di Gua Hirak dan menyuruh baginda untuk membaca. Rasulullah yang tidak pandai membaca menggigil ketakutan dan pulang ke rumah ke pangkuan Siti Khadijah isteri yang tercinta. Wahyu merupakan ajaran islam yang datang dari Allah. Ia turun kepada para nabi dan rasul dan disemat menjadi kitab.

Sebagai contoh, wahyu yang turun kepada Nabi Muhammad ditulis sebagai kitab Al-Quran. Al-Quran merupakan mukjizat Nabi Muhammad dan Al-Quran menjadi pegangan kita sebagai umat Nabi Muhammad. Selain membawa wahyu, tugas lain Malaikat Jibrail ialah menguruskan bala dan malapetaka di muka bumi seperti berikut:

  • Gempa bumi
  • Banjir
  • Ribut
  • Tanah runtuh

Malaikat Ridhwan

Ini adalah malaikat yang menjaga pintu syurga. Hanya manusia yang bertaqwa kepada Allah akan dibenarkan untuk masuk ke syurga. Malaikat Ridhwan akan melayan penghuni syurga dengan baik dan penghuninya akan hidup bersenang-lenang di dalamnya dengan penuh bahagia.

Malaikat Malik

Malaikat Malik adalah penjaga pintu neraka. Mereka yang timbangannya mengandungi lebih dosa berbanding pahala akan dihumban ke dalam neraka dan diazab dengan seberet-berat siksaan. Penghuni neraka akan diazab berulang-kali mengikut dosa yang dilakukan.

malaikat dalam islam

Sumber: Thelinkcanada

Itulah dia perkongsian tentang nama-nama malaikat dalam islam yang ingin kami kongsikan pada hari ini. Semoga bermanfaat buat anda. Semoga keluarga kita semua dirahmati Allah dan dilimpahkan dengan keberkatan dan kasih sayang. Jika anda sukakan artikel ini, anda juga dijemput untuk membaca perkongsian kami tentang panduan sambut tahun baru cara islam, cara menghormati ibu bapa dan gaya asuhan ibu bapa.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.