APA ITU MAKANAN BERANGIN? Pasti anda sendiri rasa musykil apakah sebenarnya makanan berangin ini kan? Sebenarnya makanan berangin ini menjurus kepada jenis makanan yang boleh menyebabkan tekak rasa loya nak muntah, perut rasa sebu, lenguh pada anggota tubuh dan sebagainya. Bila ambil asyik rasa nak kentut saja. Haa itulah dia makanan yang berangin.

Untuk pengetahuan anda juga, makanan berangin ini ada banyak jenis sebenarnya. Ada yang terdiri dari jenis sayur-sayuran, buah-buahan sitrus, kekacang, bijiin, produk tenusu dan lain-lain lagi. Pendekata, memang banyak makanan yang terdiri dari jenis makanan berangin ini.

makanan berangin
image via : blog pantang plus

Mesti anda pernah mengalami masalah perut kembung atau ‘masuk angin’ kan? Sebenarnya itu adalah salah satu masalah yang berlaku dengan berpunca dari tersalah memilih jenis makanan. Masalah perut masuk angin ini boleh membuatkan sesiapa saja berasa tidak selesa.

Kembung akan terjadi apabila gas berlebihan di dalam perut dan juga usus.Ia selalunya terjadi apabila kita menelan banyak angin. Di samping itu ia juga boleh terhasil daripada bakteria usus yang menghasilkan gas karbon dioksida dan hydrogen akibat daripada pemecahan karbohidrat dan protein.

Antara Kesan Makanan Berangin Pada Ibu Yang Sedang Berpantang

Antara kesan yang boleh berlaku ke atas tubuh ibu yang sedang berada dalam pantang selepas bersalin ini ada banyak. Ini berdasarkan apa yang pernah dialami oleh orang lain di luar sana. Antara perkara yang boleh berlaku jika tidak mengedahkan makanan jenis berangin ini adalah seperti:

  • sakit urat
  • timbul rasa lenguh
  • demam yang berpanjangan
  • menggigil sejuk seluruh badan
  • muntah dan loya
  • gastrik dan cirit birit
  • sakit kepala yang serius
makanan berangin
Image Via : Safe Care

5 Jenis Makanan Berangin Yang Tak Patut Di Makan Oleh Ibu Dalam Pantang

1- Buah Nangka Jambu Batu Dan Durian

Percaya ataupun tidak meskipun buah itu mengandungi khasiat namun ada juga dari jenis buah ini yang tidak boleh di makan ketika sedang berada dalam tempoh berpantang. Antara buah yang sama sekali tidak disyorkan adalah buah nangka, jambu batu dan durian.

Buah nangka dan jambu batu terutamanya dikatakan bukan saja berangin tetapi juga mempunyai sifat sejuk. Kerana itu buah nangka dan jambu batu ini memang patut dihindarkan untuk mengelakkan masalah berkaitan kesihatan yang tidak sepatutnya.

2- Bijirin Gandum Dan Oat

Makanan yang berasaskan bijirin seperti oat dan gandum juga boleh menyebabkan kehadiran gas dalam perut jika sering diamalkan selalu. Gas dalam perut inilah yang menyebabkan angin dalam badan. Meskipun bijirin dari gandum ini punya banyak khasiat tetapi sifatnya yang boleh mendatangkan angin dalam perut patut di ambil perhatian. Elakkanlah dahulu sekejap supaya proses untuk sembuh dari luka lepas bersalin dapat berlaku dengan lebih pantas.

3 – Produk Tenusu Yang Dihasilkan Dari Susu

Produk tenusu yang berasaskan Laktosa boleh menyebabkan angin berkumpul dalam usus. Kerana itu ada jenis produk tenusu yang sesuai untuk di minum dan ada juga yang boleh mendatangkan rasa mual cirit birit dan sebagainya.

Laktosa yang mengandungi gula ini walaupun bersifat semulajadi namun ia tetap boleh menjadi penyebab pada kehadiran angin dalam tubuh. Antara produk tenusu yang dimaksudkan ini adalah seperti yogurt, keju, asikrim dan sebagainya.

makanan berangin
Image Via : Blog Pantang Plus

Jika anda ada masalah alahan pada gula dalam susu (laktosa), elakkan mengambil susu dan produk tenusu. Sebaliknya, gantikan dengan susu tanpa laktosa atau minum yogurt kerana kajian mendapati bakteria dalam yogurt (probiotik) dapat mengurangkan masalah ini.

