Makanan merupakan keperluan asas dalam kitaran hidup manusia dan  membekalkan tenaga kepada manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Terdapat berjuta jenis makanan di dalam dunia dan ada diantaranya boleh mendatangkan bahaya terutama sekali kepada ibu yang sedang hamil.

Kebiasaannya ibu hamil akan teringin atau dalam istilah harian kita mengidam untuk makan sesuatu. Namun perlu diambil perhatian bahawa ada beberapa makanan yang merbahaya untuk dimakan terutamanya ketika hamil. Sekiranya ibu hamil atau suami tidak mengendahkan larangan ini, ibu hamil berpotensi untuk mengalami keguguran.

Penjagaan pada fasa awal kehamilan terutamanya trimester yang pertama sangat penting kerana ketika itu kandungan masih baru dan agak ‘fragile’ malah ibu juga dalam keadaan alahan yang teruk. Penting bagi ibu hamil untuk mendapatkan makanan yang berkhasiat sepanjang proses kehamilan sebagai persediaan bergelar ibu sesudah melahirkan.

15 Makanan Bahaya Untuk Ibu Hamil

Melalui perbincangan ini, kami ingin berkongsi info mengenai makanan merbahaya yang perlu dielak oleh ibu hamil. Terdapat beberapa makanan merbahaya antaranya adalah;

Imej via DesignNPrint

Ikan Mentah

Makanan mentah sama ada dari sumber sayur ataupun haiwan mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk menganggu kesihatan ibu dan kandungan.  Makanan mentah seperti sushi, daging separuh masak dan sebarang makanan mentah mengandungi bakteria yang berupaya untuk menyebabkan keguguran.

Ikan mentah boleh menyebabkan jangkitan seperti salmonella dan listeria. Menurut kajian ibu hamil mempunyai kebarangkalian lebih tinggi iaitu sebanyak 20 kali untuk mendapat jangkitan listeria berbanding orang biasa. Listeria akan menyebabkan ibu lemah dan kekurangan air .

Daging Mentah atau Separa Masak

Manakala daging mentah atau separa masak menyebabkan ibu hamil berpotensi untuk dijangkiti bakteria atau parasit seperti Toxoplasma , e.coli dan salmonella.  Kandungan yang dijangkiti dengan bakteria ini akan terbantut proses tumbesarannya.

Telur Mentah

Sebaiknya telur mentah juga perlu dielakkan kerana seperti yang kita sedia maklum telur mentah berkait rapat dengan bakteria salmonella. Salmonella berupaya mengakibatkan ibu muntah-muntah, demam, diarrhea dan kekejangan perut.

Sekiranya tidak dirawat dengan segera boleh menyebabkan kelahiran pramatang atau bayi meninggal di dalam kandungan.

Sebaiknya makanan yang ingin dimakan perlu dimasak sebelum dimakan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Ikan yang Mempunyai Kandungan Merkuri Tinggi

Ikan merupakan sumber protein yang baik dan berkhasiat namun terdapat beberapa jenis ikan yang mempunyai merkuri tinggi di dalamnya. Ikan dari laut dalam seperti ikan todak, mackerel dan ikan marlin merupakan ikan yang mempunyai merkuri tinggi.

Ibu hamil perlu mengelakkan makanan yang mengandungi merkuri tinggi. Merkuri di dalam makanan akan mengakibatkan perkembangan bayi di dalam kandungan lambat dan berlaku kerosakan saraf pada bayi.  Makanan bermerkuri tinggi akan mengakibatkan toksik kepada buah pinggang, sistem imunisasi badan dan sistem saraf.

Organ Dalaman

Organ dalaman seperti hati lembu dan hati ayam tidak elok diambil oleh ibu hamil kerana berupaya untuk mengakibatkan kecacatan pada muka,jantung serta toksik. Walaupun organ dalaman mempunyai kandungan vitamin A yang tinggi sebaiknya elakkan untuk makan organ dalaman.

Kafein

Kafein merupakan bahan yang boleh didapati dalam minuman seperti koko, teh , kopi dan minuman ringan. Pengambilan kafein oleh ibu hamil hanya sekitar 200mg sehari ataupun sekitar 2 hingga 3 cawan sahaja.

Kafein berupaya untuk diserap pantas oleh bayi melalui plasenta dan kafein yang  tinggi  berupaya untuk menganggu tumbesaran tulang bayi serta menyebabkan bayi yang dilahirkan lebih ringan daripada bayi normal.

