Mendengar saja perkataan ‘kanser’ atau ‘barah’, jantung berdegup kencang dan macam-macam bayangan buruk terlintas di kepala. Begitu ngeri sekali penyakit yang belum ada ubat khusus untuk merawatnya setakat ni.

Penyakit kanser merupakan penyakit yang semakin ramai orang di dunia menghidapinya tanpa kira jantina dan umur. Jangan terkejut apabila kita membaca berita tentang bayi yang menghidap kanser seawal usia sebulan.

Menurut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kira-kira 19,000 daripada 100,000 rakyat Malaysia menghidap pelbagai jenis kanser. Namun, tahap kesedaran tentang penyakit kanser masih rendah.

Hampir 60 peratus kes kanser yang dilaporkan di negara ni dikesan pada tahap ke-3 dan ke-4. Malah, kira-kira 8.2 juta orang meninggal dunia akibat kanser pada tahun 2012 dan jumlah tersebut semakin meningkat saban tahun.

Bagaimana Penyakit Kanser Terjadi?

Menurut KKM, kanser terjadi apabila berlaku ketidakseimbangan replikasi dan tindak balas sel dalam badan. Maksudnya, bagi membolehkan tumbesaran badan berlaku, sepatutnya sel ni akan bertambah (replikasi) mengikut aturannya.

Namun, kadangkala sel ni bertambah secara tak normal yang mengakibatkan berlakunya ketumbuhan yang tak normal (tumor). Tumor dibahagikan kepada 2 jenis iaitu ketumbuhan bukan kanser dan kanser.

Ketumbuhan bukan kanser tak akan merebak ke bahagian tubuh atau organ yang lain. Kanser pula akan menyebabkan sel-sel kanser merebak ke bahagian lain jika tak dirawat. Jika merebak ke organ yang lain akan mengakibatkan komplikasi sistemik.

Apabila kehilangan fungsi multi organ dan juga komplikasi, ia boleh membawa maut. Apabila sel-sel kanser merebak di bahagian lain, ketumbuhan baru boleh terbentuk di organ tersebut.

Terdapat pelbagai jenis penyakit kanser, antaranya ialah:

  1. Leukemia
  2. Kanser ovari
  3. Kanser usus
  4. Kanser serviks
  5. Kanser hati
  6. Kanser otak
  7. Kanser perut
  8. Kanser paru-paru

Faktor Pemakanan Punca Utama Kanser

makanan punca kanser
Imej via Bidadari

Dalam artikel ni, penulis akan berkongsi 4 jenis makanan punca kanser yang perlu dikurangkan pengambilannya. Rupa-rupanya tanpa kita sedari, makanan-makanan ni sudah sebati sebagai hidangan harian rakyat Malaysia.

Pakar pemakanan dan perubatan telah menasihatkan kita agar kurangkan atau elakkan makanan berisiko tinggi ni. Namun, kadangkala kita alpa dengan peringatan tu. Tak dinafikan senarai yang akan diberikan ni merupakan makanan yang lazat. Namun, ada bahaya yang menanti.

Makanan Dan Minuman Tinggi Gula

Gula dikatakan makanan bagi sel-sel kanser untuk cepat merebak dan aktif. Hidangan pencuci mulut seperti kek, puding, biskut, donut, pastri, kuih-muih dan aiskrim misalnya mempunyai kandungan gula yang amat tinggi.

Pantang nampak promo kek atau minuman viral di kaca televisyen atau media sosial, semua orang berlumba-lumba nak cuba dulu. Tak hairanlah kita ketagihan gula dibuatnya. Malahan, elakkan minuman berkarbonat, kopi berkrim dan minuman 3 dalam 1 yang sememangnya tak bagus untuk diminum.

Apabila kita tak jaga kandungan gula dalam darah, kadar insulin akan meningkat, maka perkembangan sel kanser akan dirangsang. Oleh itu, hadkan pengambilan gula harian tak melebihi 10 sudu kecil sehari (50g).

Makanan Segera dan Proses

Dalam serba moden dan pantas, kalau boleh semuanya nak di depan mata saja. Kalau lapar, terus ke pandu lalu restoran makanan segera. Kalau anak-anak lapar, sedangkan kita sedang sibuk kemas rumah, tak susah mi segera ada.

Filem kegemaran sedang ditayangkan di televisyen, capai kentang goreng atau nuget di dalam peti sejuk. Goreng dan makan panas-panas. Aduh, nikmatnya bila dicicah dengan sos cili.

