Bila sebut perkataan protein, pastinya anda akan terus terfikirkan ikan, daging ayam, daging lembu, dan sebagainya. Diet tinggi protein merupakan trend terkini bagi mereka yang sedang berusaha untuk menurunkan berat badan.

Apakah yang dimaksudkan dengan makanan protein? Apakah khasiatnya kepada tubuh badan? Apakah sumber protein yang terbaik?

makanan protein
Sumber: 1health

Apakah yang dimaksudkan dengan protein?

Protein ialah satu nutrien yang sangat penting kepada tubuh badan manusia. Ia merupakan salah satu daripada bahan binaan tisu badan dan dalam masa yang sama bertindak sebagai sumber tenaga sama seperti karbohidrat. Tahukah anda bahawa protein adalah komponen utama dalam struktur sel kulit, rambut, kuku dan tulang.

Tubuh badan manusia memerlukan protein untuk menghasilkan enzim yang penting untuk fungsi tubuh seperti sistem pencernaan dan sistem pembiakan. Protein juga sangat penting dalam penghasilan neurotransmiter yang mempengaruhi fungsi otak dan tubuh anda. Protein juga merupakan salah satu bahan asas yang diperlukan oleh sistem imun tubuh badan manusia.

Apakah khasiat protein kepada tubuh badan?

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa protein merupakan salah satu mineral dan zat yang sangat penting untuk tubuh badan. Terdapat pelbagai khasiat protein kepada tubuh badan manusia. Di antara fungsi protein ialah:

  • Tumbesaran dan pertumbuhan yang sihat untuk kanak-kanak. Kanak-kanak adalah fasa di mana seorang individu membesar, berkembang, dan melalui proses pertumbuhan yang sangat pesat dari segi fizikal dan mental. Pada saat ini, protein adalah sangat penting kerana ia membantu anak-anak anda untuk membesar dengan sihat dan sempurna.
  • Membina otot. Fungsi utama protein ialah untuk membina otot agar tubuh badan anda nampak kemas dan tidak menggeleber.
  • Kecantikan. Siapa yang tak sukakan kecantikan? Untuk cantik, kita perlukan sel yang sihat. Makanan sel ialah protein. Oleh itu, adalah sangat penting untuk anda memastikan tubuh badan mendapat protein yang secukupnya supaya sel dalam tubuh menjadi sihat dan sekali gus menjaga kecantikan anda. Protein yang mencukupi dalam badan akan menghasilkan kulit, rambut, dan kuku yang cantik berseri.
  • Memulihkan sel dan tisu yang tercedera. Fungsi protein ialah untuk memulihkan semula sel yang tercedera, contohnya apabila jari anda terluka.
  • Meningkatkan imuniti badan. Ini adalah satu lagi fungsi protein yang ramai orang tak tahu. Nak kan daya tahan badan yang tinggi? Pastikan tubuh badan anda mendapat protein yang secukupnya.
sumber protein
Sumber: Kompas

Apakah kesan kekurangan protein kepada tubuh badan?

Kebiasaannya tubuh badan akan memberikan signal apabila anda tidak mendapat protein yang secukupnya. Signal tersebut dipanggil sebagai kesan kekurangan protein dalam tubuh badan. Di antara kesan kekurangan protein yang selalu berlaku ialah:

  • Masalah keguguran rambut yang kronik. Memandangkan protein merupakan asas rambut, maka apabila badan anda tidak mendapat protein yang secukupnya, rambut anda akan gugur dengan banyaknya malah boleh menyebabkan kepala anda mula menjadi botak di sesetengah kawasan.
  • Kuku menjadi rapuh dan mudah patah. Kuku juga merupakan anggota tubuh badan yang dibina daripada protein. Sekiranya anda tidak mendapat protein yang secukupnya, kuku anda akan cepat rosak, rapuh, mudah patah, dan kelihatan tidak berseri.
  • Badan penat, lesu, dan tidak bermaya. Di antara signal yang akan diberikan oleh tubuh badan anda apabila tidak mendapat protein yang secukupnya ialah badan anda akan terasa penat, lesu, dan tidak bermaya.
  • Kulit muka kelihatan tidak berseri. Ini merupakan salah satu daripada kesan kekurangan protein yang paling ditakuti oleh para wanita. Kulit anda akan hilang serinya kerana tidak mendapat bekalan protein yang cukup.
  • Kulit muka menjadi berkedut dan kendur. Kekurangan protein bukan sahaja akan menyebabkan kulit muka anda hilang seri, malah kulit muka anda juga akan menjadi berkedut dan kendur, tidak elastik.
  • Badan tidak mempunyai otot dan menjadi menggeleber. Di antara fungsi utama protein ialah untuk membina otot. Oleh itu, jika tubuh badan anda tidak mendapat protein seperti yang sepatutnya, otot anda akan mula hilang dan menggeleber lalu menyebabkan badan anda nampak tidak kemas dan kurang cantik.
  • Lambat sembuh daripada luka atau kecederaan. Apabila bekalan protein ke dalam tubuh badan anda tidak mencukupi, sel dan tisu badan anda yang cedera atau luka tidak dapat sembuh dengan cepat. Ia akan menyebabkan berlakunya jangkitan kuman, dan boleh membahayakan kesihatan.
  • Imuniti yang rendah. Kekurangan protein akan menyebabkan daya tahan lawan penyakit badan anda menjadi rendah. Akibatnya, anda akan cepat jatuh sakit dan mengambil masa yang lama untuk sembuh daripada penyakit yang dialami.
makanan protein
Sumber: Dallasobserver

Apakah sumber protein yang terbaik?

Anda dah tahu apakah kepentingan protein kepada tubuh badan, serta kesan kekurangan protein. Sekarang tiba masanya untuk anda tahu apakah sumber protein yang terbaik. Di antara sumber protein yang wajib ada dalam menu harian anda ialah:

  • Telur. Telur merupakan sumber protein yang paling murah, sedap, dan mudah untuk didapati di Malaysia. Jika anda tidak mampu untuk makan makanan yang mahal, masukkan telur ke dalam diet harian anda untuk mendapatkan bekalan protein harian yang diperlukan.
  • Susu. selain telur, susu juga merupakan makanan protein yang murah dan mampu dimakan setiap hari oleh rakyat Malaysia.
  • Daging. Siapa yang tak suka makan daging? Sebut sahaja daging ayam, lembu, kambing, pelbagai menu yang sedap yang boleh anda bayangkan diminda.
  • Ikan. Ikan juga adalah sumber protein yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia.
  • Kacang soya juga adalah makanan protein tinggi yang sangat lazat. Anda boleh makan tempe, tau fu fah, atau minum air soya yang biasanya dijual di pasar malam.
  • Keju juga adalah satu lagi sumber protein yang lazat.
makanan protein
Sumber: Medicalnewstoday

Itulah dia tadi info tentang makanan protein yang ingin kami kongsikan kepada anda pada hari ini. Semoga bermanfaat. Jika anda menyukai artikel ini, anda juga mungkin berminat untuk membaca tulisan kami tentang panduan piramid makanan, makanan untuk diet, dan makanan karbohidrat

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.