Karbohidrat merupakan salah satu jenis makanan yang sangat diperlukan oleh tubuh badan manusia. Anda wajib mengambil karbohidrat dalam menu harian anda setiap hari walau pun semasa anda sedang berdiet dan dalam usaha untuk menurunkan berat badan. Jom kami kongsikan info menarik tentang makanan karbohidrat yang wajib anda tahu.

sumber karbohidrat
Sumber: Doktersehat

Apakah yang dimaksudkan dengan makanan karbohidrat?

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, karbohidrat adalah salah satu daripada komponen utama dalam sistem fisiologi manusia. Ia adalah jenis makanan yang sangat penting untuk mendapatkan tubuh badan yang sihat dan bertenaga. Karbohidrat merupakan sebatian organik yang terdiri daripada:

  • Karbon
  • Hidrogen
  • Oksigen

Apakah jenis-jenis karbohidrat?

Karbohidrat boleh dibahagikan kepada 3 jenis iaitu:

  • Monosakarida iaitu gula ringkas dan merupakan unit yang paling kecil. Monosakarida pula dibahagikan kepada aldosa dan ketosa.
  • Oligosakarida pula ialah kelas karbohidrat yang mengandungi dua hingga lapan unit monosakarida. Setiap unit monosakarida adalah dihubungkan oleh ikatan glikosida. Oligosakarida boleh dibahagikan kepada disakarida, trisakarida, dan seterusnya menurut bilangan unit monosakarida yang terdapat dalam molekulnya.  
  • Polisakarida pula ialah kelas karbohidrat yang mempunyai lebih daripada lapan unit monosakarida. Polisakarida terbahagi kepada kumpulan homopolisakarida dan heteropolisakarida.

Kenapa makanan karbohidrat sangat penting untuk tubuh badan manusia?

Terdapat pelbagai fungsi makanan karbohidrat. Di antara kepentingan karbohidrat kepada tubuh badan manusia ialah:

  • Membekalkan tenaga. Karbohidrat yang masuk ke dalam badan melalui makanan akan dicerna oleh sistem pencernaan menjadi glukosa, glycogen dan ada yang akan disimpan sebagai lemak dalam badan. Kesemua ini akan menjadi sumber tenaga kepada tubuh badan.
  • Mencerna makanan. Karbohidrat membantu sistem penghadaman
    kerana ia memiliki kandungan serat tinggi yang berfungsi untuk melancarkan proses pencernaan badan. Serat juga membantu mencegah penyakit kanser usus dan mengelakkan masalah buasir.
  • Mengenyangkan. Makanan karbohidrat akan memberikan anda rasa kenyang dengan cepat dan lebih lama. Oleh itu, jika anda dalam proses untuk menurunkan berat badan, mengambil makanan karbohidrat adalah sangat membantu kerana apabila anda cepat kenyang, anda akan berhenti makan dengan lebih cepat.
sumber karbohidrat
Sumber: Hellosehat

Apakah kesan kekurangan karbohidrat kepada tubuh badan?

Kekurangan karbohidrat dalam tubuh badan akan menyebabkan anda mengalami keadaan tidak bertenaga dan berisiko untuk mendapat penyakit berikut:

  • Tidak toleransi fruktosa merupakan satu penyakit keturunan yang berlaku disebabkan oleh kekurangan aldolase hati yang bertanggung jawab untuk memecahkan fruktosa 1-fosfat kepada dihidroksiaseton fosfat dan gliseraldehid. Kekurangan aldolase hati adalah berpunca daripada kekurangan karbohidrat dalam badan.
  • Diabetes mellitus adalah penyakit kedua yang boleh berlaku disebabkan oleh kekurangan karbohidrat. Ia merupakan kecelaruan metabolisme karbohidrat yang paling kerap terjadi. Pesakit yang mengalami penyakit diabetis mengalami kekurangan dalam pengeluaran insulin (diabetes Jenis I) dan kekurangan tindakbalas sel terhadap insulin (rintang insulin dalam Diabetes Jenis II). Kegagalan badan untuk menhawal insulin menyebabkan pesakit diabetes berada dalam keadaan separa kebuluran, seterusnya meningkatkan kebergantungan kepada trigliserid sebagai sumber tenaga dan protein sebagai sumber glukosa.
  • Laktik asidosis adalah satu lagi penyakit yang berlaku disebabkan oleh kekurangan karbohidrat dalam tubuh badan dimana berlakunya peningkatan aras laktat, pH dan kepekatan bikarbonat dalam darah yang rendah.
  • Hipoglisemia iaitu masalah kekurangan gula dalam darah juga boleh berlaku sekiranya badan anda tidak mendapat karbohidrat yang secukupnya.
  • Bayi pramatang. Sekiranya anda mempunyai masalah kekurangan karbohidrat semasa mengandung, anda akan mempunyai risiko yang tinggi untuk melahirkan bayi pramatang iaitu dilahirkan tidak cukup bulan.
  • Bayi yang terlalu kecil juga merupakan satu lagi kesan kekurangan karbohidrat semasa mengandung.

Apakah kesan lebihan karbohidrat dalam tubuh badan?

Jika kekurangan karbohidrat dalam badan boleh mengundang penyakit, ketahuilah bahawa karbohidrat yang berlebihan juga akan menyebabkan badan anda mendapat masalah dan penyakit seperti:

  • Kegemukan
  • Obesiti
  • Kencing manis
sumber karbohidrat
Sumber: Ttnews

Apakah sumber makanan karbohidrat?

Di antara makanan yang menjadi sumber karbohidrat yang baik untuk tubuh badan ialah:

  • Nasi. Nasi merupakan sumber karbohidrat yang paling popular di Malaysia memandangkan ia adalah makanan ruji rakyat Malaysia.
  • Gandum. Selain nasi, gandum juga merupakan sumber karbohidrat yang baik. Anda boleh makan dalam bentuk bijirin gandum yang dijadikan sebagai bubur gandum, atau pun dalam bentuk tepung gandum yang digunakan untuk membuat roti, pastri, dan sebagainya.
  • Kentang juga adalah sumber karbohidrat yang sangat sedap. Anda boleh tambah kentang dalam masakan atau pun masak kentang dalam pelbagai cara yang enak.
  • Ubi kayu. Mungkin ubi kayu dianggap sebagai makanan orang kampung namun ketahuilah bahawa ubi kayu kaya dengan karbohidrat. Ia juga adalah makanan yang sangat mengenyangkan.
  • Ubi keledek. Selain ubi kayu, ubi keledek juga adalah sumber karbohidrat yang sangat sedap. Anda boleh rebus dan makan begitu sahaja atau gunakan untuk membuat kueh seperti kueh keria, karipap, dan sebagainya.
  • Jagung. Mungkin anda terkejut apabila mengetahui bahawa pisang adalah sumber karbohidrat. Selama ini anda cuma tahu bahawa pisang adalah tinggi dengan potasium.
  • Kekacang. Tahukah anda bahawa kekacang juga merupakan sumber karbohidrat yang baik. Kacang tanah, badam, malah biji bunga matahari juga membekalkan karbohidrat kepada tubuh badan. Bukan sahaja membekalkan tenaga, malah kekacang merupakan kudapan yang rendah kalori dan tinggi dengan khasiat.
sumber karbohidrat
Sumber: Healthline

Itulah dia tadi info tentang makanan karbohidrat yang ingin kami kongsikan kepada anda pada hari ini. Semoga bermanfaat. Jika anda menyukai artikel ini, anda juga mungkin berminat untuk membaca tulisan kami tentang panduan piramid makanan, makanan untuk diet, dan cara untuk kempiskan perut.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


error: Content is protected !!
.