4 -Beberapa Jenis Sayuran Dari Jenis Kekacang Dan Menjalar

Kesemua jenis sayur kacang, timun, patola, terung adalah sayur yang boleh menyebabkan angin dalam badan. Taugeh dan kacang buncis juga boleh menyebabkan masalah yang sama. Dikatakan sayuran jenis kekacang yang menjalar ini boleh membuatkan perut ibu terasa sebu dan senak. Ia juga boleh mengundang masalah gastrik yang teruk.

Selain dari sayuran jenis kekacang, petai juga tidak terkecuali dari kategori ini. Petai bukan saja patut di elak untuk baunya namun untuk sifatnya juga yang sangat berangin hingga boleh menyebabkan kehadiran gas pada usus. Jika makan juga alamatnya asyik kentut saja pagi petang siang dan malam.

5 – Sebarang Jenis Minuman Berais Dan Makanan Sejuk Beku

Ais batu dan makanan yang disejukkan seperti makanan segera yang banyak terjual di pasaraya memang patut dihindari oleh para ibu lepas bersalin. Dalam pantang ibu sebolehnya hanya perlu makan makanan segar yang di masak segera tiap hari. Para ibu berpantang sama sekali tidak elok amalkan makanan jenis sejuk beku yang segera begini.

Makanan sejuk dan berais sememangnya boleh menyebabkan kehadiran angin yang banyak pada tubuh dan jika terus dibiarkan boleh menyebabkan demam, gigil satu badan dan sebagainya. Jangan tak percaya yang masalah demam semasa dalam tempoh berpantang boleh mendatang bahaya yang serius hingga tahap membawa maut jika tidak dirawat dengan kadar segera.

Lebih Baik Elak Dari Makan Untuk Sementara Sebelum Terima Bahaya

Meskipun zaman sekarang ramai yang memilih untuk lebih berpantang ke arah moden namun apalah salahnya untuk turut pandang pada perkara sebegini. Nak pantang cara moden tak salah tapi jangan pula terus ditepis kata dan pengalaman dari orang tua sebelum kita kerana antara makanan yang mereka sebut tidak boleh makan itu sememangnya ada juga yang boleh diterima akal.

Lagi pula tempoh berpantang ini tidaklah lama mana, maka selama dalam pantang ini usahalah untuk disiplinkan diri untuk elak makanan yang dikatakan tidak bagus. Nanti setelah habis tempoh berpantang maka makanlah apa yang dirasakan boleh tanpa terikat dengan mana-mana sekatan lagi.

Air Halia Boleh Bantu Legakan Kembung Perut Dengan Cepat

Jika anda telahpun tersalah makan dan sedang mengalami masalah ‘perut masuk angin’ maka anda boleh amalkan minum air halia untuk bantu buang angin tersebut. Bahan yang diperlukan hanyalah sebuku halia dan air panas. Manakala cara untuk membuatnya pula adalah seperti yang tertera di bawah ini.

1. Sediakan sebuku halia dan bersihkan.

2. Tumbuk halia tu tapi jangan sampai terlalu lumat. Biar hancur sedikit dah cukup.

3. Sediakan air panas.

4. Masukkan halia yang dah ditumbuk tadi ke dalam gelas kosong.

5. Kemudian tuangkan air panas dalam gelas yang berisi halia

6. Tutup gelas tadi dengan piring. Biarkan selama 10 minit.

7. Selepas itu, tapis air tadi. Bahagikan kepada 2 bahagian. Setengahnya untuk anda   minum dan selebihnya untuk disimpan dalam peti sejuk.

8. Sekiranya perut anda masih belum lega, minumlah baki air halia yang dah disejukkan tadi.

9. Ulangi langkah 1-8 sehingga masalah kembung perut anda sembuh.

Sayangi Diri Sendiri Dan Elakkan Makan Makanan Berangin Ini

Amalan berpantang adalah untuk diri sendiri. Cadangan makanan berangin yang patut di elak ini juga adalah sekadar sebagai panduan semata-mata. Jika ibu di luar sana merasakan yang diri sendiri patut disayangi untuk terus kekal sihat seperti dulu maka cuba-cubalah pandang perkara ini dengan lebih serius dan jika dirasakan tidak kisah maka itu semua atas pilihan diri masing-masing.

Selamat berpantang dan didoakan semoga tempoh berpantang anda berjalan dengan lancar dalam suasana penuh gembira bersama kehadiran bayi baru tersayang. Ameen.

Sumber :

Penulis: Siti Awadah

Minat menulis untuk pelbagai topik seperti kesihatan, keibubapaan, perhubungan, kecantikkan, makanan, travel, Islamik dan sebagainya.

Tinggalkan Komen!


Langgan Info Kami

Berkaitan


.