Ni la yang berlaku di setiap rumah saban hari. Bila dunia makin maju, sains dan teknologi juga berkembang pesat. Sudah pasti, bidang perubatan juga semakin meningkat kualitinya. Malangnya, masyarakat seakan-akan berlumba menempah penyakit pula.

Tahukah anda makanan segera dan diproses mempunyai kandungan bahan pengawet, bahan perasa dan pewarna yang tinggi? Sesetengah bahan kimia sintetik yang digunakan bersifat karsinogen. Karsinogen ialah agen-agen yang boleh meningkatkan pertumbuhan kanser.

Banyakkan makan makanan yang segar dan bukan yang sudah siap dibungkus. Demi kesihatan dan kebaikan keluarga kita, lebih baik penat sedikit untuk sediakan sendiri masakan. Elakkan membeli makanan segera dengan kerap.

Makanan Bergoreng Dan Dibakar

Makanan bergoreng seperti ayam goreng, karipap, popia, pisang goreng dan sebagainya mampu membuat air liur meleleh. Mana taknya, dengan bunyi ‘krap krup’ yang garing, sedar tak sedar laju saja masuk mulut.

Sebenarnya, makanan bergoreng mempunyai kandungan lemak yang tinggi. Selain itu, ada juga makanan bergoreng yang tinggi kanji dan mengandungi bahan yang dikenali sebagai akrilamida. Makanan seperti kentang goreng dan roti mempunyai kanji yang tinggi.

Akrilamida akan terbentuk apabila makanan digoreng pada suhu tinggi melebihi 120 darjah celsius. Malahan, makanan yang dibakar dan dipanggang juga mempunyai akrilamida. Ia tak terhasil apabila makanan dimasak dengan cara direbus dan dikukus.

Akrilamida sering dikaitkan dengan risiko kanser dan merupakan sejenis toksik bagi tubuh badan (WHO 2011). Kajian mendapati bahan ni dikenal pasti sebagai kontaminan atau bahan cemar dalam makanan tinggi karbohidrat.

Cara yang paling baik ialah pelbagaikan cara masakan di rumah. Anda boleh merebus, mengukus dan membuat sup. Jangan terlalu kerap menyediakan makanan yang bergoreng dan dibakar. Begitu juga apabila membeli makanan di luar.

Makanan Ringan

Pasti anda ada senarai jenama makanan ringan kegemaran bukan? Siapa yang tak suka makanan ringan? Dari kanak-kanak sampai ke orang tua, memang dah biasa mengunyah makanan ringan. Antaranya ialah keropok, kerepek, gula getah dan sebagainya.

Sebagai ibu bapa, pantaulah makanan anak-anak kita. Jika sesekali, tak ada masalah. Namun, jangan biarkan mereka membazirkan wang saku sekolah untuk membeli makanan ringan. Kita pun janganlah suka sangat belikan makanan ringan untuk anak-anak kita.

Makanan ringan sebenarnya ialah makanan proses yang langsung tiada khasiat. Ia sangat tinggi dengan bahan perasa MSG, garam, gula, pewarna dan bahan pengawet. Jadi, tak boleh dinafikan bahawa makanan ringan mempunyai kandungan bahan kimia yang tinggi.

Jika makan dengan kerap, dikhuatiri bahan kimia tersebut akan terkumpul dalam badan. Jika bahan kimia tu tak dapat dikeluarkan daripada tubuh badan, maka ia akan merangsang sel-sel kanser yang sememangnya sudah ada dalam badan seseorang.

Akhir kata, ubahlah tabiat pemakanan dengan cara yang lebih sihat. Amalkan gaya pemakanan yang disarankan oleh KKM. Bukan tak boleh makan langsung makanan-makanan yang disenaraikan di atas, tapi lebih baik dikurangkan. Lambat-laun kita dapat mengelaknya terus.

Selain menjaga pemakanan, amalkan gaya hidup aktif dan kurangkan stres dalam kehidupan. Dengan cara ni, penyakit kanser dapat dielakkan dengan lebih awal. Semoga artikel ni memberi maklumat tentang makanan punca kanser yang boleh dimanfaatkan oleh kita semua.

Rujukan

  1. Majalah Sains
  2. Myhealth.gov.my

Penulis: Zuraidah Muhidden

Zuraidah Muhidden

Seorang penulis bebas yang tak pernah jemu menulis.

    Tinggalkan Komen!


    Langgan Info Kami

    Berkaitan


    .