Bayi yang mempunyai berat yang lebih rendah ketika dilahirkan mempunyai risiko penyakit jantung dan diabetes apabila besar kelak. Malah lebih membimbangkan bayi tersebut boleh menghadapi risiko kematian ketika dilahirkan.

Kekacang

Ini untuk ibu yang mempunyai alahan kepada kekacang. Elakkan pengambilan makanan yang mengandungi kekacang supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

Makanan yang Tidak Dibasuh

Sama seperti makanan mentah , buah dan sayuran yang tidak basuh juga mempunyai bakteria seperti toxoplasma, e-coli dan salmonella. Bakteria ini didapati semasa proses penanaman, pembungkusan , penyimpanan dan ketika proses menjual.

Kita sedia maklum bahawa bakteria ini berupaya untuk menganggu sistem tumbesaran janin di dalam kandungan.  Misalnya bakteria toxoplasma boleh menyebabkan kerosakan mata dan otak yang serius ketika dilahirkan.

Jangan makan 15 makanan bahaya ini untuk elak keguguran dan bayi cacat!

Imej via Stevepb

Makanan Masam

Buah-buahan masam seperti buah pic boleh menyebabkan ibu keguguran dan pengambilan epal masam sepanjang kehamilan juga menyebabkan bayi lahir pramatang dan kurang sihat. Manakala buah betik muda berpotensi untuk menyebabkan kontraksi awal yang boleh mengakibatkan keguguran.

Susu belum diproses

Susu dan produk tenusu mentah seperti keju mengandungi bakteria seperti listeria, salmonella dan e-coli. Bakteria seperti listeria sangat merbahaya kepada ibu hamil kerana boleh mengakibatkan keguguran. Sebaiknya ambillah produk tenusu yang sudah dipasteur demi menjaga keselamatan diri.

Makanan Pedas

Semasa dalam proses kehamilan sebaiknya elakkan pengambilan makanan pedas kerana makanan pedas juga dikhuatiri boleh menyebabkan pendarahan, keguguran dan kelahiran bayi pramatang. Selain itu , ibu juga akan mudah mengalami sakit perut akibat makanan pedas.

Minuman Beralkohol

Ibu hamil sama sekali ditegah untuk minum minuman beralkohol sepanjang proses kehamilan . Ini kerana minuman beralkohol berupaya menyebabkan keguguran dan bayi meninggal di dalam kandungan. Selain itu , pengambilan minuman beralkohol juga boleh mengakibatkan bayi menghidap down syndrom , kecacatan wajah dan penyakit mental.

Makanan Ringan

Ibu hamil memerlukan makanan berkhasiat dan penuh dengan nutrisi lengkap. Makanan ringan rendah dengan kandungan nutrien dan vitamin serta tinggi dengan gula dan lemak tepu.

Pengambilan makanan ringan secara berterusan sepanjang kehamilan boleh meningkatkan risiko diabetes dan juga komplikasi semasa proses kelahiran. Elakkan pengambilan makanan ringan yang tidak berzat dan pilihlah snek seperti buah-buah segar.

Aloe Vera

Daun lidah buaya atau dikenali sebagai aloe vera mempunyai kandungan anthraquinones yang merupakan sejenis julap . Bahan ini boleh mengakibatkan kontraksi rahim dan pendarahan yang membawa kepada keguguran.

Makanan Diproses

Makanan diproses seperti sosej,daging cincang dan nugget boleh dikategorikan sebagai makanan tidak selamat untuk ibu hamil. Makanan ini juga sebenarnya tidak bagus untuk proses tumbesaran bayi di dalam kandungan. Biasanya makanan yang diproses mengandungi translemak yang sangat tinggi.

Mungkin ada beberapa jenis makanan yang nampak remeh untuk diberi perhatian namun sebenarnya sikap ambil mudah akan semua perkara terutamanya ketika hamil mempunyai risiko yang sangat bahaya.  Jadi ambillah langkah sebaiknya dalam memastikan kesihatan diri dan juga bayi di dalam kandungan.

Semoga artikel ini memberi manfaat buat semua yang bakal bergelar ibu.

Rujukan

*Jemput juga membaca artikel menarik tentang tanda awal mengandung , pantang larang ibu mengandung dan amalan ibu mengandung.

Penulis: Noor Hazreen Mohd Mokhtiar

Berkhidmat sebagai seorang guru tuisyen Bahasa Melayu mendatangkan minat dalam bidang penulisan.Suka berkongsi idea dan info dengan rakan-rakan tak kira di alam maya atau realiti . Mengharapkan setiap yang membaca mendapat manfaat yang sebaiknya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.