Makanan berserat tinggi adalah sangat penting dalam diet seharian, terutamanya jika anda mempunyai masalah lebihan berat badan dan sedang berusaha untuk menurunkan berat badan. Atau pun jika anda kerap sembelit. Apakah yang dimaksudkan dengan makanan berserat tinggi? Apakah kepentingannya kepada tubuh badan? Apakah sumber makanan berserat tinggi?

Apakah yang dimaksudkan dengan makanan berserat tinggi?

Serat atau fiber adalah makanan dari bahan selulos yang tidak boleh dicerna dan dihadam oleh sistem pencernaan manusia dan ia hanya boleh didapati daripada sumber tanaman dan tumbuhan. Serat terbahagi kepada dua jenis iaitu:

  • Serat larut ( Soluble fiber )
  • Serat tidak larut ( Insoluble fiber )
makanan berserat tinggi
Sumber: Hellosehat

Berapa banyak serat yang perlu diambil oleh seorang manusia setiap hari?

Menurut kajian, seseorang lelaki dewasa yang berumur kurang daripada 40 tahun perlu mengambil sekurang-kurangnya 38 gram serat setiap hari sementara seorang wanita dewasa yang berumur kurang daripada 40 tahun pula memerlukan sebanyak 25 gram serat setiap hari.

Kajian tersebut juga mendapati bahawa seorang lelaki dewasa yang berumur lebih daripada 50 tahun memerlukan sebanyak 30 gram serat setiap hari dan wanita yang berumur lebih daripada 50 tahun hanya memerlukan lebih kurang 21 gram serat sehari.

Apakah fungsi makanan berserat tinggi?

Serat adalah sangat penting kepada tubuh badan manusia. Di antara fungsi serat ialah:

  • Menjaga berat badan yang ideal
  • Menjaga kesihatan sistem penghadaman
  • Melancarkan sistem perkumuhan
  • Membantu proses penyahtinjaan berjalan dengan baik dan mengelakkan masalah sembelit
  • Memberi rasa kenyang dengan lebih lama dan lebih cepat
  • Mengelakkan anda makan berlebihan
  • Mencegah penyakit strok
  • Mengelakkan penyakit darah tinggi
  • Mengurangkan risiko kencing manis

Apakah kesan kekurangan makanan berserat tinggi kepada tubuh badan?

Sekiranya anda tidak mengambil serat yang secukupnya setiap hari, anda akan mengalami masalah berikut:

  • Sembelit
  • Masalah lebihan berat badan
  • Lambat berasa kenyang lalu menyebabkan anda makan dengan lebih banyak dan berlebihan berbanding yang sepatutnya
  • Anda akan mudah berasa lapar semula
  • Masalah pada sistem penghadaman
  • Masalah pada sistem perkumuhan
  • Meningkatkan risiko penyakit strok
  • Meningkatkan risiko penyakit kencing manis
  • Meningkatkan risiko penyakit darah tinggi
makanan berserat tinggi
Sumber: Healthxchanges

Apakah sumber makanan berserat tinggi yang baik untuk tubuh badan?

Jika anda nakkan badan yang sihat dan kekal langsing tanpa perlu pening untuk memikirkan cara untuk menurunkan berat badan, ini adalah makanan berserat tinggi yang perlu anda masukkan dalam menu diet setiap hari:

  • Betik adalah makanan berserat tinggi yang paling mudah untuk anda perolehi. Ianya bukan sahaja lazat malah harganya juga sangat murah. Pernah dengar orang kata, kalau sembelit makan buah betik supaya lawas? Ianya adalah sangat benar kerana betik kaya dengan serat yang membantu melancarkan proses pencernaan dan membantu mengatasi masalah sembelit. Enzim yang terdapat dalam betik juga dapat meningkatkan fungsi sistem pencernaan.
  • Brokoli merupakan salah satu daripada sayuran yang sangat tinggi drngan serat. Tahukah anda, dalam satu cawan brokoli terdapat sebanyak 5.1 gram serat. Oleh itu, kalau anda ke pasar jangan lupa untuk beli brokoli.
  • Buah pear bukan sahaja sedap, manis, dan berbau harum. Ia juga merupakan buah yang sangat baik untuk kesihatan memandangkan ia sangat kaya dengan serat. Dalam satu biji buah pear terdapat kira-kira 5.3 gram serat. Oleh itu, jika anda sedang berdiet dan berusaha untuk menurunkan berat badan, jangan lupa untuk masukkan buah pear dalam senarai buah dalam menu harian anda.
  • Avokado. Sejak dulu lagi orang barat menggunakan avokado sebagai salah satu cara untuk mengatasi masalah sembelit dan menjaga kesihatan sistem pencernaan. Avokado mengandungi kandungan serat yang tinggi dan membantu menjada kecantikan kulit dan mencegah anemia dengan cara membantu penghasilan sel darah merah.
  • Oat. Oat merupakan makanan diet yang paling popular di Malaysia. Jika anda nak kurus, elakkan makan nas lemak atau roti canai semasa bersarapan, tapi bertukarlah kepada oat yang jauh lebih sihat. Oat kaya dengan serat yang memberikan anda rasa kenyang dengan lebih cepat dan lebih lama. Selain itu, oat juga mengandungi beta glucan yang merupakan sejenis serat yang membantu menurunkan paras kolesterol dalam tubuh badan. Malah oat berfungsi untuk meningkatkan imuniti dan daya tahan lawan penyakit. Mengamalkan oat setiap hari juga akan membantu sistem pencernaan anda.
  • Kekacang seperti badam, walnut, kacang peas, makadamia, dan kacang tanah sangat kaya dengan serat. lemak sihat, dan protein. Oleh itu, jika anda berasa lapar, jadikan kekacang sebagai jajan dan kudapan. Elakkan daripada makan pisang goreng cheese, keropok lekor, ayam gunting, dan sebagainya. Satu cawan kekacang mengandungi kira-kira 16.3 gram serat.
  • Gandum sangat kaya dengan serat. Anda boleh makan bijirin gandum yang dimasak sebagai bubur gandum atau boleh juga makan gandum dalam bentuk tepung gandum. Tepung gandum sememangnya sejenis tepung yang banyak digunakan dalam bidang masakan. Terdapat pelbagai masakan yang berasaskan tepung gandum seperti kueh-mueh, pasta, mee kuning, pastri, roti dan sebagainya. Gandum bukan sahaja memberikan rasa kenyang yang lama malah ia juga membekalkan tenaga.
makanan berserat tinggi
Sumber: Wikipedia

Itulah dia tadi info tentang makanan berserat tinggi yang ingin kami kongsikan kepada anda pada hari ini. Semoga bermanfaat. Jika anda menyukai artikel ini, anda juga mungkin berminat untuk membaca tulisan kami tentang panduan piramid makanan, makanan protein, dan makanan karbohidrat.

Penulis: Nurul Kasmadillawati Zakaria

Work at home mother ( WAHM ) yang memegang jawatan sebagai Penasihat Undang-undang. Suka mengembara. Suka menulis & berkongsi cerita. Boleh dihubungi melalui laman Facebook beliau.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.